Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

KEPUTUSAN AKHIR PERTANDINGAN FOTOGRAFI TENAGA PERINGKAT NEGERI TAHUN 2026 - KARNIVAL TENAGA LESTARI

USM, PULAU PINANG, Januari 2026 – Permulaan tahun 2026 membuka lembaran cemerlang buat Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE) apabila pelbagai inisiatif kesedaran dan pemindahan ilmu berkaitan tenaga lestari berjaya dilaksanakan kepada murid sekolah di seluruh negara. Program yang dijenamakan sebagai Karnival Tenaga Lestari ini direalisasikan melalui kerjasama strategik antara CETREE, CGSS, Yayasan Hijau Malaysia serta enam Jabatan Pendidikan Negeri (negeri rintis), iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang sebagai pelaksana utama. Karnival ini mengetengahkan elemen pendidikan, kesedaran dan amalan tenaga lestari dalam usaha membudayakan literasi tenaga dalam kalangan warga sekolah.

Inisiatif berimpak tinggi ini turut mendapat sokongan padu daripada Malaysia Energy Literacy Program (MELP) yang merupakan peneraju serta agensi utama di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). MELP memainkan peranan penting dalam memberikan khidmat nasihat serta sokongan menyeluruh bagi pelaksanaan program literasi tenaga di peringkat nasional.

Selain itu, Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) yang juga di bawah PETRA, telah membiayai sepenuhnya pelaksanaan karnival ini sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda peralihan tenaga negara. Salah satu pengisian utama karnival ini ialah Pertandingan Fotografi Tenaga yang telah berlangsung secara dalam talian bermula 21 Disember 2025 hingga 22 Januari 2026. Pertandingan ini terbuka kepada murid sekolah menengah rendah (Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3) sesi persekolahan tahun 2026 dari enam negeri rintis tersebut. Penyertaan adalah terhad kepada murid warganegara Malaysia yang bersekolah di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan. Sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan penyertaan seramai 619 orang murid. Penyertaan ini mencerminkan peningkatan tahap kesedaran serta minat generasi muda terhadap isu tenaga lestari dan kelestarian alam sekitar. Kelayakan menerima sijil penyertaan adalah tertakluk kepada syarat dan kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Pemenang serta lima (5) tempat terbaik bagi setiap negeri bagi Pertandingan Fotografi Tenaga Peringkat Negeri Tahun 2026 telah dikenal pasti, dan keputusan yang diumumkan adalah muktamad.

Johan dan Naib Johan bagi setiap negeri akan mewakili negeri masing-masing ke Pertandingan Peringkat Kebangsaan sempena Karnival Tenaga Lestari Peringkat Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 12 Februari 2026. Penganjuran pertandingan ini diharapkan dapat terus memperkukuh agenda pembudayaan literasi tenaga dalam sistem pendidikan negara. Inisiatif ini bukan sahaja menyemai kesedaran dan pengetahuan, malah membentuk sikap bertanggungjawab terhadap kepentingan tenaga lestari dalam kalangan murid sebagai pewaris masa depan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia ke arah pembangunan mampan dan peralihan tenaga yang lebih lestari.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Farah Amira Zainudin