KEPUTUSAN AKHIR PERTANDINGAN KUIZ TENAGA LESTARI PERINGKAT NEGERI TAHUN 2026 - KARNIVAL TENAGA LESTARI
USM, PULAU PINANG, Januari 2026 – Permulaan tahun 2026 menandakan pencapaian signifikan bagi Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE) dengan pelaksanaan pelbagai program kesedaran dan pemindahan ilmu berkaitan tenaga lestari kepada murid sekolah di seluruh Malaysia. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan literasi tenaga dalam kalangan generasi muda serta menanamkan kesedaran terhadap kepentingan tenaga lestari sebagai asas pembangunan mampan negara.
Program ini direalisasikan melalui kerjasama strategik antara CETREE, CGSS, Yayasan Hijau Malaysia serta enam Jabatan Pendidikan Negeri (negeri rintis), iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang. Program berimpak tinggi ini dijenamakan sebagai Karnival Tenaga Lestari, yang mengetengahkan elemen pendidikan, kesedaran dan amalan tenaga lestari kepada seluruh warga sekolah.
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Malaysia Energy Literacy Program (MELP), peneraju utama di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). MELP memainkan peranan penting dalam memberikan nasihat, panduan dan sokongan menyeluruh bagi memastikan pelaksanaan program literasi tenaga di seluruh negara berjalan lancar. Sementara itu, Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE), juga di bawah PETRA, membiayai sepenuhnya pelaksanaan karnival ini, menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh agenda peralihan tenaga dan pembangunan lestari negara.
Salah satu pengisian utama karnival ini ialah Kuiz Tenaga Lestari, yang telah berlangsung secara dalam talian pada 24 Januari 2026. Pertandingan ini terbuka kepada murid sekolah menengah (Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5) sesi persekolahan 2026 dari enam negeri rintis. Penyertaan adalah terhad kepada murid warganegara Malaysia yang bersekolah di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan jumlah penyertaan mencecah 31,126 murid, menunjukkan peningkatan minat dan kesedaran generasi muda terhadap isu tenaga lestari. Kelayakan menerima sijil penyertaan ditetapkan berdasarkan pencapaian minimum 40%.
Pemenang serta lima (5) tempat terbaik bagi setiap negeri telah dikenal pasti, dan keputusan diumumkan sebagai muktamad oleh pihak penganjur. Johan dan Naib Johan setiap negeri akan mewakili negeri masing-masing ke Pertandingan Peringkat Kebangsaan sempena Karnival Tenaga Lestari Peringkat Kebangsaan 2026 yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 12 Februari 2026.
Penganjuran kuiz ini diharapkan dapat terus memperkukuh pembudayaan literasi tenaga dalam sistem pendidikan negara. Inisiatif ini bukan sahaja menyemai kesedaran dan pengetahuan, malah membentuk sikap bertanggungjawab terhadap kepentingan tenaga lestari dalam kalangan murid sebagai pewaris masa depan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk memperkasa generasi muda agar lebih peka, berdaya saing dan bersedia mendukung agenda peralihan tenaga serta pembangunan mampan.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Farah Amira Zainudin