KESEDARAN PENDIDIKAN TEKNOLOGI HIJAU KEPADA KOMUNITI DAN WARGA SJKT LADANG VICTORIA, PADANG SERAI, KEDAH
PADANG SERAI, Kedah, 6 Mac 2017 - CETREE telah dijemput mengadakan satu pameran bergerak di SJK(T) Ladang Victoria. Program yang telah berlangsung sepanjang waktu persekolahan itu, melibatkan seluruh warga sekolah bersama ibu bapa yang turut sama memeriahkan program selama separuh hari waktu persekolahan.
Encik M.Loganathan, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJK (T) Ladang Victoria berkata " pameran ini merupakan satu inisiatif pihak sekolah yang bertujuan memberi kesedaran dan pendedahan kepada komuniti dan seluruh warga sekolah berkaitan pendidikan Teknologi Hijau ".
Menurut beliau lagi, pameran ini juga bertujuan memberi pendedahan tentang Teknologi hijau kepada komuniti dan seluruh warga sekolah kawasan luar bandar seperti sekolah tersebut yang kurang mendapat pendedahan yang sama seperti sekolah di kawasan bandar.
Semasa pameran tersebut pelbagai aktiviti seperti taklimat serta ceramah berkaitan kesedaran Teknologi Hijau, demonstrasi kiosk-kiosk Teknologi Hijau, edaran risalah-risalah berkaitan Kecekapan Tenaga dan pameran Unit Pameran Bergerak telah diadakan.
Menurut En. Syafiq Saifullah Azmi, pegawai CETREE USM maklumbalas yang positif telah diperoleh daripada pihak sekolah terutamanya daripada En.D.Asokumar, Guru Besar SJK(T) Ladang Victoria, Yang Dipertua PIBG sekolah dan seluruh warga sekolah setelah selesai program dijalankan.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi dan Norhidayatul Syafiqah Mohd Fadzil (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)