KOMITMEN KELESTARIAN DAN INOVASI MURID ANGKAT SABK MAAHAD ISLAHIAH ADDINIAH KE TEMPAT KETIGA OPERASI BETA
MANJUNG, PERAK, 14 Julai 2026 – Komitmen dalam memperkasa pendidikan kelestarian serta kreativiti murid dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi membolehkan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Islahiah Addiniah dinobatkan sebagai penerima Tempat Ketiga Operasi Beta dalam Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2). Lebih membanggakan, majlis tersebut turut menyaksikan persembahan gimik inovasi penggunaan semula lebihan air wuduk, hasil cetusan idea murid sekolah, yang mengetengahkan pendekatan pengurusan sumber air secara lestari. Inovasi berkenaan memperlihatkan bagaimana lebihan air wuduk dapat dimanfaatkan semula bagi kegunaan yang bersesuaian, sekali gus menerapkan nilai kecekapan penggunaan sumber, pengurangan pembaziran dan pemeliharaan alam sekitar selaras dengan prinsip pembangunan mampan.
Majlis diserikan dengan kehadiran Tuan Haji Musa Hamid, Pegawai Pendidikan Daerah Manjung, yang menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah atas komitmen tinggi dalam menjayakan Program Sekolah Tunas Hijau walaupun berstatus sekolah agama. Beliau menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti bahawa pendidikan kelestarian mampu diintegrasikan secara berkesan merentasi semua jenis institusi pendidikan tanpa mengira aliran. Beliau turut memuji kreativiti murid yang berjaya menghasilkan inovasi penggunaan semula lebihan air wuduk sebagai gimik utama majlis dan menyifatkannya sebagai satu projek yang mempunyai potensi besar untuk diketengahkan ke pertandingan inovasi di pelbagai peringkat. Menurut beliau, inovasi seperti ini wajar terus diperkasakan agar dapat mengharumkan nama sekolah, daerah Manjung dan negeri Perak, sekali gus membuktikan kemampuan murid menghasilkan penyelesaian yang menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Pengetua SABK Maahad Islahiah Addiniah, Tuan Haji Agus Sefandi Ismail, dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan kepada semua tetamu yang hadir serta semua pihak yang telah memberikan sokongan terhadap pelaksanaan Program Sekolah Tunas Hijau di sekolah tersebut. Beliau berkata kejayaan yang dicapai adalah selaras dengan aspirasi sekolah yang mengangkat tema "Biarlah Hari Ini Lebih Baik daripada Semalam", yang menjadi pemangkin kepada usaha penambahbaikan berterusan dalam aspek akademik, sahsiah dan kelestarian alam sekitar.
Sementara itu, Puan Nor Hana Mohd Rosli, Senior Executive Yayasan Hijau Malaysia (YHM), dalam ucapannya mewakili pihak penaja bersama agensi pelaksana, Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM, menegaskan bahawa Program Sekolah Tunas Hijau merupakan inisiatif strategik yang memberi penekanan kepada pembangunan literasi kelestarian, pembentukan kepimpinan murid serta perubahan tingkah laku melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).
Beliau berharap agar amalan hijau yang telah dibudayakan sepanjang pelaksanaan program dapat diteruskan secara konsisten sehingga menjadi identiti sekolah serta diwarisi oleh generasi murid pada masa hadapan. Dalam sesi interaktif bersama para murid, beliau turut mengupas konsep 5R, iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Redesign dan Recycle, sebagai pendekatan utama dalam mengurangkan penjanaan sisa, mengoptimumkan penggunaan sumber dan memperkukuh pelaksanaan konsep ekonomi kitaran (circular economy) di peringkat sekolah.
Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj yang memaparkan perjalanan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) di SABK Maahad Islahiah Addiniah, termasuk pelbagai aktiviti pendidikan, projek kelestarian serta penglibatan aktif murid dalam menjayakan agenda sekolah hijau. Sebagai simbol penghargaan terhadap komitmen yang telah ditunjukkan, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan hadiah kepada Komander serta Ejen Sekolah Tunas Hijau, diikuti penyampaian pengiktirafan kepada pihak sekolah atas kejayaan meraih Tempat Ketiga Operasi Beta.
Selepas majlis penyampaian anugerah, para tetamu dibawa melawat ruang pameran Program Sekolah Tunas Hijau yang menampilkan pelbagai hasil kreativiti dan inovasi murid, antaranya Sudut Inovasi Plastik, pameran poster pendidikan kelestarian serta ruang hiasan yang menggunakan bahan terpakai seperti botol plastik sebagai elemen dekorasi. Pameran tersebut memperlihatkan bagaimana bahan buangan dapat diberi nilai tambah melalui pendekatan guna semula kreatif (upcycling), sekali gus memperkukuh pembelajaran berasaskan projek dan inovasi dalam kalangan murid. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Puan Shakirah Rashid, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum), Jabatan Pendidikan Negeri Perak; Encik Syafiq Saifullah Azmi, Ketua Sekretariat CETREE, CGSS, USM; serta Puan Suhairiza Suhaimi dan Cik Farah Amira Zainudin, Pegawai Program Sekolah Tunas Hijau merangkap Sekretariat CETREE, CGSS, USM.
Kejayaan SABK Maahad Islahiah Addiniah membuktikan bahawa pendidikan kelestarian mampu diperkasakan melalui gabungan inovasi, kreativiti dan pembentukan nilai dalam kalangan murid. Lebih daripada sekadar meraih pengiktirafan, sekolah ini telah memperlihatkan bagaimana pendekatan pendidikan yang holistik mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja peka terhadap isu alam sekitar, malah berupaya mencipta penyelesaian inovatif ke arah masyarakat yang lebih lestari. Pencapaian ini turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) serta SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim).
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Organisai Tunas Hijau