Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

BUDAYA HIJAU DAN INOVASI MURID PERKUKUH KEJAYAAN SMK RAJA MUDA MUSA

HILIR PERAK, PERAK, 15 Julai 2026 – Komitmen berterusan dalam membudayakan amalan hijau serta menggalakkan inovasi murid telah membolehkan SMK Raja Muda Musa muncul sebagai penerima Tempat Keempat Operasi Beta dalam Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2). Pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa pendidikan kelestarian yang dilaksanakan secara menyeluruh mampu mencetuskan perubahan positif dalam budaya sekolah dan gaya hidup warga pendidik serta murid.

Majlis penghargaan dihadiri oleh Puan Nor Hana Mohamad Rosli, Senior Executive Yayasan Hijau Malaysia (YHM); Puan Shakirah Rashid, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum), Jabatan Pendidikan Negeri Perak; Tuan Haji Md. Nor Ramli Ismail, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Hilir Perak, Sektor Pembangunan Murid; Encik Alias Mat, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Raja Muda Musa; serta wakil Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM yang diketuai oleh Encik Syafiq Saifullah Azmi, bersama Puan Suhairiza Suhaimi dan Cik Farah Amira Zainudin.

Dalam ucapan alu-aluannya, Encik Alias Mat berkongsi pelbagai inisiatif kelestarian yang telah digerakkan oleh Komander dan Ejen Sekolah Tunas Hijau bersama warga sekolah. Antara projek yang berjaya dilaksanakan ialah penghasilan dekorasi pagar menggunakan botol plastik terpakai, penggunaan bekas plastik terpakai sebagai bekas makanan ternakan burung puyuh serta pembangunan projek fertigasi tanaman sawi yang bukan sahaja menjadi medium pembelajaran, malah hasilnya dipasarkan kepada warga sekolah. Beliau menyifatkan projek-projek tersebut sebagai contoh aplikasi pembelajaran berasaskan projek yang berjaya menggabungkan elemen STEM, inovasi dan keusahawanan dalam pendidikan kelestarian.

Sementara itu, Puan Shakirah Rashid menyampaikan puisi bertemakan kelestarian hasil nukilan beliau sendiri, yang pernah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Deklamasi Puisi Peringkat Kebangsaan pada tahun 1999. Beliau menyeru warga sekolah agar berani mengubah amalan harian ke arah gaya hidup yang lebih lestari walaupun perubahan tersebut memerlukan komitmen yang tinggi. Menurut beliau, perubahan kecil yang diamalkan secara konsisten mampu memberi impak besar terhadap kesihatan, kesejahteraan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar. Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan STEM perlu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar dalam kehidupan harian bagi menangani cabaran perubahan iklim dan kelestarian masa hadapan.

Dalam pada itu, Puan Nor Hana Mohamad Rosli mengucapkan tahniah kepada SMK Raja Muda Musa atas kejayaan meraih Tempat Keempat Operasi Beta daripada 103 buah sekolah yang menyertai program ini. Beliau menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil komitmen tinggi seluruh warga sekolah dalam membudayakan amalan hijau secara konsisten. Beliau turut menggalakkan sekolah untuk terus bersaing secara sihat dalam melaksanakan inisiatif kelestarian, namun menegaskan bahawa matlamat utama program bukanlah semata-mata untuk meraih kemenangan, sebaliknya membentuk budaya hijau yang berkekalan dalam komuniti sekolah.

Menurut beliau lagi, amalan kelestarian yang dipupuk melalui Program Sekolah Tunas Hijau perlu diteruskan secara berterusan bagi melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar, di samping menyumbang kepada usaha memelihara kelestarian bumi. Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa daerah Hilir Perak berpotensi melakar kejayaan lebih cemerlang pada masa hadapan melalui komitmen berterusan semua sekolah.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan dan hadiah kepada Komander serta Ejen Sekolah Tunas Hijau, yang disempurnakan oleh Puan Nor Hana Mohamad Rosli dengan diiringi Puan Shakirah Rashid, Tuan Haji Md. Nor Ramli Ismail dan Encik Alias Mat. Kelestarian bukan sekadar tanggungjawab, tetapi satu amanah yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang. Setiap langkah kecil seperti mengurangkan penggunaan plastik, mengitar semula bahan terpakai dan menghargai sumber semula jadi mampu menghasilkan perubahan yang besar apabila diamalkan bersama. Semoga kejayaan SMK Raja Muda Musa menjadi pencetus kepada lebih banyak sekolah untuk terus menyemai nilai kelestarian, kerana bumi yang lestari bermula daripada warga yang prihatin.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Organisai Tunas Hijau