KOMITMEN LESTARI SEMAJA DIIKTIRAF, RAIH TEMPAT KELIMA DALAM SALAH SATU MISI PROGRAM SEKOLAH TUNAS HIJAU FASA III – PERAK (SIRI 2)
TELUK INTAN, 16 Oktober 2025 – SMK Raja Muda Musa (SEMAJA) mencipta kejayaan membanggakan apabila diumumkan sebagai salah satu daripada lima sekolah terbaik yang menerima pengiktirafan dalam Majlis Apresiasi Kelestarian Alam Sekitar yang berlangsung di Dewan Avicenna, hari ini. Majlis berprestij tersebut bermula pada jam 11.15 pagi dan disertai oleh wakil sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dalam Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) (PSTHF3-Siri 2). Pasukan Tunas Hijau SMK Raja Muda Musa diketuai oleh dua Guru Pembimbing (Komander), Puan Zarina Hasan dan Puan Tan Gaek Ling, bersama 18 orang murid (Ejen Tunas Hijau) yang gigih dan berdedikasi dalam melaksanakan pelbagai inisiatif hijau di bawah program berkenaan.
Dalam ucapan, Yang Berusaha Puan Sainatul Azimah Kamaruzzaman, Pengetua SMK Raja Muda Musa, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut yang disifatkannya sebagai “lakaran sejarah” buat sekolah. Beliau menegaskan bahawa kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan warga sekolah dalam membudayakan nilai kelestarian alam sekitar. “Kelestarian bukan sekadar satu projek, tetapi satu nilai hidup yang harus diterapkan dalam diri setiap warga sekolah,” ujar beliau. Bagi memperkukuh budaya hijau, sekolah telah memperkenalkan inisiatif ‘Jumaat Tanpa Plastik’, yang mewajibkan pelajar dan guru membawa bekas makanan serta minuman sendiri, menggunakan beg kitar semula, dan mengelakkan penggunaan plastik sekali guna seperti sudu, garpu dan penyedut minuman.
Sementara itu, Puan Nor Hana Mohamad Rosli, Eksekutif Kanan Yayasan Hijau Malaysia, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada SMK Raja Muda Musa atas komitmen dan penglibatan aktif dalam melaksanakan agenda kelestarian di peringkat sekolah. Beliau menegaskan bahawa amalan hijau yang diterapkan di sekolah akan menjadi asas pembentukan generasi masa depan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. “Apabila budaya lestari dipupuk sejak di bangku sekolah, ia akan membentuk minda dan sikap positif terhadap pemeliharaan alam sekitar yang berterusan,” katanya.
Selain itu, sekolah turut menyediakan alternatif mesra alam bagi menyokong inisiatif bebas plastik. Pada setiap hari Jumaat, bekas makanan berasaskan kertas dijual sebagai pilihan kepada pelajar yang tidak membawa bekas sendiri. Sekolah juga memperkenalkan sistem ganjaran Markah Sahsiah Terpuji dan token penghargaan bagi mengiktiraf pelajar yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap amalan hijau. Usaha memperindah dan memelihara kebersihan sekolah turut diperkasa melalui aktiviti gotong-royong berkala, yang menjadi sebahagian daripada rutin warga sekolah dalam memastikan persekitaran kekal bersih, hijau dan harmoni.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh delegasi organisasi Tunas Hijau yang diwakili oleh Cik Suhairiza Suhaimi dan Cik Farah Amira Zainudin (Eksekutif PSTHF3-Siri 2), bersama Encik Mohd Rodzi Abd Razak dan Encik Ahmad Ammar Zakaria dari Sekretariat CETREE, CGSS, Universiti Sains Malaysia (USM). Majlis diakhiri dengan seruan penuh semangat oleh Puan Sainatul Azimah kepada seluruh komuniti SEMAJA untuk terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian di bawah slogan: #semajaicaniwin.
Teks / Foto: Ahmad Ammar Zakaria / Syafiq Saifullah Azmi