KONVENSYEN SUSTAINABILITY PROGRAMME PERINGKAT NEGERI KEDAH TAHUN 2019 DI HOSPITAL SIK, KEDAH
Sik, Kedah, 22 Oktober 2019 – Pengurusan Hospital Sik, Kedah dengan kerjasama Edgenta Mediserve Sdn. Bhd. (EMSB) telah menganjurkan Konvensyen Sustainability Programme Peringkat Negeri Kedah di Hospital Sik, Kedah pada 21 Oktober 2019 bertempat di perkarangan hospital tersebut.
Program yang berlangsung melibatkan seluruh warga hospital dan seluruh tetamu yang turut berkunjung dalam melakukan lawatan pesakit yang berada di Hospital Sik. Objektif utama program ini dilaksanakan adalah kerana untuk memahami dan meningkatkan lagi kefahaman berkenaan aktiviti pengurusan tenaga secara cekap, mendekatkan lagi staf Hospital Sik dengan akitiviti-aktiviti yang dijalankan di bawah “Sustainability Programme” dan memberi pendedahan kepada staf hospital berkaitan kepentingan pengurusan tenaga dan aktiviti kelestarian terutama kepada hospital khususnya dan alam sekitar secara amnya.
Beberapa pengisian dan aktiviti menarik telah dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya seperti pertandingan & penilaian Poster 3R, persembahan koir oleh staf Hospital Sik, cabutan bertuah, pertandingan mewarna bagi anak staf warga Hospital Sik, pameran dan ceramah daripada AJK Penjimatan Tenaga & 3R Hospital Sik, GIAT MARA Sik, Tabung derma darah Hospital Sik, Jabatan Alam Sekitar, E-idaman Group of Companies, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp Malaysia) Cawangan Utara dan CETREE, USM melalui Unit Pameran Bergeraknya.
Turut diserikan lagi dengan kehadiran Dr. Aniza binti Ahmat, Pengarah Hospital Sik yang mengiringi Yang Berbahagia Dato’ Dr. Norhizan Ismail, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah bagi menyampaikan hadiah dan sijil kepada pemenang-pemenang sekaligus merasmikan upacara penutup bagi Konvensyen Sustainability Programme Peringkat Negeri Kedah tahun 2019.
Kehadiran Dato’ Dr. Norhizan Ismail, ternyata menaikkan semangat seluruh warga staf Hospital Sik yang terlibat secara langsung bagi menjayakan program tersebut untuk terus komited mengamalkan budaya penjimatan tenaga dan 3R (Reuse, Reduce & Recycle) yang bersifat kehijauan sekaligus membantu kerajaan amnya dan hospital-hospital kerajaan di negeri Kedah dengan merealisasikannya kefahaman masyarakat berkaitan kelestarian alam sekitar dan Teknologi Hijau dalam kehidupan seharian. Tambah Dato’ Dr. Norhizan Ismail, “ turut berkongsi maklumat berkaitan kemajuan Hospital di Malaysia kini iaitu di negeri Kedah kawasan Langkawi sebagai hospital ketiga di negara ini menggunakan sistem solar sebagai sumber tenaga elektrik, selepas Institut Kanser Negara di Putrajaya dan Hospital Sungai Buloh di Selangor. Di mana 250 panel solar dipasang atas bumbung parkir di pekarangan Hospital Langkawi yang mana, ia mampu menghasilkan sehingga 80 kilowatt jam (kWj) bekalan elektrik sebagai sumber tenaga baharu, bagi menjana tenaga elektrik untuk kegunaan hospital ini.
Dato’ Dr. Norhizan Ismail dalam ucapannya juga turut menyuarakan hasrat untuk melihat seluruh warga Hospital Sik mengambil peluang dan bersyukur kerana diberikan peluang mengetahui tentang ilmu yang berkaitan kelestarian alam sekitar seterusnya mewujudkan rasa lebih gembira dan lebih berinovasi dan kreatif dalam kalangan staf-staf dan seluruh warga di setiap unit masing-masing.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Mohd Hazwan Hafiz Abdul Halim