Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

KUNJUNG BANTU DAN BIMBINGAN STRATEGIK PSTHF3-SIRI 2 PERKUKUH KOMITMEN HIJAU SMK AMINUDDIN BAKI, CHEMOR

CHEMOR, PERAK, 15 Oktober 2025 – Delegasi Organisasi Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) (PSTHF3-Siri 2) telah mengadakan salah satu aktiviti kunjung bantu ke SMK Aminuddin Baki, Chemor, hari ini, dalam satu sesi Kunjung Budi dan Bimbingan Strategik. Kunjungan ini bertujuan memperkukuh pelan tindakan sekolah serta memperkemas peranan pasukan utama yang diketuai oleh guru pembimbing utama (Komander), Encik Mohd Maarof Mohd Zakaria, bersama seorang lagi guru pembimbing dan 18 orang murid sebagai Ejen Tunas Hijau. Delegasi Organisasi Tunas Hijau yang hadir diketuai oleh Puan Nor Hana Mohamad Rosli (Eksekutif Kanan, Yayasan Hijau Malaysia), bersama Cik Suhairiza Suhaimi dan Cik Farah Amira Zainudin (Eksekutif PSTHF3), serta Encik Mohd Rodzi Abd Razak dan Encik Ahmad Ammar Zakaria dari Sekretariat CETREE, CGSS, Universiti Sains Malaysia (USM).

Sepanjang sesi berlangsung, pihak Organisasi Tunas Hijau telah memberikan penerangan menyeluruh mengenai hala tuju program, termasuk strategi pelaksanaan yang efektif, kriteria penilaian, dan aspek penting dalam pendokumentasian aktiviti. Perbincangan turut menekankan kepentingan pendekatan kreatif dan berimpak tinggi dalam melaksanakan inisiatif hijau di peringkat sekolah. Sebagai panduan tambahan, pihak penganjur turut berkongsi kisah kejayaan dan contoh pelaksanaan projek terbaik daripada sekolah-sekolah yang pernah dinobatkan sebagai Johan PSTH sebelum ini, bagi menyuntik inspirasi dan semangat baharu kepada warga SMK Aminuddin Baki. Encik Mohd Maarof menzahirkan maklum balas yang amat positif dan bersemangat, di samping berkongsi pelbagai cadangan serta idea pelaksanaan yang inovatif. Beliau turut menyatakan komitmen penuh dan tekad untuk memastikan SMK Aminuddin Baki mencapai prestasi cemerlang dan menjuarai program pada tahun ini.

Sesi kunjungan berakhir dengan sesi bergambar bersama guru pembimbing dan wakil penganjur di hadapan logo sekolah, sebagai simbolik kepada komitmen berterusan SMK Aminuddin Baki dalam merealisasikan agenda hijau dan mencapai kecemerlangan dalam Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2).

Teks / Foto :  Ahmad Ammar Zakaria