KUNJUNG BANTU,TAKLIMAT DAN AGIHAN BAHAN BANTU MENGAJAR (BBM) TEKNOLOGI HIJAU (TH) TAHUN 2019 ZON PANTAI TIMUR DAN TENGAH
Putrajaya, 26 Julai 2019 – Pelaksanaan Bengkel Training of Trainers (ToT) Sekolah Menegah Peringkat Negeri telah dilaksanakan dengan jayanya bagi seluruh negeri di semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak bermula pada pertengahan tahun 2018 sehingga awal tahun 2019 bertempat di negeri masing-masing. Bengkel ToT ini adalah merupakan salah satu aktiviti bagi Projek Pembangunan Ilmu, Implementasi dan Aktiviti Kesedaran Teknologi Hijau (TH) Sekolah Menengah Merentasi Kurikulum dan Kokurikulum bagi Pemantapan Pendidikan Lestari di bawah pelaksanaan CETREE dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Bengkel ToT Modul TH Sekolah Menengah diadakan bertujuan untuk memberi latihan berkaitan ilmu TH kepada guru sekolah menengah bagi mata pelajaran Sains, Biologi, Kimia, Fizik dan Asas Kelestarian seterusnya mewujudkan kesedaran dalam kalangan guru bagi melaksanakan penyebaran ilmu TH dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi mata pelajaran terlibat mahupun dalam aktiviti kokurikulum.
Sebanyak 25 Bengkel ToT Jurulatih Utama (JU) dan 1 Bengkel ToT Jurulatih Utama Pakar (JUP) bagi mata pelajaran Sains, Biologi, Kimia dan Fizik serta 2 Bengkel ToT Jurulatih Utama (JU) mata pelajaran Asas Kelestarian telah berjaya dilaksanakan melibatkan anggaran 2265 orang guru (JUP/JU) yang menerima latihan berkenaan ilmu TH. Bagi melihat tahap keberkesanan Bengkel ToT melalui pelaksanaan Modul TH di peringkat sekolah, satu sesi lawatankunjung bantu, taklimat dan agihan Bahan Bantu Mengajar (BBM) telah dijalankan melibatkan 20 buah sekolah yang mewakili 5 buah sekolah di setiap negeri di zon Pantai Timur dan zon Tengah. Bermula pada tarikh 23 Jun sehingga 25 Julai 2019 yang melibatkan sekolah yang dipilih berdasarkan laporan yang dihantar JUP atau JU kepada pihak CETREE seterusnya diputuskan melalui pemilihan akhir sekolah dibuat oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Sekolah-sekolah yang terlibat bagi zon Pantai Timur dan zon Tengah dalam lawatan kunjung bantu pelaksanaan penyebaran aktiviti modul TH di peringkat sekolah adalah seperti di negeri Kelantan (SMK Sultan Yahya Petra 2, Kuala Krai, SMK Pak Badol, Bachok, Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, SMK Kemumin, Kota Bharu dan SMK Tumpat, Tumpat), di negeri Terengganu (SMK Chendering, SMKA Shaikh Abdul Malek, SMK Sultan Ahmad, SMK Tun Indera dan SMK Bukit Diman, K.Terengganu), di negeri W.P. Kuala Lumpur (SMK Seri Mulia, SMK Bandar Tun Razak, SMK Cheras, SMK Seri Permaisuri dan SMK Bandar Tasik Selatan) dan di negeri W.P. Putrajaya (SMK Putrajaya Presint 5(1), SMK Putrajaya Presint 9(1), SMK Putrajaya Presint 14(1), SMKA Putrajaya dan SMK Putrajaya Presint 16(1).
Disamping lawatan kunjung bantu, pemberian BBM TH turut sama diberikan kepada sekolah-sekolah terpilih di setiap negeri yang dikunjungi oleh pihak CETREE, KPM, YaHijau dan MESTECC. BBM TH tersebut merupakan salah satu bahan sokongan dalam penyebaran ilmu TH di peringkat sekolah. Lanjutan lawatan tersebut, satu makmal dan penerangan ringkas berkaitan BBM TH turut sama diadakan bagi membantu memudahkan JUP/JU bagi setiap negeri menggunakannya dengan lebih efisen dan berkesan lagi.
Objektif utama kunjung bantu ini adalah untuk melihat kembali pelaksanaan Bengkel ToT peringkat negeri yang telah dijalankan pada tahun 2018 dan 2019 melalui penilaian secara kunjung bantu ke 5 buah sekolah-sekolah terpilih di setiap negeri yang diberikan oleh JPN setiap negeri dari Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM. Ini melibatkan juga beberapa maklum balas kekurangan serta kemajuan daripada sekolah-sekolah yang mempunyai JUP negeri yang telah melaksanakan bengkel TOT Modul TH di peringkat sekolah pada tahun 2018 dan 2019.
Lawatan kunjung bantu di zon Pantai Timur dan zon Tengah yang berlangsung selama sehari mempunyai intipati dan pengisian seperti sesi ucapan aluan dariapda Profesor Dr. Haslan bin Abu Hassan, Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu (KTP), Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap Penasihat CETREE, diikuti dengan sesi JUP/JU sekolah membuat Pembentangan pelaksanaan penyebaran aktiviti modul TH di peringkat sekolah, sesi lawatan lokasi sekolah, sesi semakan senarai pelaksanaan aktiviti TH di sekolah, sesi soal jawab, sesi penerangan cara pelaksanaan BBM TH, sesi penyerahan set BBM TH, sesi penerimaan set BBM TH dan diakhiri dengan sesi rumusan.
Pengakhiran setiap lawatan kunjung bantu di zon Pantai Timur dan zon Tengah yang diadakan, diserikan lagi dengan kehadiran wakil pegawai daripada CETREE, Yayasan Hijau Malaysia, JPN dan KPM bagi melihat dan memantau cara pelaksanaan Modul TH dan BBM TH serta memberi komen-komen yang membina kepada JUP/JU negeri dalam pelaksanaan Modul TH di sekolah masing-masing. Sesi bergambar bersama JUP/JU dan pihak pengurusan sekolah sebagai kenang-kenangan menjadi acara terakhir bagi penutup setiap lawatan kunjung bantu.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE