KUNJUNG BANTU,TAKLIMAT DAN AGIHAN BAHAN BANTU MENGAJAR (BBM) TEKNOLOGI HIJAU (TH) TAHUN 2019 ZON UTARA
Sanglang, Perlis, 15 Julai 2019 – Bengkel Training of Trainers (ToT) Sekolah Menegah Peringkat Negeri telah dilaksanakan dengan jayanya di seluruh negeri di Malaysia. Pelaksanaannya bermula pada pertengahan tahun 2018 dan berakhir pada awal tahun 2019. Bengkel ToT ini adalah merupakan salah satu aktiviti bagi Projek Pembangunan Ilmu, Implementasi dan Aktiviti Kesedaran Teknologi Hijau (TH) Sekolah Menengah Merentasi Kurikulum dan Kokurikulum bagi Pemantapan Pendidikan Lestari di bawah pelaksanaan CETREE dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Bengkel ToT Modul TH Sekolah Menengah adalah bertujuan untuk memberi latihan berkaitan ilmu TH kepada guru sekolah menengah bagi mata pelajaran Sains, Biologi, Kimia, Fizik dan Asas Kelestarian. Selain itu, bengkel tersebut juga dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan guru bagi melaksanakan penyebaran ilmu TH dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi mata pelajaran terlibat mahupun dalam aktiviti kokurikulum.
Sebanyak 25 Bengkel ToT Jurulatih Utama (JU) dan 1 Bengkel ToT Jurulatih Utama Pakar (JUP) bagi mata pelajaran Sains, Biologi, Kimia dan Fizik serta 2 Bengkel ToT Jurulatih Utama (JU) mata pelajaran Asas Kelestarian telah berjaya dilaksanakan melibatkan anggaran 2265 orang guru (JUP/JU) yang menerima latihan berkenaan ilmu TH. Bagi melihat tahap keberkesanan Bengkel ToT melalui pelaksanaan Modul TH di peringkat sekolah, satu sesi lawatankunjung bantu, taklimat dan agihan Bahan Bantu Mengajar (BBM) telah dijalankan melibatkan 15 buah sekolah yang mewakili 5 buah sekolah di setiap negeri di zon Utara. Bermula pada tarikh 24 Jun sehingga 12 Julai 2019 yang melibatkan sekolah yang dipilih berdasarkan laporan yang dihantar JUP atau JU kepada pihak CETREE seterusnya diputuskan melalui pemilihan akhir sekolah dibuat oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Sekolah-sekolah yang terlibat bagi zon Utara dalam lawatan kunjung bantu pelaksanaan penyebaran aktiviti modul TH di peringkat sekolah bermula dengan lawatan kunjung bantu di negeri Pulau Pinang (SMK Datuk Haji Ahmad Said, Butterworth, SMK Seri Nibong, Nibong Tebal, SMK Permatang Rawa, Bandar Baru Perda, SMK Convent Green Lane, Georgetown dan SMK Convent Butterworth) seterusnya di negeri Kedah (SMK Hosba, Kubang Pasu, SMK Darul Aman Height 1, Kubang Pasu, SMK Naka, Padang Terap, SMK Kuala Ketil, Baling dan Sekolah Model Khas Bukit Jenun, Pendang) dan yang terakhir di negeri Perlis (SMK Tengku Suleiman, Kangar, SMK Syed Sirajjudin, Arau, SMK Dato Sheikh Ahmad, Arau, SMA Islahiah, Simpang Empat dan SMK Sanglang, Simpang Empat).
Disamping lawatan kunjung bantu, pemberian BBM TH turut sama diberikan kepada sekolah-sekolah terpilih di setiap negeri yang dikunjungi oleh pihak CETREE, KPM, YaHijau dan MESTECC. BBM TH tersebut merupakan salah satu bahan sokongan dalam penyebaran ilmu TH di peringkat sekolah. Lanjutan lawatan tersebut, satu makmal dan penerangan ringkas berkaitan BBM TH turut sama diadakan bagi membantu memudahkan JUP/JU bagi setiap negeri menggunakannya dengan lebih efisen dan berkesan lagi.
Objektif utama kunjung bantu ini adalah untuk melihat kembali pelaksanaan Bengkel ToT peringkat negeri yang telah dijalankan pada tahun 2018 dan 2019 melalui penilaian secara kunjung bantu ke 5 buah sekolah-sekolah terpilih di setiap negeri yang diberikan oleh JPN setiap negeri dari Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM. Ini melibatkan juga beberapa maklum balas kekurangan serta kemajuan daripada sekolah-sekolah yang mempunyai JUP negeri yang telah melaksanakan bengkel TOT Modul TH di peringkat sekolah pada tahun 2018 dan 2019.
Lawatan kunjung bantu di zon Utara yang berlangsung selama sehari mempunyai intipati dan pengisian seperti sesi ucapan aluan dariapda Profesor Madya Dr. Mohd Wira bin Mohd Shafiei, Pengarah CETREE dan Dr. Mohd Sukri bin Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik diikuti dengan sesi JUP/JU sekolah membuat Pembentangan pelaksanaan penyebaran aktiviti modul TH di peringkat sekolah, sesi lawatan lokasi sekolah, sesi semakan senarai pelaksanaan aktiviti TH di sekolah, sesi soal jawab, sesi penerangan cara pelaksanaan BBM TH, sesi penyerahan set BBM TH, sesi penerimaan set BBM TH dan diakhiri dengan sesi rumusan.
Pengakhiran setiap lawatan kunjung bantu di zon Utara yang diadakan, diserikan lagi dengan kehadiran wakil pegawai daripada CETREE, Yayasan Hijau Malaysia, JPN dan KPM bagi melihat dan memantau cara pelaksanaan Modul TH dan BBM TH serta memberi komen-komen yang membina kepada JUP/JU negeri dalam pelaksanaan Modul TH di sekolah masing-masing. Sesi bergambar bersama JUP/JU dan pihak pengurusan sekolah sebagai kenang-kenangan menjadi acara terakhir bagi penutup setiap lawatan kunjung bantu.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat CETREE