KUNJUNGAN DAN LAWATAN RASMI KETUA PEGAWAI OPERASI
YAYASAN HIJAU MALAYSIA
YAYASAN HIJAU MALAYSIA
USM PULAU PINANG, 15 Oktober 2024 – Satu mesyuarat telah diadakan bagi membincangkan kemajuan Program Pendidikan Kesedaran Tenaga Green Guardian. Program ini dilaksanakan dengan pembiayaan Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) melalui kerjasama antara Yayasan Hijau Malaysia dan Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, Universiti Sains Malaysia (USM). Mesyuarat ini bertujuan menilai perkembangan program serta merangka strategi bagi memperkasa kesedaran masyarakat mengenai tenaga lestari.
Dalam mesyuarat ini, tiga skop utama telah dibincangkan. Skop pertama melibatkan pembangunan kandungan tenaga lestari bagi program Green Guardian, yang bertujuan menyediakan modul pembelajaran komprehensif untuk meningkatkan pemahaman pelajar dan masyarakat tentang tenaga lestari. Skop kedua pula memfokuskan penganjuran Karnival Inovasi Tenaga Peringkat Kebangsaan, iaitu satu platform interaktif untuk mempamerkan inovasi dalam bidang tenaga serta memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penggunaan tenaga secara cekap dan mampan. Seterusnya, skop ketiga menekankan pembangunan Siri Video Modul Tenaga Lestari yang merangkumi 13 episod. Siri video ini dirancang sebagai bahan pembelajaran interaktif yang mudah diakses, bertujuan memperluas pengetahuan orang ramai mengenai konsep tenaga lestari.



Mesyuarat ini telah berlangsung selama satu hari di Pejabat Rasmi CETREE, Bangunan TORAY-USM, Pulau Pinang. Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Yang Berusaha Puan Shahrinaz Maamor, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Hijau Malaysia, serta Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Penyelaras CETREE, CGSS, USM. Selain itu, pegawai-pegawai daripada Yayasan Hijau Malaysia dan CETREE turut serta dalam perbincangan ini bagi menyumbangkan pandangan serta memperkukuh pelaksanaan program. Secara keseluruhannya, mesyuarat ini berjaya mencapai objektifnya dalam merancang dan memperkemaskan pelaksanaan Program Green Guardian. Dengan kerjasama erat antara Yayasan Hijau Malaysia dan CETREE, program ini diharapkan dapat terus berkembang dan memberi impak positif kepada masyarakat dalam usaha membentuk masa depan yang lebih lestari dan mesra alam.
Teks / Foto : Syafiq Saifullah Azmi