KUNJUNGAN HORMAT CETREE, CGSS KE JABATAN PENDIDIKAN NEGERI KEDAH: MEMPERKASA KESEDARAN TENAGA LESTARI 2026
ALOR SETAR, KEDAH, Februari 2026 -Satu kunjungan hormat telah diadakan oleh CETREE, CGSS ke pejabat Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Yang Berusaha, Encik Abdul Rahim Mat, AMK., BCK. Delegasi CETREE, CGSS diketuai oleh Dr. Mohd Sukri Shafie selaku Ketua Pegawai Penyelidik CETREE, CGSS. Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama yang telah terjalin antara CETREE, CGSS dengan jabatan tersebut, khususnya dalam bidang pendidikan dan kesedaran tenaga lestari kepada murid-murid serta guru-guru sekolah di negeri Kedah. Jabatan Pendidikan Negeri Kedah merupakan salah satu agensi kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah lama menyokong CETREE sejak penubuhannya, khususnya dalam perkongsian ilmu dan kesedaran berkaitan Tenaga Boleh Baharu serta Kecekapan Tenaga di seluruh negara.
Sesi pertemuan ini turut menjadi platform untuk bertukar pandangan serta memperkukuh komitmen bersama yang selari dengan agenda kerajaan dalam melahirkan modal insan berpengetahuan dan peka terhadap kepentingan tenaga lestari, bermula daripada peringkat murid sekolah. Seiring dengan semangat tahun baharu 2026, CETREE, CGSS merancang untuk menganjurkan sebuah karnival pendidikan berkonsepkan pertandingan, dengan negeri Kedah dipilih sebagai lokasi penganjuran pertama. Karnival ini akan mengetengahkan tema Tenaga Lestari dan melibatkan enam negeri rintis, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka dan Pahang. Program ini dijangka menghimpunkan hampir 300 orang peserta yang terdiri daripada murid, guru serta komuniti setempat.
Negeri Kedah turut dipilih sebagai tuan rumah pertama bagi Karnival Tenaga Lestari Peringkat Kebangsaan 2026, yang merupakan penganjuran julung kali oleh CETREE dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan seperti Yayasan Hijau Malaysia dan Enam Jabatan Pendidikan Negeri sebagai negeri rintis. Inisiatif ini turut disokong oleh Malaysia Energy Literacy Program (MELP), sebuah program utama di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). Pelaksanaan karnival ini dibiayai sepenuhnya melalui Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) dan telah berlangsung pada 9 hingga 12 Februari 2026 di Swiss Avenue Hotel, Sungai Petani, Kedah.
Diharapkan sokongan padu dan semangat kepimpinan daripada Tuan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah akan dapat memeriahkan usaha CETREE, CGSS dalam menjayakan karnival ini, sekaligus meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan tenaga lestari di kalangan generasi muda dan masyarakat umum. Karnival tersebut bukan sahaja menjadi platform pendidikan dan inovasi dalam tenaga lestari, malah berperanan membina kesedaran kolektif serta semangat tanggungjawab terhadap alam sekitar. Dengan kerjasama erat antara CETREE, CGSS dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, program ini dijangka memberi impak yang signifikan dalam membentuk generasi yang lebih berpengetahuan, kreatif, dan prihatin terhadap penggunaan tenaga secara cekap dan lestari.
Kunjungan hormat ini bukan sahaja mengukuhkan kerjasama strategik antara CETREE, CGSS dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, malah membuka ruang bagi perancangan program-program inovatif yang mampu menyemai kesedaran tenaga lestari di kalangan generasi muda. Dengan penganjuran karnival pendidikan bertemakan Tenaga Lestari, CETREE, CGSS berharap dapat membina budaya peka tenaga dan tanggungjawab terhadap alam sekitar, selain melahirkan murid dan guru yang berpengetahuan, kreatif, dan proaktif dalam memupuk amalan penggunaan tenaga secara cekap dan lestari. Sokongan berterusan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dijangka menjadi pemangkin utama kejayaan inisiatif ini, sekaligus memberi impak positif yang meluas ke seluruh negeri dan masyarakat setempat.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Dr. Mohd Sukri Shafie