Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

"LANGKAH KECIL, IMPAK BESAR: AMALAN 5R WARNAI MINGGU STEM SMK SELINSING"

KERIAN, PERAK, 24 Julai 2025 - Dalam usaha melahirkan generasi muda yang prihatin terhadap kelestarian alam sekitar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selinsing telah mengambil inisiatif menganjurkan sebuah program berinformasi sempena Minggu STEM yang bertemakan “Amalan 5R dan Isu Penggunaan Plastik Sekali Guna”. Program ini telah berjaya dilaksanakan pada 23 Julai 2025 bertempat di Dewan Utama SMK Selinsing, Simpang Empat Semanggol, Perak. Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program Sekolah Tunas Hijau (PSTH) Fasa III – Perak (Siri 2) dan bertujuan menyampaikan maklumat serta kesedaran kepada seluruh warga sekolah berkenaan amalan hijau dan isu alam sekitar semasa.

Program ini telah dirancang dengan kerjasama erat antara pihak sekolah yang diketuai oleh Puan Norsham Ahmad selaku Komander Tunas Hijau SMK Selinsing dan organisasi Tunas Hijau. Hubungan strategik ini dilihat berjaya memperkasa lagi usaha menyemai kesedaran dan pengetahuan berkaitan amalan 5R serta bahaya penggunaan plastik sekali guna dalam kalangan murid dan guru. Program yang berlangsung selama separuh hari ini turut mendapat sokongan daripada warga sekolah dengan kehadiran bersama Tuan Haji Izzuddin Ahmad, Guru Penolong Kanan Kokurikulum yang mewakili Pengetua SMK Selinsing. Delegasi dari organisasi Tunas Hijau yang diketuai oleh Profesor Dr. Haslan Abu Hassan, Pensyarah Kehormat dari Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia, hadir selaku Kaunsel Tunas Hijau. Beliau turut diiringi oleh dua orang eksekutif organisasi tersebut, iaitu Encik Syafiq Saifullah Azmi dan Cik Farah Amira Zainudin. Mereka telah menyampaikan sesi perkongsian ilmu yang sarat dengan maklumat berguna berkaitan pemeliharaan alam sekitar melalui prinsip 5R, iaitu Refuse (Tolak), Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula), Recycle (Kitar Semula), dan Redesign (Pulih Sumber).

Murid-murid didedahkan kepada kepentingan menolak penggunaan plastik sekali guna seperti straw, sudu dan bekas makanan pakai buang. Profesor Dr. Haslan menegaskan bahawa penggunaan plastik secara tidak terkawal telah menyumbang kepada pencemaran alam sekitar yang kian meruncing. Beliau turut menjelaskan bahawa plastik jenis ini amat sukar untuk terurai dan kebanyakannya berakhir di lautan atau sistem sungai, sekali gus mengancam hidupan marin dan memberi kesan negatif terhadap kesihatan manusia. Antara contoh amalan baik yang diketengahkan termasuklah penggunaan botol air boleh guna semula, membawa bekas makanan sendiri ke sekolah, serta pengasingan sisa untuk kitar semula. Sebaliknya, amalan membuang plastik ke dalam tong sampah biasa tanpa pengasingan serta penggunaan harian plastik pakai buang dikenalpasti sebagai penyumbang utama kepada pencemaran jangka panjang. Justeru, warga sekolah diseru agar menjadi ejen perubahan yang mengamalkan budaya hijau dalam kehidupan seharian.

Program ini turut diserikan dengan upacara penanaman pokok sebagai simbolik perasmian peringkat sekolah bagi PSTH Fasa 3 - (Siri 2). Seterusnya, majlis menandatangani plak simbolik kerjasama antara organisasi Tunas Hijau dan pihak sekolah telah diadakan sebagai tanda komitmen bersama dalam memperkukuh pendidikan kelestarian alam sekitar. Sebagai penghargaan, sijil dan cenderamata turut disampaikan kepada para tetamu jemputan. Program ini diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama murid, guru, dan tetamu yang hadir. Secara keseluruhannya, program ini berjaya menyuntik semangat kesedaran dan tanggungjawab dalam kalangan warga SMK Selinsing mengenai bahaya plastik sekali guna serta kepentingan mengamalkan prinsip 5R. Diharapkan usaha ini menjadi titik permulaan kepada pembentukan generasi hijau yang lebih bertanggungjawab dan cakna terhadap alam sekitar. Semoga inisiatif ini dapat diteruskan dan dikembangkan ke peringkat lebih luas agar budaya hijau terus mekar dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat setempat.

Teks / Foto : Syafiq Saifullah Azmi