Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

LANGKAH LEBIH BERANI: SERI KANDI SEDIA MELANGKAH KE FASA MISI LEBIH MENCABAR

TELUK INTAN, PERAK, 20 November 2025 – Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) terus digerakkan dengan penuh iltizam oleh Organisasi Tunas Hijau yang diketuai oleh Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik CETREE, CGSS, USM merangkap Pengarah Program. Pada 19 November 2025, pasukan ini telah melaksanakan satu lagi aktiviti penting iaitu sesi Kunjung Bantu ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kandi, Teluk Intan, Perak, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan program melibatkan 103 buah sekolah di seluruh negeri Perak. Ketibaan rombongan telah disambut dengan penuh hormat oleh Penolong Kanan Kokurikulum SMK Seri Kandi, Puan Saidatul Akmar Sihab, bersama Komander dan Ejen Tunas Hijau sekolah tersebut. Sesi dimulakan dengan ucapan aluan daripada Puan Saidatul yang menzahirkan penghargaan atas kesudian pihak Organisasi Tunas Hijau hadir memberikan bimbingan secara langsung kepada pihak sekolah.

Dalam ucapannya, Dr. Mohd Sukri menjelaskan bahawa kunjungan ini dilaksanakan bagi membimbing, menyokong serta memudahcara pelaksanaan tugas oleh Komander dan Ejen Tunas Hijau, khususnya dalam memahami keperluan misi di bawah Operasi Alpha. Beliau turut menegaskan objektif utama Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2), iaitu mengukuhkan kepimpinan pelajar, memupuk tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar serta memperkukuh penyertaan menyeluruh seluruh warga sekolah. Seterusnya, Cik Farah Amira Zainudin, Eksekutif Tunas Hijau, telah menyampaikan penerangan komprehensif mengenai misi-misi yang perlu dipenuhi oleh ejen sekolah. Beliau menekankan keperluan penglibatan menyeluruh semua pihak—termasuk guru, Anggota Kumpulan Pelaksana Sekolah, kontraktor kantin dan pasukan pembersihan—bagi memastikan Operasi Alpha dapat dilaksanakan secara sistematik dan berkesan. Komander turut diingatkan agar memastikan data ejen dikemas kini dengan tepat kerana maklumat tersebut akan digunakan bagi tujuan pemberian sijil serta pemarkahan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) peringkat negeri.

Majlis disempurnakan dengan acara penyampaian lencana (badge) senior kepada para Ejen Tunas Hijau serta Puan Jamaruziana Jamaludin, Komander yang telah menyempurnakan keseluruhan misi di bawah Operasi Alpha. Penyampaian ini bukan sekadar satu bentuk penghargaan, malah menjadi pengiktirafan terhadap komitmen, ketekunan dan keupayaan mereka untuk melangkah ke peringkat yang lebih mencabar. Sesi fotografi turut diadakan sebagai rekod dan bukti pelaksanaan rasmi sesi Kunjung Bantu tersebut. Program Tunas Hijau bukan sahaja menuntut pelaksanaan tugasan, bahkan membentuk sahsiah kepimpinan. Setiap misi yang berjaya disempurnakan merupakan latihan membina jati diri, manakala setiap amanah yang dilaksanakan mencerminkan kesedaran terhadap kelestarian bumi. Diharapkan sesi ini menjadi pemangkin motivasi kepada Komander dan Ejen Tunas Hijau SMK Seri Kandi untuk terus memperkukuh penglibatan, menutup jurang pelaksanaan misi yang masih berbaki serta melengkapkan semua tugasan bagi melayakkan diri menerima sijil penyertaan serta badge seterusnya.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Suhairiza Suhaimi