MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN & ANUGERAH PROGRAM SEKOLAH TUNAS HIJAU FASA II: KE ARAH PEMBENTUKAN AMALAN HIJAU DI KALANGAN WARGA SEKOLAH
SUNGAI PETANI, 30 November 2021 – Program Sekolah Tunas Hijau Fasa II: Ke Arah Pembentukan Amalan Hijau di kalangan Warga Sekolah, peringkat negeri Kedah adalah di bawah pelaksanaan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dengan rakan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Yayasan Hasanah (YH) dan juga Universiti Sains Malaysia (USM) - (Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP)). Pelaksanaan program ini telah melibatkan 26 buah sekolah menengah terpilih dari daerah Kuala Muda-Yan, negeri Kedah dengan penglibatan pasukan utama program secara keseluruhan seramai 520 orang guru dan juga murid bermula pada September 2020 sehinggalah November 2021. Objektif utama program ini adalah bagi penyebaran ilmu-ilmu tentang amalan hijau kepada warga sekolah untuk pelaksanaan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan sasaran yang diletakkan bagi pengurangan pembaziran elektrik di sekolah, pengurangan pembaziran air di sekolah dan juga pengurangan sisa pepejal di sekolah.
Program ini memberi impak yang positif kepada sekolah-sekolah yang terlibat walaupun negara ketika itu sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Antara aktiviti-aktiviti utama yang telah dijalankan dalam tempoh pelaksanaan program adalah makmal Tunas Hijau bersama semua wakil guru dengan latihan yang diberikan berpandukan modul khas yang dibangunkan, webinar bersiri tentang amalan hijau yang dijalankan kepada sekolah secara atas talian melibatkan pakar-pakar akademik, pertandingan kuiz Tunas Hijau antara sekolah, penilaian pelaporan dan analisis data tentang pencapaian sekolah dalam amalan hijau, penghasilan video aktiviti amalan hijau di sekolah dan sesi soal jawab murid bersama juri-juri program yang dilantik yang dijalankan secara atas talian bagi menilai pengetahuan dan budaya amalan yang telah dicapai melalui program yang dilaksanakan. Yayasan Hijau Malaysia selaku penganjur program turut berhasrat untuk meneruskan program ini ke negeri-negeri lain dan ke peringkat kebangsaan.
SMJK Sin Min telah dinobatkan sebagai Johan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa II diikuti dengan SMK Sungai Pasir selaku Naib Johan, SMK Sungai Pasir Kechil sebagai pemenang Tempat Ketiga, SMK St. Theresa telah memenangi Tempat Keempat manakala SMK Pekula Jaya pula memenangi Tempat Kelima program tersebut. Pemenang Tempat Pertama sehingga Tempat Kelima menerima hadiah utama berupa wang tunai (Johan: RM 5,000.00, Naib Johan: RM2,000,00, Tempat Ketiga: RM1,000.00, Tempat Keempat dan Tempat Kelima masing-masing RM500.00). Selain itu, sekolah turut menerima plak penghargaan dan sijil pencapaian kepada setiap pemenang.
Hadiah disampaikan oleh Yang Berusaha En. Sabri bin Osman, Timbalan Pengarah (Pembangunan Murid), Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah En. Amin Abdullah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijau Malaysia, Pn. Ivy Wong Abdullah, Ketua Alam Sekitar Yayasan Hasanah, serta para pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Pejabat Pendidikan Daerah, Kuala Muda-Yan, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Yayasan Hijau Malaysia, Yayasan Hasanah dan Universiti Sains Malaysia.
Teks : Dr. Mohd Sukri Shafie
Foto : Sekretariat Program Sekolah Tunas Hijau Fasa II tahun 2021