PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN, 25 MAC 2023 – Majlis Perasmian Pusat STEM Negeri @ STEM Hub N9 telah berjaya dilaksanakan pada 24 Mac 2023 yang bertempat di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS). Program ini bertujuan bagi memperkenalkan dan membangunkan galeri STEM Hub di kawasan selatan semenanjung Malaysia. Selain itu, galeri ini dapat mewujudkan sebuah STEM Hub yang akan melibatkan agensi-agensi luar yang mampu menerapkan unsur STEM bagi murid-murid yang akan melawat di tapak STEM hub ini kelak. CETREE merupakan salah satu agensi yang terlibat seacara langsung dengan penempatan 1 set bahan bantu mengajar bagi rujukan sekolah menengah dan 1 set bahan bantu mengajar bagi rujukan sekolah rendah dalam usaha menyebarkan kesedaran berkaitan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau CETREE, CGSS, USM untuk diletakkan di dalam galeri STEM Hub tersebut.
Majlis perasmian tersebut dimeriahkan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan serta pelbagai agensi kerajaan dan swasta turut sama-sama hadir. CETREE secara tidak langsung dengan trademark dan ikon yang tersendiri iaitu kehadiran Unit Pameran Bergerak Teknologi Hijau sebagai memberikan sokongan kepada JPNS dalam usaha menyebarkan ilmu sains dan teknologi kepada tetamu-tetamu yang hadir. Selain itu juga, sesi lawatan ke Unit Pameran Bergerak dan sesi bergambar bersama tetamu kenamaan turut diadakan semasa majlis tersebut berlangsung dengan diketuai oleh Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan, CETREE bersama sekretariat CETREE iaitu Encik Mohd Rodzi Abd. Razak.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Mohd Rodzi Abd. Razak