MEMERANGI PLASTIK SEKALI GUNA: CGSS & CETREE PERKASA PENDIDIKAN LESTARI MELALUI TILTING FUTURES
USM, PULAU PINANG, 15 November 2025 – Program Tilting Futures: Take Action Lab ke Universiti Sains Malaysia (USM) melalui penganjuran slot aktiviti di CETREE dan CGSS sebagai usaha memperkukuh jaringan antara pelajar antarabangsa dan agensi yang terlibat dalam agenda kelestarian. Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) bersama Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE) telah merancang pengisian yang merangkumi pendidikan, perkongsian ilmu serta aktiviti praktikal yang relevan dengan isu kelestarian semasa. Program ini dilaksanakan pada 14 November 2025 bertempat di Dewan Seminar Bangunan TORAY-USM dan Tzu Chi Environment Protection Education Centre, Taman Sri Nibong. Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memperkaya pengetahuan peserta dalam isu kelestarian sejagat. Kehadiran pelajar antarabangsa dari 17 buah negara termasuk Liberia, Ethiopia, Bolivia, Peru, Hungary, Brazil, South Sudan dan Rwanda menyerlahkan semangat keterangkuman serta memperkukuh jaringan global di bawah inisiatif Tilting Futures. Penglibatan ini turut mempamerkan komitmen USM terhadap pendidikan bertaraf dunia yang berpaksikan nilai kelestarian dan kepelbagaian.
Sesi dimulakan dengan perkongsian ilmu oleh Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, Timbalan Pengarah CGSS, yang menerangkan objektif penubuhan pusat tersebut dalam memacu agenda kelestarian di USM serta peringkat antarabangsa. Beliau turut menyentuh kejayaan CGSS dalam inisiatif seperti Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings serta penglibatan aktif pelajar melalui Environmental Protection and Education Hub, termasuk peranan ikon mahasiswa seperti Green Ambassador.
Perkongsian diteruskan oleh Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik CETREE, yang menghuraikan sejarah, objektif dan fokus penubuhan CETREE dalam meningkatkan kesedaran berkaitan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau kepada warga sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT). Beliau turut berkongsi kejayaan terkini CETREE dalam program pengurangan penggunaan plastik sekali guna yang dijalankan bersama Yayasan Hasanah dan Yayasan Hijau Malaysia.
Turut sama menyempurnakan program ialah Encik Soik Eik Kwang, Environmental Protection Program Coordinator, Tzu Chi Environment Protection Education Centre, yang menyambut dan membimbing para peserta di pusat tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk lawatan sekitar pusat, sesi soal jawab dan aktiviti hand's on seperti pengkelasan jenis-jenis plastik—pendekatan praktikal yang turut diamalkan Tzu Chi dalam mendidik komuniti setempat.
Program sehari Tilting Futures bersama CGSS dan CETREE diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Pengarah CGSS, sebelum para peserta diraikan dalam jamuan ringkas. Program ini bukan sekadar platform perkongsian ilmu, tetapi menjadi ruang yang menghubungkan minda, budaya dan aspirasi peserta dari pelbagai negara. Melalui pendedahan terhadap isu-isu kelestarian sebenar, para peserta diharapkan dapat membawa pulang inspirasi dan semangat untuk terus memperjuangkan agenda kelestarian di negara masing-masing.
Penganjuran ini juga membuktikan bahawa usaha kolaboratif antara akademia, organisasi komuniti dan agensi antarabangsa mampu mencetus perubahan yang bermakna. USM, melalui CGSS dan CETREE, komited untuk terus memainkan peranan sebagai peneraju kelestarian global—melahirkan generasi yang bukan sahaja celik ilmu tetapi berjiwa pendahulu dalam memacu masa depan yang lebih lestari.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Ahmad Ammar Zakaria / Khoo Jia Jie