MEMPERKUKUH PENDIDIKAN TENAGA LESTARI: JABATAN PENDIDIKAN NEGERI JOHOR DAN CETREE BERSATU TENAGA
JOHOR BHARU, JOHOR, 24 Januari 2025 - Pada 23 Januari 2025, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN Johor) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM, Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dan Jawatankuasa Karnival Tenaga Lestari (KTL) Kebangsaan. Kunjungan ini berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama Pengarah JPN Johor dengan matlamat utama membincangkan pelaksanaan Karnival Tenaga Lestari (KTL) Peringkat Negeri dan Kebangsaan bagi tahun 2024/2025. Program ini dirancang untuk memberikan impak besar dalam memperkukuhkan pendidikan tenaga lestari kepada murid-murid sekolah di negeri Johor.
Delegasi ini diketuai oleh Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan CETREE, bersama pegawai kanan dari CETREE, Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dan Jawatankuasa KTL Kebangsaan. Kehadiran mereka disambut mesra oleh Pengarah JPN Johor, Yang Berusaha Haji Mohd Hanafi Samad, bersama pegawai-pegawai kanan jabatan. Dalam ucapan alu-aluannya, Haji Mohd Hanafi Samad menyampaikan penghargaan atas usaha murni yang dilaksanakan oleh CETREE, Yayasan Hijau Malaysia dan Jawatankuasa KTL Kebangsaan dalam memupuk kesedaran tenaga lestari dalam kalangan murid sekolah. Beliau menegaskan bahawa JPN Johor komited untuk memberikan sokongan penuh terhadap program-program pendidikan yang membawa manfaat besar kepada pelajar dan masyarakat.
Sesi perbincangan memberi fokus kepada penglibatan JPN Johor dalam memperluaskan penganjuran Karnival Tenaga Lestari di seluruh negeri Johor. Dalam pembentangannya, Dr. Mohd Sukri Shafie berkongsi sejarah panjang program ini yang bermula pada tahun 2006 sebagai Karnival Sains dan Teknologi (KaSTEK), sebelum dijenamakan semula sebagai Karnival Inovasi Teknologi Hijau (KITH) pada tahun 2016 hingga 2019. Kini, dengan pendekatan yang lebih komprehensif, karnival ini dijenamakan sebagai Karnival Tenaga Lestari (KTL) yang menekankan penggunaan tenaga boleh baharu dan amalan kecekapan tenaga, selaras dengan agenda pemeliharaan alam sekitar.
CETREE turut menegaskan bahawa objektif utama KTL adalah untuk meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan tenaga lestari dan memupuk tanggungjawab dalam menjaga alam sekitar. Program ini juga bertujuan untuk memperkasa murid sekolah rendah dan menengah melalui pelbagai pertandingan yang menguji kreativiti serta pengetahuan mereka dalam bidang tenaga lestari. Antara pertandingan yang dirancang termasuk Kediaman Pintar Cekap Tenaga dan Solar Car Race bagi pelajar sekolah rendah, manakala pelajar sekolah menengah akan berpeluang menyertai pertandingan seperti Reka Cipta Inovasi Tenaga, Poster Tenaga Generatif AI, Solar Car Race, Fotografi Tenaga, dan Kuiz Tenaga Lestari. Pertandingan Kuiz Tenaga Lestari dan Fotografi Tenaga dijadualkan bakal berlangsung antara pada pertengah tahun 2025 dan dijangka menerima sambutan menggalakkan daripada pelajar di negeri Johor.
Pengarah JPN Johor turut menegaskan kepentingan penglibatan aktif JPN Johor dalam semua program pendidikan yang melibatkan murid-murid sekolah di bawah seliaan jabatan. Beliau percaya bahawa Karnival Tenaga Lestari bukan sahaja membantu pelajar memahami konsep tenaga lestari, malah dapat melahirkan generasi yang lebih peka terhadap isu pemeliharaan alam sekitar. Program ini juga dilihat sebagai platform yang mampu membentuk pemimpin muda yang boleh menjadi agen perubahan dalam komuniti mereka. Program ini dijangka memberikan impak positif dalam jangka masa panjang kepada negeri Johor. Antaranya termasuklah melahirkan pelajar yang lebih prihatin terhadap penggunaan tenaga boleh baharu dan amalan kecekapan tenaga. Selain itu, ia turut menyasarkan pembentukan generasi muda yang mampu menjadi duta komunikasi dalam menyebarkan kesedaran mengenai tenaga lestari kepada masyarakat. Dalam jangka masa panjang, program ini diharapkan dapat mengurangkan pelepasan karbon melalui amalan penggunaan tenaga yang lebih cekap dan lestari di peringkat komuniti.
Sebagai penutup, Haji Mohd Hanafi Samad menyatakan komitmen JPN Johor untuk terus menyokong program-program pendidikan tenaga lestari demi pembangunan sahsiah dan pengetahuan murid. Beliau berharap agar kerjasama antara JPN Johor, CETREE, Yayasan Hijau Malaysia dan Jawatankuasa KTL Kebangsaan dapat diteruskan dan diperkukuhkan lagi pada masa hadapan. Usaha ini selari dengan aspirasi negeri Johor untuk membentuk generasi muda yang berpengetahuan tinggi dalam bidang tenaga lestari serta mampu memainkan peranan aktif dalam menjaga kelestarian alam sekitar demi masa depan yang lebih mampan.
Teks / Foto : Syafiq Saifullah Azmi
Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau, (CETREE), CGSS
Aras 5, Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Centre for Education and Training in Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology (CETREE), CGSS
Level 5, Hamzah Sendut Library, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Penang, Malaysia
Tel : 604 - 653 6730 / 6707 | Fax : 604 – 6535273 | Email :