MENEROKA DUNIA NANO BERSEMPENA MINGGU SAINS NEGARA
USM PULAU PINANG, 29 September 2024 - Dunia sains dan teknologi terus berkembang dengan pesat, mencetuskan pelbagai inovasi yang mengubah kehidupan manusia. Salah satu bidang yang semakin mendapat perhatian ialah nanoteknologi—satu disiplin yang membuka pintu kepada pelbagai penemuan baharu dalam dunia sains, perubatan, kejuruteraan, dan kelestarian alam. Menyedari kepentingan bidang ini, Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR) Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan NANORUSH: Racing Through The Nanoworld! sempena Minggu Sains Negara dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Fizik, Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE) dan Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS).
Program ini berlangsung selama dua hari, iaitu pada 27 hingga 28 September 2024, dan menjadi platform terbaik bagi para pelajar serta pencinta sains untuk meneroka keajaiban dunia nano dalam suasana yang penuh interaksi dan pembelajaran kreatif. Dengan penyertaan pelbagai institusi pendidikan dan penyelidikan, NANORUSH berjaya memberi pendedahan secara langsung kepada peserta tentang peranan nanoteknologi dalam kehidupan seharian serta potensi masa depannya dalam pelbagai industri. Tidak seperti acara akademik biasa, NANORUSH direka untuk menjadi satu ekspedisi pembelajaran yang menyeronokkan, mendidik dan mencabar minda melalui teknik jelajah ilmu serta eksperimen. Program ini mendapat sokongan daripada lima jabatan utama di USM, yang memainkan peranan penting dalam bidang nanoteknologi.
Selain itu, program ini turut menarik penyertaan 15 buah sekolah dari seluruh Pulau Pinang seperti SMK Pondok Upeh, MRSM Transkrian Pulau Pinang, SMK Hamid Khan, SMK Bukit Gambir, SMK Seri Balik Pulau, Penang Free School, SMK Raja Tun Uda, SMK Abdullah Munshi, MRSM Balik Pulau, SMK Tunku Puan Habsah, SMKA (P) Al- Mashoor, SMK Tasek, SMK Bukit Jambul, SM Sri Tenby dan SMJK Chung Ling. Kehadiran ratusan pelajar daripada pelbagai latar belakang ini membuktikan bahawa sains mampu merapatkan jurang pendidikan dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk lebih memahami serta meneroka dunia sains dan teknologi.
Bagi memastikan peserta mendapat pengalaman pembelajaran secara interkatif yang bermakna, NANORUSH menawarkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang dua hari program berlangsung. Peserta berpeluang mendengar ceramah yang disampaikan oleh pakar dalam bidang nanoteknologi melalui platform YouTube USM. Antara topik menarik yang dikupas ialah The Science Behind Nanotechnology (Pusat Pengajian Sains Fizik), Illuminating Tomorrow: Exploring Nano Optoelectronic (INOR), Nanotechnology In Diagnostic Application (INFORMM), Teknologi Hijau (CETREE) dan Nanotechnology for a Sustainable Future (CGSS). Ceramah ini bukan sekadar penyampaian teori semata-mata, tetapi turut memberi gambaran jelas tentang bagaimana nanoteknologi diaplikasikan dalam bidang elektronik, perubatan, dan kelestarian alam sekitar. Sebagai langkah menguji kefahaman peserta-peserta, kuiz online diperkenalkan dengan peserta perlu menjawab kuiz yang disediakan selepas setiap sesi ceramah. Ini membolehkan mereka menilai sejauh mana mereka memahami konsep yang dibincangkan serta menggalakkan pemikiran kritis terhadap sains nanoteknologi.
Aktiviti Hands-On Havoc Day (Explore Race) merupakan cabaran utama dalam program NANORUSH, di mana peserta perlu menyelesaikan misi di enam checkpoint di sekitar kampus USM. Mereka diuji dengan pelbagai tugasan yang memerlukan mereka mengaplikasikan prinsip nanoteknologi dalam penyelesaian masalah secara kreatif dan analitikal. CETREE tidak terkecuali dalam menjayakan aktiviti dalam Explore Race, dengan menyediakan checkpoint seperti Mobile Unit Green Technology, Solar Energy Activity dan Energy Efficiency Activity.Di samping itu, peserta juga berpeluang menyaksikan demonstrasi eksperimen menarik berkaitan teknologi nano, yang dikendalikan oleh Pusat Sains Negara Cawangan Utara, Kedah. Melalui demonstrasi ini, peserta dapat melihat sendiri bagaimana teori dalam buku teks boleh diterjemahkan ke dalam eksperimen yang realistik dan menakjubkan.
Sebagai penghargaan atas komitmen dan semangat peserta, pihak penganjur turut menyediakan sesi cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik yang dinanti-nantikan.Program NANORUSH 2024 mencapai kemuncaknya dengan satu majlis penuh gilang-gemilang. Turut hadir dalam majlis penutup ialah Yang Berusaha Ts. Mohd Helme Mohd Helan, Ketua Penolong Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) diirinigi oleh Yang Berusaha Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Syamsul Nasyriq Samsol Baharin, Penasihat NANORUSH 2024 dan Encik Mohd Anas Ahmad, Penyelaras NANORUSH 2024. Majlis ini menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang yang berjaya dalam pelbagai kategori. Sorakan kegembiraan peserta bergema di dewan, mencerminkan keterujaan mereka sepanjang program ini berlangsung. Dengan pendedahan yang lebih awal kepada bidang ini, diharapkan lebih ramai generasi muda akan bercita-cita untuk menjadi saintis, jurutera dan inovator masa hadapan yang akan membawa kemajuan kepada negara. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenangan, sebagai simbolik kepada kejayaan NANORUSH 2024 dalam memperkasakan ilmu sains di kalangan generasi muda.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Muhammad Firdaus Hakimi Nordin / Suhairiza Suhaimi / Sekretariat NANORUSH 2024
Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau, (CETREE), CGSS
Aras 5, Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Centre for Education and Training in Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology (CETREE), CGSS
Level 5, Hamzah Sendut Library, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Penang, Malaysia
Tel : 604 - 653 6730 / 6707 | Fax : 604 – 6535273 | Email :