MINGGU SAINS SMK TAT BENG, TRONG, PERAK
TRONG, PERAK, 15 Mac 2018 - Program sempena Minggu Sains dan Matematik anjuran SMK Tat Beng sempena minggu Sains dan Matematik telah diadakan pada 12 – 15 Mac 2018. Program yang telah berlangsung melibatkan seluruh warga SMK Tat Beng amnya dan murid-murid tingkatan 4 dan 5 secara khususnya. Antara program-program yang telah dijalankan oleh pihak SMK Tat Beng sepanjang Minggu Sains dan Matematik adalah seperti pertandingan deklamasi puisi sains, kuiz terkumpul matematik, fantastic science, tangram, eksplorace, rekreasi matematik, pertandingan video pendek, pertandingan bahan bantu mengajar dan pertandingan teka berat.
Program ini bertujuan untuk menarik minat murid-murid terhadap mata pelajaran sains dan matematik serta diharapkan dapat melahirkan murid yang berketerampilan, kreatif, inovasi dan mampu bersaing di peringkat global. Selain itu juga, pihak CETREE turut dijemput bersama bagi memeriahkan program tersebut dengan mengadakan pameran berkaitan Teknologi Hijau pada tarikh 14 Mac 2018 bertempat di dataran SMK Tat Beng bermula jam 9.00 pagi sehingga jam 2.00 petang. Kemeriahan program tersebut dapat dirasai dan dilihat menerusi reaksi muka seluruh warga SMK Tat Beng kerana sekolah ini merupakan sekolah luar bandar dan tidak pernah dirasai sebelum ini secara langsung pendedahan ilmu dan maklumat berkaitan Teknologi Hijau.Pelbagai aktiviti berbentuk hands on dan demo sains telah dijalankan oleh pihak CETREE bagi memberi pendedahan dan pemahaman kepada warga SMK Tat Beng tentang kepentingan penggunaan Teknologi Hijau, Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Baharu dalam mencapai kehidupan yang lestari selaras dengan salah satu sasaran Dasar Teknologi Hijau Negara iaitu dari aspek sosial.
Antara aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak CETREE sepanjang pameran tersebut berlangsung ialah penerangan yang menggunakan kaedah kit hands on seperti aktiviti diluar bilik darjah tentang model kereta solar dan bot solar yang secara langsung dapat memberi pendedahan, pemahaman dan idea kepada warga SMK Tat Beng tentang aplikasi Teknologi Hijau dalam sektor pengangkutan. Selain itu juga, pameran pelbagai jenis model lampu yang dapat memberi pendedahan dan pengetahuan kepada warga SMK Tat Beng tentang perbezaan penggunaan dan pemilihan pelbagai jenis lampu seperti penggunaan lampu LED adalah lampu yang paling efisien , mesra alam sekitar serta dapat menjimatlan kos dalam masa yang panjang.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Mohd Rodzi Abd. Razak