Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

PAGAMO E-SPORTS PERKASA PENDIDIKAN KELESTARIAN DAN LITERASI TENAGA GENERASI MUDA KALI KE – 6, PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

TANJONG TOKONG, PULAU PINANG, 10 Ogos 2026 – Pendekatan pendidikan alam sekitar yang menggabungkan teknologi, permainan digital dan e-sukan mampu menjadi medium pembelajaran yang lebih interaktif dalam meningkatkan pengetahuan, kesedaran serta kemahiran generasi muda berkaitan kelestarian. Sehubungan itu, Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Tzu Chi Malaysia telah menganjurkan USM CGSS x Tzu Chi PaGamO E-Sports Piala Dunia Pendidikan Alam Sekitar Ke-6 2026, Kejohanan Peringkat Negeri Pulau Pinang di The One Academy, Straits Quay pada 8 Ogos 2026. Kejohanan tersebut menghimpunkan 346 peserta, dengan penglibatan 25 guru pengiring, tujuh pengetua, lapan tetamu kehormat dan 100 sukarelawan, sekali gus mencerminkan sokongan pelbagai pihak terhadap usaha memperluas pendidikan alam sekitar melalui pendekatan yang kreatif, digital dan dekat dengan generasi muda.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, Timbalan Pengarah CGSS, USM; Encik Rusdan Maidin, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang daripada Unit Pembangunan Murid Bakat Murid; Encik Ong Soon Yeong daripada Green Educator Work Group; Puan Kathy Ong, wakil The One Academy; Encik Ryan Lim, wakil Swisspac Resources Sdn. Bhd.; serta Encik Keong Chee Khoon, wakil Unitech QS Consultancy Sdn. Bhd.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Puan Kathy Ong, wakil The One Academy, diikuti ucapan Pengarah Eksekutif Cawangan Tzu Chi Malaysia, Puan Ooi Si Hoo, yang menekankan objektif pertandingan serta kepentingan menerapkan nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda. Acara turut diserikan dengan gimik menyalakan lampu picit berasaskan buluh sebagai simbolik penggunaan bahan semula jadi dan penerapan nilai kelestarian dalam kehidupan.

Pertandingan berlangsung dalam tiga kategori, iaitu Kategori A (Sekolah Rendah), Kategori B (Sekolah Menengah) dan Kategori C (Terbuka). Melalui permainan PaGamO, peserta bukan sahaja bersaing secara kompetitif, malah didedahkan kepada pengetahuan alam sekitar yang menggalakkan pemikiran strategik, penyelesaian masalah dan pembuatan keputusan. Pengisian pendidikan turut diperkukuh menerusi pameran alam sekitar yang memberi peluang kepada peserta dan pengunjung mendapatkan maklumat secara visual dan interaktif.

Dalam pengisian tersebut, CETREE, CGSS, USM turut dijemput membuka ruang pameran yang mengetengahkan bahan pendidikan kelestarian, buku, model teknologi hijau serta permainan komputer berkaitan penggunaan tenaga lestari. Selain pameran, Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan, CETREE, CGSS, USM, turut menyampaikan perkongsian menerusi siaran langsung YouTube bersempena program tersebut. Perkongsian berkenaan mengetengahkan kepentingan pendidikan kelestarian serta peranan murid dalam memahami dan mengaplikasikan amalan kelestarian dalam kehidupan seharian. Penglibatan CETREE turut diperluas melalui penyertaan pelajar latihan industri, Ashween Sonia Sani Murugesan, di bawah seliaan CETREE, CGSS, yang diberi tanggungjawab mengendalikan beberapa slot program termasuk menjadi pengacara semasa sesi taklimat peraturan pertandingan. Pengalaman tersebut memberi pendedahan praktikal dalam aspek komunikasi, pengurusan acara dan pengendalian program berskala besar.

Secara keseluruhannya, gabungan pertandingan e-sukan, pameran, perkongsian ilmu dan aktiviti interaktif menjadikan program ini bukan sekadar medan persaingan, tetapi sebuah ekosistem pembelajaran alam sekitar yang menghubungkan pengetahuan dengan pengalaman secara langsung. Pendekatan tersebut membantu menjadikan isu kelestarian lebih mudah difahami, menarik dan relevan dengan kehidupan generasi muda.

Hasil pertandingan menyaksikan Chong Jing Cheng dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Phor Tay muncul sebagai johan Kategori A, manakala Kew Sin Hui dari Penang Chinese Girls Private High School memenangi Kategori B. Bagi Kategori C, Ang Huang Fu dinobatkan sebagai johan. Penganjuran kejohanan ini turut memperlihatkan kepentingan kerjasama rentas sektor antara institusi pendidikan, organisasi kemasyarakatan, sektor swasta, guru, sukarelawan dan komuniti dalam memperluas capaian pendidikan alam sekitar. Sinergi tersebut membuka lebih banyak ruang pembelajaran yang inovatif dan dekat dengan minat golongan muda.

Majlis penutupan diserikan dengan ucapan oleh Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, Timbalan Pengarah CGSS, USM, yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut. Program diakhiri dengan sesi bergambar bersama tetamu kehormat, peserta, guru pengiring, sukarelawan dan pihak penganjur. Penganjuran USM CGSS x Tzu Chi PaGamO E-Sports Piala Dunia Pendidikan Alam Sekitar Ke-6 2026 membuktikan bahawa pendidikan kelestarian boleh disampaikan melalui pendekatan yang lebih kreatif, digital dan inklusif. Integrasi e-sukan, teknologi, ilmu alam sekitar dan pengalaman pembelajaran bukan sahaja meningkatkan daya tarikan pendidikan kelestarian, malah berpotensi membentuk generasi yang lebih berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia mengamalkan gaya hidup yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi / Ashween Sonia Sani Murugesan
Foto : Sekretariat CETREE