Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

PELANCARAN PROGRAM TUNAS HIJAU FASA III – PERAK (SIRI 2) DI SMK PANGKOR: MEMPERKASA KOMUNITI DAN SEKOLAH MENUJU PULAU SIFAR PLASTIK

PANGKOR, PERAK, 10 Julai 2025 - Sesi Perkongsian Ilmu, Konsultasi dan Pelancaran Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III - Perak (Siri 2) telah berjaya dilaksanakan dengan penuh bermakna pada 9 Julai 2025 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor, Perak. Program anjuran Organisasi Tunas Hijau melalui CETREE ini merupakan satu inisiatif strategik yang memfokuskan kepada pendidikan alam sekitar dan pengurangan penggunaan plastik sekali guna, khususnya dalam kalangan warga sekolah dan komuniti Pulau Pangkor. Kunjungan Organisasi Tunas Hijau telah diketuai oleh Cik Farah Amira Zainudin dan Cik Suhairiza Suhaimi selaku Eksekutif Tunas Hijau. Ketibaan mereka disambut oleh Pengetua SMK Pangkor, Puan Maslinda Musa bersama-sama warga sekolah. Turut sama hadir memberikan sokongan ialah Dr. Nor Samsiyah M. Horsi dari Pejabat Pendidikan Daerah Manjung (Bahagian Perancangan), Pengetua SM Tahfiz Darul Ridzuan, Guru Besar SK Seri Pangkor, serta Guru Besar SJK (C) Hwa Lian 1 dan 2.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memantapkan lagi kesedaran dan penghayatan terhadap isu kelestarian alam sekitar. Antaranya termasuklah gimik pelancaran sebagai simbolik kepada permulaan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III (Siri 2) di SMK Pangkor. Majlis juga menyaksikan penyerahan watikah pelantikan kepada Komander dan ejen Tunas Hijau sebagai penggerak utama kempen hijau di peringkat sekolah.

Seterusnya, seluruh warga sekolah dan tetamu jemputan turut menyertai sesi lafaz Ikrar Hijau, sebagai tanda komitmen untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan mengamalkan gaya hidup lestari. Bagi menyokong amalan tersebut, program turut menyelitkan penyerahan bekas makanan dan minuman boleh guna semula kepada wakil guru dan staf sokongan (AKP), wakil murid, serta wakil pekerja swasta dalam kawasan sekolah. Inisiatif ini bertujuan memupuk amalan membawa bekas makanan sendiri sebagai satu budaya baharu dalam kalangan warga sekolah.

Sebagai tanda penghargaan atas sokongan komuniti setempat terhadap penganjuran program ini, sijil penghargaan turut disampaikan kepada wakil-wakil komuniti Pangkor yang hadir. Mereka terdiri daripada wakil Majlis Perbandaran Manjung, Balai Polis Pangkor, Balai Bomba dan Penyelamat Pangkor, Klinik Kesihatan Pangkor, NADI Pulau Pangkor, Ketua-Ketua Rumah Ibadat, JPKK Teluk Raja Bayang, Teluk Dalam, Teluk Gedong dan Sungai Pinang Besar, serta Pengerusi Persatuan Teksi Pulau Pangkor dan wakil pengurusan bank di Pulau Pangkor.

Selain aktiviti rasmi, pengisian program turut merangkumi sesi perkongsian ilmu dan bengkel interaktif yang memberi pendedahan tentang bahaya plastik sekali guna terhadap alam sekitar, khususnya kawasan pulau yang rapat dengan ekosistem laut. Murid juga diberi latihan amali dalam menjalankan audit sisa plastik di sekolah, dan merangka pelan tindakan bagi menjayakan inisiatif “SMK Pangkor Bebas Plastik Sekali Guna 2025-2027.”

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja mencapai objektif dalam memberi kesedaran alam sekitar, malah telah menyatukan pelbagai pihak — sekolah, agensi kerajaan, dan komuniti — dalam usaha bersama menjadikan Pulau Pangkor sebagai sebuah model komuniti hijau yang aktif, progresif dan lestari. Diharapkan impak positif program ini akan terus berkembang dan menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain di negeri Perak.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Mohd Rodzi Abd Razak