PENDEDAHAN PENGETAHUAN TEKNOLOGI HIJAU KEPADA SELURUH WARGA SEKOLAH MODEL KHAS BUKIT JENUN
PENDANG, 26 April 2017 - Program sempena Minggu Sains dan Matematik anjuran bersama Bidang Sains dan Matematik SMoKBJ, Persatuan Sains SMoKBJ dan Persatuan Matematik SMoKBJ telah diadakan pada 16 April hingga 30 April. Program yang telah berlangsung itu melibatkan seluruh warga SMoKBJ.
(youtube video)
Antara program-program yang telah dijalankan oleh pihak SMoKBJ sepanjang Minggu Sains dan Matematik adalah seperti pertandingan deklamasi puisi sains, kuiz terkumpul matematik, fantastic science, tangram, eksplorace, rekreasi matematik, pertandingan video pendek, pertandingan bahan bantu mengajar dan pertandingan teka berat. Program ini bertujuan untuk menarik minat murid-murid terhadap mata pelajaran sains dan matematik serta diharapkan dapat melahirkan murid yang berketerampilan, kreatif, inovasi dan mampu bersaing di peringkat global.
Selain itu juga, pihak CETREE turut dijemput sama-sama bagi memeriahkan program tersebut dengan mengadakan pameran berkaitan Teknologi Hijau pada tarikh 26 April 2017 bertempat di SMoKBJ bermula jam 9.00 pagi sehingga jam 4.00 petang. Kemeriahan program tersebut dapat dirasai oleh seluruh warga sekolah dengan kehadiran tetamu jemputan khas iaitu Tuan Haji Marzuki Haji. Daud, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah bagi merasmikan program tahunan dan mingguan sekolah tersebut.
Pelbagai aktiviti berbentuk praktikal telah dijalankan oleh pihak CETREE bagi memberi pendedahan dan pemahaman kepada warga SMoKBJ tentang kepentingan penggunaan Teknologi Hijau, Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Baharu dalam mencapai kehidupan yang lestari selaras dengan Dasar Teknologi Hijau Negara.
Antara aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak CETREE sepanjang pameran tersebut berlangsung ialah penerangan yang menggunakan kaedah Kit Hands-On seperti aktiviti diluar bilik darjah tentang model kereta solar dan bot solar yang secara tidak langsung dapat memberi pendedahan, pemahaman dan idea kepada warga SMoKBJ tentang aplikasi Teknologi Hijau dalam sektor pengangkutan. Selain itu juga, pameran pelbagai jenis model lampu yang dapat memberi pendedahan dan pengetahuan kepada warga SMoKBj tentang perbezaan penggunaan dan pemilihan pelbagai jenis lampu seperti penggunaan lampu LED adalah lampu yang paling efisien , mesra alam sekitar serta mesra kos.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi dan Norhidayatul Syafiqah Mohd Fadzil ( Pelajar Internship PP Komunikasi USM)