PENDIDIKAN HIJAU NEGERI PERAK: LIBAT URUS PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH MENUJU SIFAR PLASTIK SEKALI GUNA DALAM KALANGAN WARGA SEKOLAH



TAIPING, PERAK, 7 Mei 2025 - Satu sesi libat urus telah berlangsung di Taiping, Perak yang melibatkan semua Pegawai Pendidikan Daerah dari seluruh negeri Perak. Program ini diadakan bagi memperkukuh kesinambungan pelaksanaan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak, yang telah memberi impak besar dalam memupuk kesedaran dan amalan kelestarian alam sekitar di kalangan warga sekolah. Program ini telah melibatkan sebanyak 125 buah sekolah menengah di seluruh negeri Perak, dan pelaksanaannya berlangsung selama dua tahun bermula dari tahun 2023 sehingga 2025. Hasil daripada program ini amat membanggakan, di mana lima buah sekolah telah diiktiraf sebagai Sekolah Tunas Hijau terbaik. Sekolah-sekolah ini seterusnya akan menjadi model kepada sekolah lain dalam pengurusan sisa plastik dan plastik sekali guna. Matlamat utama program ini adalah untuk memperkasa pengetahuan dan kesedaran guru serta murid mengenai pengurangan sisa plastik melalui penggunaan manual amalan hijau, pelaksanaan bengkel pendidikan dan pelbagai aktiviti kesedaran. Antara objektif penting lain termasuklah mengoptimumkan peranan guru dan murid dalam menyokong, melaksanakan dan memantau inisiatif pengurangan plastik di sekolah, selain memastikan pemantauan dan penilaian berterusan terhadap amalan hijau yang dilaksanakan.
Sesi libat urus ini turut dihadiri oleh barisan tokoh penting dalam bidang pendidikan dan alam sekitar. Antaranya ialah Prof. Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Penyelaras Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM; Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan, CETREE, CGSS, USM; En. Mohamad Sayuti Abas, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN Perak), Tuan Haji Salehuddin Haji Arshad, Ketua Penolong Pengarah, Unit Perancangan dan Pembangunan Sektor Pendidikan Islam, JPN Perak, serta Puan Nor Hana Mohamad Rosli, Eksekutif Kanan dari Yayasan Hijau Malaysia (YHM). Turut hadir ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah dari seluruh negeri Perak serta Penolong Pengarah dan Penolong PPD dari Sektor Pembangunan Murid, JPN Perak.



Dalam ucapan aluan mewakili CETREE, CGSS, USM, Prof. Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perak yang telah memberikan kerjasama padu terhadap pelaksanaan program ini. Beliau turut berkongsi pencapaian program fasa pertama yang amat memberangsangkan, antaranya penurunan sisa plastik sebanyak 57.6% bersamaan 185.61 tan, pengurangan anggaran kos sisa plastik sebanyak RM928,033.64, dan penurunan jejak karbon sebanyak 629.97 tan CO₂e dalam tempoh dua tahun (2023–2025).
Ucapan mewakili Jabatan Pendidikan Negeri Perak disampaikan oleh En. Mohamad Sayuti Abas, yang menyatakan penghargaan atas peluang yang diberikan kepada murid-murid sekolah menengah negeri Perak untuk menyertai program ini. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Hasanah, Yayasan Hijau Malaysia dan CETREE, CGSS, USM atas sokongan berterusan mereka dalam menjayakan program ini dan berharap seluruh sekolah menengah di negeri Perak akan turut serta dalam fasa seterusnya.



Program ini kini diteruskan melalui Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2): Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna Dalam Kalangan Warga Sekolah, yang akan bermula pada Jun 2025 sehingga 2027. Taklimat perancangan program ini telah disampaikan oleh Dr. Mohd Sukri Shafie, yang memaklumkan bahawa sebanyak 103 buah sekolah akan terlibat, terdiri daripada 21 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan 82 Sekolah Menengah Harian. Taklimat teknikal mengenai pelaksanaan program pula telah disampaikan oleh En. Zuherly Zolkapali, Penolong Pengarah dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah yang turut bertindak sebagai Panel Pakar Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak. Beliau menekankan pendekatan strategik dan menyeluruh bagi mencapai matlamat sifar penggunaan plastik sekali guna di sekolah.
Kesimpulannya, penganjuran sesi libat urus ini mencerminkan komitmen tinggi semua pihak terhadap pendidikan alam sekitar dan kelestarian ekosistem. Diharapkan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) akan mencapai kejayaan yang lebih besar, serta melahirkan generasi murid yang mengamalkan gaya hidup hijau dan bebas plastik secara berterusan demi masa depan bumi yang lebih lestari.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Mohd Rodzi Abd Razak