PENILAIAN AKHIR TUNAS HIJAU BERMULA DI SMK BUNTONG, OPERASI GAMMA TURUT CATAT PENCAPAIAN
KINTA UTARA, PERAK, 15 September 2026 – Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) memasuki fasa penting apabila sesi penilaian tapak bagi lima (5) sekolah terbaik dimulakan di SMK Buntong (AEA2060), Kinta Utara, sebagai sebahagian daripada proses akhir menentukan penerima Anugerah Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2). Kunjungan tersebut turut diserikan dengan sesi penyampaian hadiah kepada SMK Buntong yang berjaya meraih Tempat Keempat dalam Operasi Gamma, Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2).
Program anjuran Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dengan kerjasama Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum), Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPNP) dan Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM, memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pengurusan serta pengurangan penggunaan plastik sekali guna dalam kalangan warga sekolah.
Sebelum memasuki fasa penilaian tapak, proses penilaian telah melalui dua komponen awal, iaitu penilaian video kreatif dan temu bual murid secara dalam talian bersama panel penilai. Kedua-dua komponen tersebut memberi ruang kepada sekolah mengetengahkan kreativiti, pendekatan pelaksanaan, penglibatan warga sekolah serta kefahaman murid terhadap inisiatif kelestarian yang telah dilaksanakan.
Penilaian tapak di SMK Buntong kemudiannya memberi dimensi yang lebih menyeluruh apabila panel berpeluang melihat sendiri pelaksanaan inisiatif di persekitaran sekolah, mendengar pembentangan pasukan Tunas Hijau serta berinteraksi secara langsung dengan guru komander dan murid. Pendekatan ini membolehkan maklumat yang dikemukakan melalui laporan dan komponen penilaian terdahulu diteliti bersama pelaksanaan sebenar di lapangan.
Antara aspek yang diberi perhatian merangkumi keberkesanan usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, penglibatan warga sekolah, penerapan amalan 5R — Refuse, Reduce, Reuse, Repurpose dan Recycle, kreativiti serta inovasi dalam pelaksanaan aktiviti, di samping perubahan yang dapat dikenal pasti dalam pengurusan plastik dan pembudayaan amalan hijau di persekitaran sekolah.
Dalam sesi perkongsian, pasukan Tunas Hijau SMK Buntong mengetengahkan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dengan penglibatan murid, guru dan warga sekolah. Pendekatan yang dikongsikan merangkumi usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, memperkemas pengurusan sisa serta memperluas penerapan amalan 5R sebagai sebahagian daripada usaha membentuk gaya hidup yang lebih lestari.
Interaksi bersama pasukan Tunas Hijau turut memberi ruang kepada panel untuk memahami pengalaman murid dalam melaksanakan aktiviti, termasuk cabaran yang dihadapi, kaedah penyelesaian yang digunakan serta bentuk kerjasama yang dibangunkan bersama warga sekolah. Elemen ini menjadi penting dalam melihat sejauh mana pendidikan kelestarian diterjemahkan daripada pengetahuan kepada tindakan yang boleh dilaksanakan dalam konteks sebenar sekolah.
Selain sesi penilaian, kunjungan ke SMK Buntong turut menjadi ruang penghargaan terhadap pencapaian sekolah menerusi sesi penyampaian hadiah Tempat Keempat Operasi Gamma, Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2). Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap usaha pasukan sekolah dalam melaksanakan tugasan dan inisiatif yang ditetapkan sepanjang Operasi Gamma, di samping menjadi motivasi kepada murid dan guru untuk terus memperkukuh pelaksanaan agenda kelestarian.
Sesi penyampaian hadiah tersebut turut melengkapkan pengisian kunjungan dengan mengiktiraf pencapaian yang telah dicapai oleh SMK Buntong sebelum sekolah berkenaan meneruskan saingan dalam fasa penilaian akhir. Pengiktirafan ini juga memperlihatkan bahawa usaha yang dilaksanakan sepanjang program mempunyai nilai dan pencapaian tersendiri, di samping menjadi sebahagian daripada keseluruhan perjalanan sekolah dalam membudayakan amalan kelestarian.
Ketua Delegasi Program Sekolah Tunas Hijau, Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Penyelaras CETREE, CGSS, USM, mengetuai delegasi penilaian. Turut hadir ialah panel penilai yang terdiri daripada Profesor Kehormat Dr. Haslan Abu Hassan, Pusat Pengajian Sains Fizik, USM, Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, CGSS, USM dan Puan Nor Hana Mohd Rosli, Yayasan Hijau Malaysia serta sekretariat Program Sekolah Tunas Hijau yang turut hadir.
Penilaian tapak di SMK Buntong menandakan bermulanya siri kunjungan ke lima (5) sekolah yang telah disenarai pendek untuk penilaian akhir. Keseluruhan proses ini akan mengambil kira dapatan daripada semua komponen penilaian, termasuk video kreatif, temu bual murid, laporan dan eviden pelaksanaan serta pemerhatian secara langsung di sekolah.
Dapatan keseluruhan tersebut akan menjadi asas dalam menentukan kedudukan lima (5) sekolah terbaik serta penerima Anugerah Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2), sekali gus memberikan pengiktirafan terhadap komitmen, kreativiti, inovasi dan keupayaan sekolah dalam menterjemahkan agenda pengurangan plastik sekali guna kepada amalan yang memberi nilai kepada warga sekolah dan persekitaran.
Teks : Ashween Sonia Sani Murugesan / Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Ashween Sonia Sani Murugesan