PERKHIDMATAN PERCUMA KECEKAPAN TENAGA DAN KELESTARIAN UNTUK INDUSTRI TEMPATAN TAHUN 2025
Tahun 2025, Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya dalam membantu industri tempatan mempercepatkan peralihan ke arah operasi yang lebih cekap tenaga, berdaya tahan dan lestari melalui pengukuhan kompetensi dalam bidang Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Advance Dispute Resolution Centre (ADRC) Penang, yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Ng Choon Chuan, yang juga merupakan pelajar PhD di CGSS, USM. Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) pula berperanan sebagai sekretariat serta penyedia sokongan teknikal bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ini berjalan dengan lancar dan berimpak.
Kerjasama tersebut diterjemahkan melalui Siri Bengkel ESG Leadership Training (Alternative Dispute Resolution) yang berlangsung pada 8 hingga 15 Oktober 2025, dengan memberi penekanan kepada aplikasi praktikal ESG dalam operasi, pengurusan dan proses membuat keputusan organisasi. Antara panel yang turut berkongsi kepakaran dan pandangan sepanjang bengkel ialah Yang Berbahagia Dato’ T. Tharumarajah, Mediator, Adjudicator, Sports Arbitrator serta Advocate and Solicitor, merangkap Technical Advisor ADRC dan Ahli Lembaga Rayuan Jabatan Perancang Bandar dan Desa Pulau Pinang; Encik Jerry Leong Choon Yee, Pengarah First CDK; serta Encik Ng Choon Chuan, Ketua Pegawai Eksekutif ADRC, yang masing-masing membawa perspektif profesional dalam memperkukuh kefahaman peserta terhadap amalan ESG, tadbir urus dan kelestarian industri.
Program ini membimbing peserta memahami hubungan antara ESG, kecekapan tenaga, pengurusan sumber dan daya saing industri, di samping merangkumi aspek tadbir urus ESG, pengurusan kualiti, inovasi model perniagaan, tanggungjawab korporat, penyelesaian pertikaian dan penilaian impak alam sekitar.
Menurut Dato’ T. Tharumarajah, penerapan ESG perlu dilihat secara menyeluruh bagi membentuk organisasi yang lebih bertanggungjawab, cekap dan berdaya tahan. “Kelestarian memerlukan perubahan pada cara organisasi berfikir, membuat keputusan dan mengurus sumber. Penerapan ESG dalam tadbir urus dan operasi dapat memperkukuh keupayaan organisasi menghadapi perubahan serta tuntutan masa hadapan.”
Sementara itu, Encik Ng Choon Chuan berkata kelestarian perlu dijadikan sebahagian daripada strategi perniagaan dan bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan. “Kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan dan pengurusan sumber yang bijak bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah mampu mengurangkan kos operasi, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing industri.”
Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Kehormat Mohd Sayuti Hassan, Ketua Perunding CGSS, berkata universiti berperanan sebagai pemangkin yang menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan sebenar industri. “Kecekapan tenaga merupakan antara tindakan paling praktikal untuk diterapkan dalam operasi industri. Apabila penggunaan tenaga dioptimumkan dan pembaziran dikurangkan, organisasi bukan sahaja dapat mengurangkan kos dan jejak karbon, malah meningkatkan kecekapan serta prestasi kelestarian secara berterusan.”
Program ini turut disertai organisasi daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan, antaranya Malaysia Press Institution, ADRC Catalyst, Focus Biz-Link Sdn. Bhd., Dell Technologies dan CMAPx Aggregates Sdn. Bhd.
Melalui latihan praktikal, perkongsian kepakaran dan perbincangan bersama pemain industri, program ini membantu peserta menterjemahkan prinsip ESG kepada tindakan yang boleh diukur, khususnya dalam meningkatkan kecekapan tenaga, mengoptimumkan penggunaan sumber dan memperkukuh tadbir urus organisasi. Inisiatif ini mencerminkan komitmen CGSS, USM dan rakan strategik dalam menyokong pembentukan industri Pulau Pinang yang lebih cekap tenaga, rendah karbon, berdaya tahan dan kompetitif, sekali gus memperkukuh agenda pembangunan industri yang lebih lestari.