Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

PERKONGSIAN TEORI DAN PRAKTIKAL SISTEM PENILAIAN BERSEPADU BAGI PENJURIAN LAPORAN AKHIR PROGRAM SEKOLAH TUNAS HIJAU FASA III – PERAK (SIRI 2) 2025/2027

TELUK BAHANG, PULAU PINANG, 3 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YHM), Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, telah berjaya menganjurkan Perkongsian Teori dan Praktikal Sistem Penilaian Bersepadu bagi Penjurian Laporan Akhir Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) 2025/2027. Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula 30 Julai hingga 1 Ogos 2026 di Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang, Pulau Pinang itu menghimpunkan barisan panel pakar daripada institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan organisasi strategik bagi menyelaras kaedah penilaian, memperkukuh kefahaman terhadap instrumen penjurian serta memastikan proses penilaian dilaksanakan secara telus, sistematik dan berintegriti.

Perkongsian tersebut dimulakan dengan ucapan aluan dan taklimat objektif oleh Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan CETREE, CGSS, USM bersama Encik Zuherly Zolkapali serta Encik Muhammad Hafiz Husaini Mohd Harimanto, Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. Dalam sesi tersebut, para panel diberi pendedahan menyeluruh mengenai penggunaan Sistem Penilaian Bersepadu yang dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan penilaian laporan akhir melibatkan 103 buah sekolah yang menyertai Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2). Sistem penilaian yang diperkenalkan membolehkan proses semakan dan pemarkahan dilaksanakan secara lebih cekap, seragam dan berasaskan evidens. Selain mempercepatkan proses penjurian, sistem ini turut membantu panel membuat analisis pencapaian sekolah secara menyeluruh berdasarkan indikator yang telah ditetapkan oleh Sekretariat Organisasi Tunas Hijau.

Antara komponen utama yang dinilai merangkumi ketepatan penghantaran laporan, pelaksanaan hebahan dan promosi program di peringkat sekolah, keberkesanan pengurangan penggunaan plastik sekali guna, peningkatan tahap pengetahuan warga sekolah berkaitan kelestarian, serta pelaksanaan aktiviti STEM yang mengintegrasikan elemen teknologi hijau dan amalan penggunaan lestari. Pendekatan penilaian bersepadu ini memastikan setiap sekolah dinilai secara objektif berdasarkan impak sebenar pelaksanaan program.

Bengkel tersebut turut mendapat penglibatan aktif daripada barisan panel pakar yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Penyelaras CETREE; Puan Nor Hana Mohamad Rosli, Eksekutif Kanan Yayasan Hijau Malaysia; Prof. Kehormat Dr. Haslan Abu Hassan, Pusat Pengajian Sains Fizik, USM; Prof. Madya Dr. Ng Theam Foo, Timbalan Pengarah CGSS, USM; Prof. Madya Kehormat Dr. Mohd Sayuti Hassan, CGSS, USM; Prof. Madya Dr. Mardiana Idayu Ahmad dan Dr. Khozema Ahmed Ali daripada Pusat Pengajian Teknologi Industri, USM; Encik Zuherly Zolkapali serta Encik Muhammad Hafiz Husaini Mohd Harimanto daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah; Puan Shakirah Rashid daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak; serta barisan Sekretariat Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2).

Hasil penelitian dan semakan menyeluruh sepanjang bengkel tersebut, panel telah mencapai kesepakatan dalam memilih 10 buah sekolah terbaik untuk mara ke Operasi Omega, iaitu peringkat penilaian akhir yang melibatkan pembentangan video kreatif serta sesi temu bual murid secara dalam talian bersama panel penilai. Sepuluh sekolah yang berjaya dipilih ialah SMK St. Bernadette's Convent (Kinta Selatan), SMK Buntong (Kinta Utara), SMK Panglima Bukit Gantang (Kerian), Maahad Islahiah Addiniah (Manjung), SMK Dato' Panglima Perang Kiri (Batang Padang), SMK Tun Saban (Hulu Perak), SMK Sungai Ranggam (Perak Tengah), SMK Raja Muda Musa (Hilir Perak), SMK Sentosa (Kinta Selatan) dan SMK Tasek Damai (Kinta Utara). Pemilihan sekolah-sekolah tersebut mencerminkan komitmen tinggi warga sekolah dalam membudayakan amalan kelestarian melalui pelaksanaan inovasi STEM, pendidikan teknologi hijau serta usaha berterusan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna di sekolah.

Secara keseluruhannya, penganjuran perkongsian ini berjaya memperkukuh kompetensi panel penilai dalam mengendalikan proses penjurian secara profesional dan konsisten, di samping memperkenalkan pendekatan digital yang lebih efisien bagi pengurusan penilaian berskala besar. Inisiatif ini juga menjadi bukti komitmen USM melalui CETREE dan CGSS bersama rakan strategik dalam memperkasakan pendidikan kelestarian negara melalui pembangunan sistem penilaian yang berkualiti, telus dan berimpak tinggi. Program diakhiri dengan sesi penghargaan kepada semua panel pakar, wakil agensi dan urus setia yang telah menyumbang kepakaran serta komitmen sepanjang bengkel berlangsung. Diharapkan jalinan kerjasama strategik antara USM, Yayasan Hijau Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri serta semua pihak berkepentingan akan terus memperkukuh pelaksanaan Program Sekolah Tunas Hijau dalam melahirkan generasi yang berpengetahuan, berinovasi dan berdaya saing ke arah pembangunan lestari negara.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi / Ashween Sonia Sani Murugesan
Foto : Organisasi Tunas Hijau