PERTANDINGAN REKA CIPTA INOVASI TENAGA 2025: MEMUPUK KREATIVITI DAN KESEDARAN KELESTARIAN DALAM KALANGAN MURID-MURID SEKOLAH MENENGAH
USM PULAU PINANG, 11 Julai 2025 – Pertandingan Reka Cipta Inovasi Tenaga peringkat Daerah tahun 2025 telah berjaya dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang melalui Unit Pembangunan Bakat Murid dengan kerjasama strategik daripada CETREE, CGSS, Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang. Program ini dilaksanakan bersempena Fiesta Rakan Muda 2025 sebagai usaha memperkukuh minat serta bakat murid sekolah menengah dalam bidang inovasi, khususnya berkaitan Teknologi Tenaga Lestari.
Pertandingan ini telah berlangsung selama tiga hari, dari 8 hingga 10 Julai 2025, melibatkan lima daerah utama di Negeri Pulau Pinang sebagai lokasi pertandingan. Antara lokasi tersebut termasuklah Pusat Kokurikulum, Bukit Mertajam (Seberang Perai Tengah); Sekolah Menengah Agama Abdullah Fahim, Seberang Perai Selatan; Sekolah Menengah Kebangsaan Air Itam, Timur Laut; Sekolah Kebangsaan Balik Pulau, Barat Daya; serta Sekolah Menengah Sains Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Pendekatan ini memberi peluang yang lebih meluas kepada murid-murid sekolah menengah untuk menyertai pertandingan ini serta mempersembahkan hasil inovasi mereka dalam bidang tenaga.
Dengan tema “Inovasi Tenaga untuk Kelestarian Masa Hadapan,” pertandingan ini telah menggalakkan murid-murid sekolah menengah menghasilkan idea baharu dalam penggunaan Tenaga Boleh Baharu, Sistem Penjimatan Tenaga dan Teknologi Hijau yang dapat memberi manfaat kepada komuniti. Sepanjang pertandingan, para peserta bukan sahaja berpeluang mempertontonkan reka cipta mereka kepada juri, malah turut mengikuti sesi perkongsian ilmu serta bimbingan teknikal daripada pakar-pakar pensyarah berpengalaman dalam penyelidikan dalam bidang Tenaga.
Panel juri yang dijemput untuk menilai hasil reka cipta terdiri daripada barisan pensyarah berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing. Antara juri terlibat ialah:
- Prof. Dr. Kehormat Haslan Abu Hassan, Pusat Pengajian Sains Fizik, USM
- Prof. Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM
- Pof. Madya Dr. Ng Theam Foo, Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM
- Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Rodzi Ismail, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, USM
- Prof. Madya Dr. Mardiana Idayu Ahmad, Pusat Pengajian Teknologi Industri, USM
- Prof. Madya Dr. Majid Khan Majahar Ali, Pusat Pengajian Sains Matematik, USM
- Prof. Madya Dr. Saratha A/P Sathasivam, Pusat Pengajian Sains Matematik, USM
- Prof. Madya Dr. Farah Aini Abdullah, Pusat Pengajian Sains Matematik, USM
- Ts. Dr. Ramona Ramli, Pusat Pengajian Sains Komputer, USM
- Dr.Mohd Sukri Shafie, CETREE, CGSS, USM
- Dr. Khozema Ahmed Ali, Pusat Pengajian Teknologi Industri, USM
- Dr. Maisarah Haji Mohd, Pusat Pengajian Sains Matematik, USM
- Dr. Shamani A/P Supramaniam, Pusat Pengajian Sains Matematik, USM
- Dr. Rasammal A/P Rasappan, Politeknik Balik Pulau, P.Pinang
- Puan Zarina Ismail, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah
- Puan Asmayuzie Ahmad, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah
Kehadiran juri-juri yang pakar ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti pertandingan, malah memberi peluang kepada peserta untuk menerima maklum balas dan panduan berharga dalam memperhalusi hasil inovasi mereka. Secara keseluruhannya, pertandingan ini bukan sahaja berjaya memupuk bakat inovasi dalam kalangan pelajar sekolah menengah, malah meningkatkan kesedaran mereka tentang pentingnya penggunaan tenaga secara cekap dan lestari. Melalui penganjuran program seperti ini, generasi muda diharap dapat lebih peka terhadap isu tenaga yang semakin mendesak pada masa kini, seterusnya mampu mencetuskan idea-idea kreatif yang memberi manfaat kepada masyarakat dan kelestarian alam sekitar.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : PPD JPN Pulau Pinang dan Sekretariat CETREE