PROGRAM BELAJAR MELALUI LAWATAN KE USM 2017
GELUGOR, 14 Mac 2017- Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon, Rengit, Batu Pahat, Johor telah menjalankan program Belajar Melalui Lawatan ke Universiti Sains Malaysia (BELA USM) yang melibatkan 40 orang pelajar Pra Universiti aliran ilmu kemanusiaan dan 4 orang guru pengiring sekolah tersebut. Satu daripada perancangan lawatan ke USM adalah dengan mengadakan lawatan ke CETREE.
Encik Mohd Yusof Abdullah selaku ketua delegasi lawatan daripada SMK Tun Sardon dalam ucapan aluan berkata, “ lawatan ini bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pelajar-pelajar tentang pusat kecemerlangan negara CETREE, serta memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk merasai suasana sebagai pelajar kampus di USM ”.
Menurut beliau lagi, lawatan BELA USM ke CETREE adalah hasil daripada sumbangan dan cetusan idea bekas para pelajar sekolah tersebut yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Ilmu Pendidikan di USM.
Aktiviti yang dijalankan semasa lawatan tersebut ialah, ucapan aluan terima kasih daripada Encik Mohd. Yusof Abdullah, ketua delegasi lawatan daripada SMK Tun Sardon, taklimat dan ceramah berkaitan CETREE oleh Profesor Madya Dr. Hashimah Mohd Yunus, sebagai Timbalan Pengarah CETREE, ucapan penutupan terima kasih oleh Mohd Hishamudin Mohd Tahir, wakil pelajar Pra Universiti SMK Tun Sardon, sesi bergambar dan diakhiri dengan lawatan ke Unit Pameran Bergerak CETREE.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi dan Norhidayatul Syafiqah Mohd Fadzil (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)