CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

PROGRAM GAYA HIDUP HIJAU PERINGKAT NEGERI PERAK TAHUN 2024

SIMPANG PULAI, PERAK, 29 September 2024 – Program Gaya Hidup Hijau peringkat Negeri Perak yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Pulai, Kampung Kepayang, Perak telah berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran serta menggalakkan amalan mesra alam dalam kalangan guru dan murid sekolah menengah. Sambutan yang amat menggalakkan mencerminkan kesediaan warga sekolah untuk menyokong inisiatif ke arah kehidupan yang lebih lestari. Program ini dianjurkan oleh Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YHM) serta Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai kepentingan gaya hidup hijau, program ini menekankan amalan mesra alam melalui pendekatan yang praktikal dan interaktif. Murid-murid dididik tentang kepentingan mengurangkan penggunaan plastik serta membudayakan amalan kitar semula, manakala guru-guru diberikan pendedahan mengenai cara mengintegrasikan elemen kelestarian dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Antara aktiviti utama yang dianjurkan ialah bengkel hands-on "Eco Brick" yang dikendalikan oleh Sekretariat CETREE, CGSS, USM. Bengkel ini memberikan pendedahan kepada peserta tentang teknik menghasilkan Eco Brick daripada plastik terbuang sebagai langkah mengurangkan pencemaran dan memanfaatkan bahan kitar semula secara lebih berkesan.

Selain itu, satu ceramah bertajuk "Plastik Sekali Guna" telah diadakan khusus untuk guru-guru terpilih dari seluruh negeri Melaka. Ceramah ini disampaikan oleh Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, Pensyarah Kanan dari Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM yang juga merupakan Penyelaras Environmental Protection and Education Hub, USM. Dalam sesi ini, beliau menekankan bahaya penggunaan plastik sekali guna serta keperluan untuk mengurangkannya dalam kehidupan seharian. Sesi ini turut membuka ruang kepada guru-guru untuk berkongsi pandangan serta bertanya soalan bagi memperkukuh pemahaman mereka tentang isu kelestarian.

Program ini telah memberikan impak yang positif kepada warga sekolah. Murid-murid kini lebih peka terhadap kepentingan kitar semula dan kesan pencemaran plastik terhadap alam sekitar, manakala guru-guru memperoleh ilmu baharu yang boleh diterapkan dalam proses pengajaran bagi mendidik pelajar mengenai amalan hijau. Selain itu, sekolah-sekolah yang terlibat kini lebih bersedia untuk memainkan peranan aktif dalam menjadikan institusi mereka sebagai pusat pendidikan berorientasikan kelestarian.

Sebagai tanda penghargaan, program ini diakhiri dengan penyampaian sijil kepada semua pihak yang terlibat serta sesi bergambar sebagai kenangan. Turut sama hadir bagi menyampaikan sijil ialah Yang Berusaha Encik Razak Malek Taharim, Pengetua SMK Simpang Pulai. Kejayaan program ini diharapkan dapat memberikan impak jangka panjang kepada warga sekolah, menjadikan mereka agen perubahan dalam membudayakan gaya hidup hijau. Dengan kesedaran yang semakin meningkat, sekolah-sekolah di Perak dijangka mampu menjadi perintis dalam pelaksanaan program kelestarian di peringkat negeri. Melalui inisiatif seperti ini, kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar dapat terus dipupuk dalam kalangan murid dan guru, sekali gus menjadikan Perak sebagai negeri yang lebih hijau dan lestari pada masa hadapan.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Farah Amira Zainudin / Muhammad Amirun Naim Mohd Shaiful Azmir

ca1ca1ca1ca1

Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau, (CETREE), CGSS
Aras 5, Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia

Centre for Education and Training in Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology (CETREE), CGSS
Level 5, Hamzah Sendut Library, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Penang, Malaysia

Tel : 604 - 653 6730 / 6707 | Fax : 604 – 6535273 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. | icon admin

  • Last Modified: Wednesday 12 March 2025.