PROGRAM KESEDARAN “ENERGY EFFICIENCY” BERSEMPENA “HSE-ENERGY-DAY” PETRONAS CHEMICALS FERTILISER KEDAH SDN. BHD. (PCFK)
Gurun, Kedah, 14 Mac 2019 – Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn. Bhd. (PCFK) merupakan salah satu syarikat perindustrian yang beroperasi di Gurun, Kedah. Syarikat tersebut telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan program kesedaran “Energy Efficiency” bersempena “HSE-Energy-Day” pada 13 Mac 2019 bertempat di Dewan Utama, Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn. Bhd. Gurun, Kedah.
Pendedahan terhadap Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau turut diketengahkan kepada Pengurusan Utama dan warga staf PCFK melalui pameran dan aktiviti dari agensi-agensi berkaitan tenaga. Pelbagai pengisian program yang telah dirancang sepanjang program tersebut berlangsung. Antaranya pameran bergerak dari Unit Pameran Bergerak Teknologi Hijau, CETREE, Pameran Lembaga Perlesenan Tenaga Atom(AELB, MESTECC), Suruhanjaya Tenaga Cawangan Utara, “HSE Talk” dan HSE & Energy Fun Run serta pameran daripada agensi-agensi swasta berkaitan keselamatan tenaga.
Program tersebut diterajui oleh Jawatan Kuasa Energy & Loss Management System, Technical Service Department, Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn. Bhd. bertujuan untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada warga kerja PCFK agar peka terhadap kesedaran Kecekapan Tenaga dari aspek keselamatan dan kesihatan di persekitaran tempat kerja. Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga kerja PCFK serta pengurusan tertinggi PCFK.
Kemeriahan “HSE-Energy-Day” diserikan lagi dengan kehadiran Encik Noor Arifin bin Othman, Pengarah Operasi PCFK, Encik Wan M Termizi bin Sulaiman, Ketua Bahagian HSE, PCFK dan Puan Khalidah Ambiah, Ketua Bahagian TSD, PCFK ke program tersebut. Para jemputan tetamu kehormat turut sama diberikan taklimat dan lawatan ke booth-booth pameran serta menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang bagi setiap pertandingan yang telah dijalankan sepanjang sehari program ini dijalankan.
Teks dan Foto : Syafiq Saifullah Azmi