CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

PROGRAM PENDIDIKAN GELOMBANG HABA: MEMPERKASAKAN GENERASI MUDA MELALUI PROJEK STEM TAHUN 2024

GELUGOR, PULAU PINANG, 7 MEI 2024 – Majlis Perasmian Pendidikan Gelombang Haba: Memperkasakan Generasi Muda melalui Projek STEM tahun 2024. Ini merupakan satu peristiwa yang berjaya memperlihatkan kesungguhan dan komitmen dalam memperkasakan pendidikan kesedaran gelombang haba kepada generasi muda. Dengan kehadiran YABhg. Toh Puan Dato' Seri Utama Khadijah Mohd Nor, isteri kepada Tuan Yang Terutama, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang sebagai perasmi dengan diiringi oleh pengurusan tertinggi Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai oleh Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor USM, Profesor Dr. Azlan Amran, Timbalan Naib Canselor, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, USM, Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd, Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), USM dan Dr. Ainul Mohsein Abdul Mohsin, Pengarah Bahagian Jaringan Masyarakat (BJIM), USM merangkap Ketua Program Pendidikan Gelombang Haba: Memperkasakan Generasi Muda melalui Projek STEM tahun 2024.

Tujuan utama program ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada murid sekolah mengenai bahaya gelombang haba dan kesannya kepada kesihatan, sambil melatih mereka menggunakan tenaga boleh baharu secara inovatif. Inisiatif ini selaras dengan matlamat pembangunan lestari, khususnya dalam tindakan iklim, sebagaimana yang dinyatakan oleh Naib Canselor USM. Pelbagai aktiviti telah disertakan dalam program perasmian ini bagi memperkukuhkan kesedaran dan pembelajaran praktikal murid-murid sekolah yang hadir. Antaranya termasuklah sesi berbalas pantun bersama YABhg. Toh Puan Dato' Seri Utama Khadijah Mohd Nor, ucapan dan gimik perasmian program, penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz, serta penyampaian sijil penghargaan kepada pihak industri yang telah bekerjasama dengan BJIM, USM. Tidak ketinggalan juga adalah persembahan daripada pelajar-pelajar USM yang memberikan inspirasi kepada hadirin.

Program ini turut memberi peluang kepada murid-murid untuk terlibat dalam aktiviti hands-on dan experiential learning yang membolehkan mereka beradaptasi dengan gelombang haba secara langsung. Melalui lawatan ke reruai pameran yang dipamerkan oleh kelab-kelab STEM dari pelbagai pusat pengajian di USM, murid-murid dapat mendapatkan lebih banyak maklumat dan pemahaman yang mendalam mengenai gelombang haba, serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kesan negatifnya. Unit Pameran Bergerak, CETREE turut dijemput oleh BJIM, USM bagi sama-sama menjayakan program ini dengan mengadakan pameran rumah mini bergerak yang berkonsepkan Teknologi Hijau. Mengunakan 100% minyak masak terpakai mahupun baru sebagai bahan api bagi mengerakkan kenderaan tersebut dan perkakasan elektrik dibekalkan kuasa elektrik melalui penjanaan daripada kuasa suria. Dengan penyertaan lebih dari 400 murid daripada enam buah sekolah menengah terpilih di sekitar Pulau Pinang, program ini telah berjaya mencapai matlamatnya untuk memberikan kesedaran kepada generasi muda mengenai bahaya gelombang haba, serta merangsang minat mereka dalam bidang STEM. Usaha ini adalah langkah penting dalam memastikan bahawa murid-murid sekolah dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi cabaran-cabaran pada masa depan, terutamanya dalam menghadapi perubahan iklim yang semakin kronik.

Teks : Cik Nurul Adlin Huda Marpizan / Syafiq Saifullah Azmi 
Foto : Muhammad Firdaus Hakimi Mohd Nordin

ca1ca1ca1ca1

Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau, (CETREE), CGSS
Aras 5, Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia

Centre for Education and Training in Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology (CETREE), CGSS
Level 5, Hamzah Sendut Library, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Penang, Malaysia

Tel : 604 - 653 6730 / 6707 | Fax : 604 – 6535273 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. | icon admin

  • Last Modified: Monday 28 October 2024.