GELUGOR, PULAU PINANG 14 OKTOBER 2023 – Program peningkatan akademik dan lawatan bermaklumat daripada SMK Lambor Kiri, Lambor Kanan, Perak berjalan lancar dengan jayanya pada hari Jumaat bertarikh 13hb Oktober 2023 bertempat di Pejabat Utama CETREE di Bangunan TORAY-USM. Program ini merupakan program bagi mengorak langkah sekolah khususnya kepada murid-murid dalam merencanakan kesedaran Teknologi Hijau di peringkat sekolah. Tujuan utama program ini adalah untuk memindahkan dan meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai kesedaran Teknologi Hijau khususnya kepada kesedaran penggunaan tenaga pada masa kini. Pelbagai perkara dan cetusan idea yang dikongsi bersama kepada warga sekolah yang hadir sepanjang program tersebut berlangsung. Antaranya seperti kepentingan Teknologi Hijau pada masa kini dan amalan-amalan berkaitan Tenaga Boleh Baharu dan Kecekapan Tenaga yang diimplementasikan oleh CETREE kepada murid-murid dan warga sekolah.
Dalam program tersebut, telah hadir bersama iaitu Puan Suraya Bt Said@Shued selaku Penyelaras program, guru-guru kanan sekolah dan 40 orang murid yang hadir bagi mendengar dan berkongsi ilmu bersama CETREE. CETREE yang diwakili oleh Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) merangkap Penyelaras CETREE, Prof. Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei dan secretariat CETREE yang hadir bagi memberikan taklimat ringkas dan sesi perkongsian ilmu berkaitan Teknologi Hijau. Selain daripada CETREE, SMK Lambor Kiri, turut sama berkunjung ke beberapa lokasi antaranya seperti Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Agrobiology, Entomology & Parasitology Program, USM yang diketuai oleh Pensyarah Kanan, Dr. Intan Haslina Ishak bersama Dr. Hadura Abu Hasan sebagai pemudahcara dalam perkongsian ilmu berkaitan penyelidikkan nyamuk dan serangga di pusat tersebut dan diakhiri dengan lawatan ke Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, USM.
Sementara itu, Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei turut meluahkan rasa bersyukur dengan kehadiran dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak SMK Lambor Kiri kepada CETREE. Beliau juga berkata bahawa pihak CETREE akan sentiasa membantu sekolah-sekolah diseluruh Malaysia dalam memindahkan ilmu Telnologi Hijau dan Kecekapan Tenaga dalam apa jua cabaran sekalipun walaupun dalam jangka masa panjang. Selain itu, beliau juga berharap dengan usaha murni kerjasama ini seterusnya dapat merealisasikan hasrat kerajaan dalam melaksanakan agenda Teknologi Hijau kepada masyarakat di Malaysia. Sesi program peningkatan akademik berakhir dengan penyampaian cenderahati dan bergambar bersama sebelum pulang ke destinasi seterusnya.
Teks / Foto : Syafiq Saifullah Azmi