Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

PROGRAM PENINGKATAN KOMPETENSI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP) BERKAITAN CLIMATE CHANGE EDUCATION TAHUN 2025

LANCHANG, PAHANG, 2 September 2025 - Sektor Dasar dan Perancangan Pembangunan Keguruan, Bahagian Profesionalisme Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Unit Perancangan Pembangunan Keguruan (BPG) dengan kerjasama Centre for Education and Training on Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE), Centre for Global Sustainability Studies (CGSS) dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Bengkel Latihan Peningkatan Kompetensi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang memberi pendedahan awal berkaitan Climate Change Education. Bengkel ini bertujuan untuk mempersiapkan integrasi pendidikan perubahan iklim ke dalam sistem pendidikan di Malaysia.

CETREE telah dijemput sebagai panel pakar bagi menyampaikan perkongsian ilmu serta mengendalikan aktiviti hands-on berkaitan tajuk Climate Change Education. Bengkel ini telah menghimpunkan seramai 50 orang pegawai latihan dari seluruh Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai peserta, selaras dengan hasrat Bahagian Profesionalisme Guru untuk melahirkan pendidik yang berpengetahuan dan peka terhadap isu perubahan iklim. Program ini berlangsung selama 3 hari 2 malam, bermula 27 hingga 29 Ogos 2025, bertempat di Institut Biodiversiti, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Bukit Rengit, Lanchang, Pahang.

Antara sesi perkongsian ilmu yang dijalankan meliputi topik seperti Pembangunan Mampan, Menangani Perubahan Iklim, Lautan dan Biodiversiti, yang disampaikan oleh Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik, CETREE, CGSS, USM, serta Encik Zuherly Zolkapali, Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Unit Menengah dan Tingkatan 6, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah merangkap fellow CETREE. Selain sesi perkongsian, pelbagai aktiviti hands-on turut dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman peserta terhadap isu perubahan iklim. Aktiviti ini termasuk 3R (Reduce, Reuse, Recycle), Pengenalan Alam Flora dan Fauna, Eksplorasi Kehidupan Alam Semula Jadi di Taman Negara, serta Permainan Cabaran Tenaga. Pada hari terakhir, sesi rumusan dan pembentangan tugasan kumpulan diadakan bagi membolehkan peserta berkongsi ilmu yang diperoleh sepanjang bengkel.

Majlis penutup disempurnakan dengan penyampaian cenderahati kepada semua peserta oleh Yang Berusaha Dr. Siti Suraiyah M. Horsi, Ketua Penolong Pengarah, Unit Perancangan Pembangunan Keguruan, Sektor Dasar dan Perancangan Pembangunan Keguruan, Bahagian Profesionalisme Guru, bersama Encik Mohd Yusof Mahdzir, Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Profesionalisme, Sektor Dasar, Perancangan dan Perhubungan, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Teks / Foto : Syafiq Saifullah Azmi