PROGRAM PERKONGSIAN ILMU PERKASA KESEDARAN ISU PLASTIK SEKALI GUNA DI SMK GUNUNG SEMANGGOL
SIMPANG EMPAT, SEMANGGOL, PERAK, 3 Oktober 2025 – Kesedaran terhadap bahaya penggunaan plastik sekali guna terus diperkuatkan melalui penganjuran Program Perkongsian Ilmu Isu Penggunaan Plastik Sekali Guna di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Semanggol, melibatkan penyertaan kira-kira 100 orang guru dan murid. Program ini bertujuan memperkasa pemahaman warga sekolah tentang kesan negatif plastik sekali guna terhadap alam sekitar, selain menggalakkan amalan hijau dan gaya hidup lestari dalam kalangan pelajar. Sesi ceramah utama telah disampaikan oleh Yang Berusaha Profesor Dr. Haslan Abu Hassan, Pensyarah Kehormat dari Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Kaunsel Tunas Hijau. Beliau diiringi oleh dua eksekutif organisasi Tunas Hijau, Cik Suhairiza Suhaimi dan Encik Mohd Rodzi Abd. Razak.
Dalam perkongsiannya, Profesor Dr. Haslan menegaskan bahawa isu plastik sekali guna merupakan cabaran besar yang perlu ditangani melalui perubahan minda dan tindakan kolektif masyarakat. “Kita semua mempunyai peranan untuk mengurangkan jejak plastik. Setiap individu mampu menyumbang kepada kelestarian bumi melalui tindakan kecil seperti membawa bekas guna semula dan menolak penggunaan plastik sekali guna,” ujar beliau.
Turut hadir memeriahkan program ialah Yang Berusaha Encik Kamarul Nizam Masri, Pengetua SMK Gunung Semanggol, bersama Komander Tunas Hijau sekolah, Puan Elinashakila Mazlan dan Puan Norwahidah Sarlan. Dalam ucapannya, Encik Kamarul Nizam menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur atas inisiatif memperkasa pendidikan alam sekitar di sekolah. “Pendedahan seperti ini amat penting untuk membentuk murid sekolah yang berpengetahuan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Pendidikan hijau bukan sekadar ilmu, tetapi satu budaya yang harus diterapkan sejak di bangku sekolah,” jelas beliau.
Program diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati dan bergambar kenangan bersama para penceramah sebagai tanda penghargaan atas perkongsian ilmu dan komitmen terhadap usaha memupuk kesedaran hijau di peringkat akar umbi.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat Organisai Tunas Hijau