Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

“PROGRAM SEKOLAH TUNAS HIJAU FASA 3 – PERAK (SIRI 2): MENERUSKAN MISI KE ARAH 2027 LESTARI - SIFAR PLASTIK SEKALI GUNA DALAM KOMUNITI SEKOLAH ”

IPOH, PERAK, 13 Jun 2025 – Pada 12 Jun 2025, satu inisiatif pendidikan alam sekitar yang berimpak tinggi, iaitu Program Sekolah Tunas Hijau Fasa 3 – Perak (Siri 2) telah berjaya dilancarkan dengan penuh semangat di Ipoh, Perak. Program ini merupakan kesinambungan usaha memperkasa pendidikan kelestarian di peringkat sekolah, khususnya dalam memupuk kesedaran terhadap bahaya penggunaan plastik sekali guna dalam kalangan warga sekolah. Dengan matlamat melahirkan generasi yang cakna alam, bertanggungjawab dan mampu menjadi agen perubahan, program ini menampilkan pendekatan menyeluruh yang melibatkan guru, murid serta sokongan padu pelbagai agensi. Seramai 206 orang guru daripada 103 buah sekolah menengah di seluruh negeri Perak telah menyertai program ini sebagai Komander Tunas Hijau, yang berperanan membimbing murid dalam menjayakan misi dan aktiviti hijau di sekolah masing-masing. Murid-murid ini dikenali sebagai Ejen Tunas Hijau, yang akan memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan amalan lestari serta mengubah tingkah laku ke arah gaya hidup lebih hijau.

Program ini dibahagikan kepada dua sesi utama. Sesi pagi memberi tumpuan kepada bengkel latihan dan pemantapan pengetahuan bersama tenaga pakar kelestarian, manakala sesi petang pula merupakan majlis perasmian rasmi yang dihadiri oleh tetamu kehormat dari pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan. Bengkel pada sesi pagi membuka ruang kepada peserta untuk mendalami ilmu berkaitan pengurusan sisa plastik, pelaksanaan aktiviti hijau, dan perancangan strategi program dua tahun yang akan berlangsung dari 2025 hingga 2027.

Antara sesi yang paling mencuri tumpuan dalam program ini ialah taklimat oleh Encik Mohd E’fa Khadri Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, yang membuka tirai dengan penerangan menyeluruh berkaitan hala tuju program. Seterusnya, sesi taklimat teknikal disampaikan oleh Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan, CETREE, CGSS, USM dan Encik Zuherly Zolkapali, Ketua Teknikal, Program Sekolah Tunas Hijau Fasa 3 – Perak  yang menjelaskan secara terperinci mengenai tugasan bulanan serta sistem pemarkahan yang digunakan dalam program ini.

Sesi diteruskan dengan perkongsian ilmu oleh Profesor Madya Dr. Mardiana Idayu Ahmad, Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Teknologi Industri, USM yang membincangkan pelbagai jenis sisa plastik serta kesannya terhadap alam sekitar. Slot pembentangan oleh Dr. Khozema Ahmed Ali, Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Teknologi Industri, USM turut memberi nilai tambah dengan mengetengahkan amalan terbaik dalam pengurusan sisa plastik di sekolah, manakala Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, Timbalan Pengarah, Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM memperkenalkan pelbagai aktiviti kitar semula yang kreatif dan boleh dilaksanakan di peringkat sekolah.

 

Kemuncak program diserikan dengan sesi inspirasi daripada SMK St. Michael, Ipoh, Perak, sekolah pemenang Siri 1 Program Sekolah Tunas Hijau Fasa 3 – Perak tahun 2023 - 2025. Dua orang guru dari sekolah tersebut, Puan Gunasundary dan Puan Farahwahidah, tampil berkongsi pengalaman melaksanakan projek kelestarian yang sarat dengan elemen dedikasi dan inovasi. Perkongsian tersebut bukan sahaja membuktikan kejayaan pendekatan yang digunakan, malah turut menjadi pemangkin semangat kepada para peserta lain untuk terus berusaha melahirkan generasi yang prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.

Sesi petang menyaksikan majlis perasmian yang disempurnakan dengan kehadiran tokoh-tokoh penting seperti Encik Mahadi Sukarno, Timbalan Setiausaha Bahagian, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, NRES, Puan Hajah Fadhilah Hawary, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, Timbalan Pengarah, Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM, Puan Shahrinaz Maamor, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Hijau Malaysia, serta Puan Aaina Karina Mohamed Senawi, Pengurus Kanan (Alam Sekitar),Yayasan Hasanah.

Dalam ucapannya, Encik Mahadi menekankan "statistik membimbangkan mengenai sisa plastik di Malaysia yang kini menyumbang 13.2% daripada keseluruhan sisa domestik. Beliau turut berkongsi pelan strategik negara melalui Malaysia Plastics Sustainability Roadmap 2021–2030 dan Larangan Beg Plastik Sekali Guna yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2026. Menurut beliau lagi, meskipun dasar larangan tersebut penting, pelaksanaannya perlu dibuat secara berfasa dan mengambil kira kesediaan negeri-negeri. Negeri Perak sendiri telah memulakan langkah proaktif melalui pengenaan caj 20 sen bagi beg plastik jinjit di premis tetap setiap hari Sabtu. Ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam mendidik pengguna dan mengurangkan pencemaran plastik".

Puan Hajah Fadhilah pula merakamkan setinggi-tinggi "penghargaan kepada CETREE, CGSS, USM yang memainkan peranan utama dalam pelaksanaan program, serta pihak penaja seperti Yayasan Hijau Malaysia dan Yayasan Hasanah yang sentiasa konsisten menyokong pendidikan kelestarian. Beliau turut menekankan bahawa pendidikan alam sekitar harus diterapkan secara menyeluruh, bukan hanya dalam kurikulum tetapi juga melalui aktiviti kokurikulum dan budaya sekolah. Lebih menarik, program ini turut menyediakan ganjaran dan hadiah menarik sebagai motivasi kepada warga sekolah yang aktif melaksanakan tugasan dan mencapai misi kelestarian. Keprihatinan pihak penganjur, termasuk CETREE dan Yayasan Hijau Malaysia yang menyampaikan hadiah secara langsung ke sekolah, amat dihargai dan menjadi pembakar semangat kepada murid dan guru untuk terus berusaha dengan lebih gigih".

Ucapan penghargaan turut dizahirkan kepada "Pejabat Pendidikan Daerah dan Unit Pembangunan Bakat Murid yang terus memberikan sokongan penuh dalam memastikan kelangsungan program ini di peringkat sekolah. Kerjasama erat antara pihak sekolah dan agensi kerajaan merupakan asas kejayaan program ini. Secara keseluruhannya, Program Sekolah Tunas Hijau Fasa 3 – Perak (Siri 2) bukan sahaja menjadi wadah memperkasa warga sekolah dengan ilmu dan tindakan lestari, malah berjaya menghubungkan pelbagai pihak dalam satu misi bersama – menyelamatkan alam demi generasi masa depan. Program ini diharapkan dapat melahirkan lebih ramai murid yang berjiwa hijau, serta memacu perubahan positif di peringkat komuniti".

Majlis perasmian diakhiri dengan satu simbolik yang cukup bermakna – penyerahan cenderahati istimewa kepada para tetamu kehormat. Cenderahati tersebut merupakan hasil inovasi kreatif daripada bahan plastik sekali guna yang dikitar semula, diilhamkan oleh pasukan di bawah bimbingan Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Universiti Sains Malaysia. Penyerahan disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, Timbalan Pengarah, CGSS, USM sebagai tanda penghargaan dan komitmen bersama terhadap perjuangan kelestarian alam. Cenderahati tersebut bukan sekadar barangan fizikal, malah membawa mesej mendalam tentang potensi bahan terbuang apabila diolah dengan kreativiti dan kesedaran hijau. Ia turut menjadi lambang sokongan padu daripada pihak akademik dan pelaksana program terhadap usaha pendidikan alam sekitar di peringkat akar umbi. Majlis diteruskan dengan sesi bergambar bersama para pengetua dan guru sebagai simbolik kenangan yang indah serta permulaan kepada satu perjalanan hijau yang lebih bermakna dan berimpak tinggi, ke arah mencorak masa depan generasi lestari.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat Organisasi Tunas Hijau Fasa III - Perak (Siri 2) 2025/2027