Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

PROGRAM SEKOLAH TUNAS HIJAU FASA III – PERAK
(SIRI 2) : MAAHAD ISLAHIYAH ADDINIAH TERIMA SUNTIKAN BAHARU KELESTARIAN

MANJUNG, PERAK, 26 Oktober 2025 – Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Islahiyah Addiniah telah menerima kunjungan khas daripada pasukan Organisasi Tunas Hijau sempena pelaksanaan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) bersempena Karnival JUMP-STEM yang berlangsung di daerah Manjung, Perak. Kunjungan ini merupakan sesi kunjung bantu dan bimbingan strategik yang bertujuan memberikan panduan, dorongan dan bimbingan secara langsung kepada ejen serta komander Tunas Hijau sekolah berkenaan dalam memperkukuh pelaksanaan projek-projek kelestarian mereka.

Organisasi Tunas Hijau yang diketuai oleh Cik Suhairiza Suhaimi dan Cik Farah Amira Zainudin, selaku Eksekutif Program Tunas Hijau, telah berkongsi penerangan terperinci, garis panduan pelaksanaan projek, serta latihan secara praktikal kepada guru komander dan murid-murid Tunas Hijau. Antara tumpuan utama sesi ini ialah strategi pelaksanaan projek, kaedah pendokumentasian, serta penambahbaikan aspek kritikal yang dapat membantu sekolah memperoleh markah cemerlang dalam penilaian program.

Turut sama hadir ialah sekretariat daripada Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM yang turut memainkan peranan penting dalam menjayakan sesi bimbingan yang berlangsung selama setengah hari itu.

Selain sesi bimbingan, para peserta turut berpeluang mengalami sendiri aktiviti dan demonstrasi berkaitan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau yang dibawa khas oleh pihak CETREE dan aktiviti – aktivti kelestarian daripada mahasiswa USM ke daerah Manjung. Antara tarikan utama ialah pameran Kenderaan Teknologi Hijau (CETREE) serta aktiviti interaktif dan sesi perkongsian ilmu bersama Mahasiswa Universiti Sains Malaysia dan Pensyarah-pensyarah daripada Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM.

Kunjungan ini diharapkan dapat memberikan suntikan motivasi dan hala tuju yang jelas kepada pasukan ejen dan komander Tunas Hijau SABK Maahad Islahiyah Addiniah dalam melaksanakan projek kelestarian secara lebih berkesan dan berimpak tinggi. Program berakhir dengan sesi bergambar kenangan sebagai simbol komitmen dan semangat kolaboratif semua pihak yang terlibat dalam menjayakan aktiviti kunjung bantu ini di Manjung, Perak.

Teks / Foto : Ahmad Ammar Zakaria