Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

PROGRAM SEKOLAH TUNAS HIJAU FASA III–PERAK (SIRI 2) CATAT PENURUNAN 55.41 PERATUS NILAI PEMBELIAN PLASTIK, KURANGKAN ANGGARAN JEJAK KARBON SEBANYAK 271.04 TAN CO₂e

IPOH, PERAK, 4 November 2026 – Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III–Perak (Siri 2) mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya merekodkan penurunan sebanyak 55.41 % nilai pembelian plastik sekali guna, sekali gus melepasi sasaran awal program sebanyak 50 %. Pencapaian ini turut menyumbang kepada pengurangan anggaran jejak karbon sebanyak 271.04 tan karbon dioksida setara (CO₂e) sepanjang tempoh pelaksanaan program selama dua tahun.

Kejayaan tersebut diraikan menerusi Majlis Anugerah Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III–Perak (Siri 2) yang berlangsung di Ipoh, Perak, pada 4 November 2026. Majlis ini menghimpunkan wakil kementerian, agensi kerajaan, rakan strategik, pengetua, guru dan murid daripada 103 buah sekolah menengah yang terlibat di seluruh negeri Perak.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Pubadi A/L Govindasamy, Setiausaha Bahagian Pengurusan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), yang hadir mewakili YB Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Turut hadir YBrs. Tuan Raihanulazmi bin Muhammad, Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri Perak; YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Wira bin Mohd Shafiei, Penyelaras Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, Universiti Sains Malaysia (USM); YBrs. Encik Muhamad Faiz bin Muhamad Pauzi, Ketua Bahagian Projek, Yayasan Hijau Malaysia (YHM); serta YBrs. Puan Nadiah Amirah binti Noor Azlan, Eksekutif Alam Sekitar, Yayasan Hasanah.

Title

Title

Title

Dalam pembentangan pencapaian keseluruhan program, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Wira bin Mohd Shafiei menjelaskan bahawa pelaksanaan program melibatkan 103 buah sekolah menengah dari 11 daerah di negeri Perak, dengan penyertaan seramai 206 orang guru sebagai Komander Tunas Hijau dan 1,854 orang murid sebagai Ejen Tunas Hijau. Pelaksanaan program yang disusun menerusi empat operasi utama, iaitu Operasi Alpha, Beta, Gamma dan Omega, memberikan pendekatan berfasa bagi membimbing sekolah melaksanakan inisiatif pengurangan plastik sekali guna secara sistematik, di samping memperkukuh pengetahuan dan penglibatan aktif warga sekolah dalam amalan kelestarian.

Berdasarkan penilaian yang dilaksanakan, program ini berjaya mencatatkan peningkatan pengetahuan warga sekolah sebanyak 80.16 %, sekali gus mencapai sasaran peningkatan pengetahuan yang ditetapkan, iaitu 80 %. Pencapaian ini memperlihatkan keberkesanan pendekatan pendidikan dan pembudayaan amalan hijau dalam meningkatkan kefahaman warga sekolah terhadap kepentingan pengurusan sisa plastik sekali guna.

Dari aspek pengurangan pembelian plastik, nilai pembelian yang direkodkan sebelum program pada tahun 2025 berjumlah RM978,203.84 telah menurun kepada RM436,132.60 pada tahun 2026. Pengurangan sebanyak RM542,071.24 ini bersamaan 55.41 peratus, sekali gus melepasi sasaran pengurangan 50 % yang ditetapkan. Lebih membanggakan, sebanyak 80 buah sekolah berjaya mencatatkan pengurangan sekurang-kurangnya 50 % berdasarkan nilai pembelian plastik yang direkodkan.

Pencapaian ini turut memberikan impak positif terhadap usaha mitigasi perubahan iklim apabila anggaran jejak karbon menurun daripada 489,101.92 kg CO₂e kepada 218,066.30 kg CO₂e. Penurunan sebanyak 271,035.62 kg CO₂e atau bersamaan 271.04 tan CO₂e dalam tempoh dua tahun ini menunjukkan potensi sumbangan inisiatif pengurangan penggunaan plastik terhadap usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Berdasarkan prestasi pengurangan yang sama, program ini turut mengunjurkan potensi pengurangan kumulatif jejak karbon sebanyak 1,355.18 tan CO₂e menjelang tahun 2030 sekiranya prestasi tersebut dapat dikekalkan secara konsisten selama lima tahun.

Selain pencapaian kuantitatif, program ini turut memberi penekanan kepada aktiviti inovasi, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kokurikulum serta pendekatan gamifikasi bagi menggalakkan murid berfikir secara kreatif dan kritis dalam mengenal pasti permasalahan berkaitan sisa plastik serta meneroka penyelesaian yang praktikal dan lestari. Melalui pendekatan penyebarluasan amalan baik di peringkat sekolah, program ini turut berpotensi memperluas penglibatan sehingga 2,575 orang guru dan 51,500 orang murid, sekali gus menjadikan usaha pembudayaan amalan hijau lebih menyeluruh dan tidak terhad kepada kumpulan peserta yang dilantik secara rasmi.

Inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG), khususnya SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab serta SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim. Pelaksanaannya juga selari dengan agenda Perak Sejahtera 2030, khususnya Agenda Kelestarian Alam dan Biodiversiti, melalui usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta menerapkan amalan penggunaan sumber secara bertanggungjawab dalam kalangan warga sekolah.

Title

Title

Title

Usaha ini turut selari dengan titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, dalam Istiadat Pembukaan Rasmi Sidang Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15 pada 14 April 2026 yang menekankan kepentingan membangunkan generasi cakna terhadap kelestarian alam sekitar serta menjadikan sekolah sebagai pemangkin pembentukan budaya lestari dalam kalangan murid.

Dalam ucapan alu-aluan, YBrs. Tuan Raihanulazmi bin Muhammad mewakili Jabatan Pendidikan Negeri Perak merakamkan penghargaan kepada NRES, YHM, Yayasan Hasanah, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) serta USM melalui CETREE, CGSS atas kerjasama, sokongan dan komitmen dalam menjayakan program tersebut. Beliau turut menegaskan bahawa usaha mendidik generasi muda mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar memerlukan kerjasama strategik pelbagai pihak bagi membentuk pengetahuan, sikap dan amalan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian penutup, YBrs. Dr. Pubadi A/L Govindasamy menekankan bahawa kelestarian alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan komuniti. Beliau turut menggariskan kepentingan menangani pencemaran plastik melalui pelaksanaan inisiatif kerajaan, termasuk Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018–2030 dan Malaysia Plastics Sustainability Roadmap 2021–2030. Sehubungan itu, kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan perlu terus diperkukuh bagi memastikan pendidikan serta kesedaran alam sekitar dapat diterapkan secara berkesan dalam kehidupan seharian.

Kemuncak majlis menyaksikan lima buah sekolah terbaik peringkat negeri menerima pengiktirafan berdasarkan pencapaian pelaksanaan program, termasuk usaha pengurangan penggunaan plastik, peningkatan pengetahuan, kreativiti aktiviti promosi serta penglibatan warga sekolah. Sekolah Menengah Kebangsaan St. Bernadette’s Convent, Daerah Kinta Selatan muncul Johan dengan menerima wang tunai RM10,000, diikuti Maahad Islahiah Addiniah, Daerah Manjung sebagai Naib Johan dengan RM5,000. Sekolah Menengah Kebangsaan Buntong, Daerah Kinta Utara memperoleh Tempat Ketiga dengan RM3,000, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Saban, Daerah Hulu Perak di Tempat Keempat dengan RM2,000, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang, Daerah Kerian memperoleh Tempat Kelima dengan RM1,000.

Title

Title

Title

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada wakil 103 buah sekolah, pengiktirafan kepada sekolah yang berjaya menyelesaikan misi Operasi Gamma dan Operasi Omega, serta sijil penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah atas komitmen dan sokongan dalam menyelaras pelaksanaan program di daerah masing-masing.

Secara keseluruhannya, pencapaian Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III–Perak (Siri 2) membuktikan bahawa pendidikan kelestarian yang diterjemahkan melalui tindakan, pemantauan dan penglibatan menyeluruh warga sekolah mampu menghasilkan perubahan positif yang boleh diukur. Kejayaan mencapai peningkatan pengetahuan sebanyak 80.16 %, penurunan nilai pembelian plastik sebanyak 55.41 peratus serta pengurangan anggaran jejak karbon sebanyak 271.04 tan CO₂e merupakan asas penting untuk memperkukuh dan memperluas pendidikan kelestarian ke peringkat yang lebih menyeluruh.

Melalui kerjasama strategik Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Yayasan Hijau Malaysia (YHM), Yayasan Hasanah, Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta Universiti Sains Malaysia (USM) melalui CETREE, CGSS program ini diharap terus menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi yang bukan sahaja memahami kepentingan kelestarian alam sekitar, malah mampu menterjemahkan pengetahuan tersebut melalui amalan dan tindakan dalam kehidupan seharian. Usaha ini sekali gus memperkukuh peranan sekolah sebagai pusat pembudayaan amalan hijau dan melahirkan generasi yang bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar untuk masa hadapan.

SDGs: 12 &13
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekretariat Majlis Anugerah PSTHF3-(SIRI 2)- PERAK