PROGRAM TILTING FUTURES: TAKE ACTION LAB MERAIKAN KEHADIRAN PELAJAR ANTARABANGSA DI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM)
USM, PULAU PINANG, 18 Oktober 2025 — Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti bertaraf global melalui penganjuran Program Tilting Futures: Take Action Lab, anjuran bersama Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) dan Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) serta Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE) turut dilantik selaku sekretariat program ini. Program orientasi turut diadakan pada 17hb Oktober 2025 bertujuan memperkenalkan para pelajar antarabangsa kepada persekitaran kampus, budaya tempatan serta usaha berterusan USM dalam memperjuangkan agenda kelestarian sejagat. Program ini disertai oleh pelajar antarabangsa dari 17 buah negara termasuk Liberia, Ethiopia, Bolivia, Peru, Hungary, Brazil, South Sudan dan Rwanda. Kehadiran mereka mencerminkan semangat keterangkuman dan jaringan global yang semakin kukuh di bawah inisiatif Tilting Futures.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah diatur seperti ucapan aluan rasmi, aktiviti luar “Explorace@USM”, serta majlis jamuan makan tengah hari bersama rakan strategik Tilting Futures. Gabungan aktiviti ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara pelajar dan komuniti kampus, malah memperlihatkan komitmen USM terhadap pendidikan berimpak global yang berpaksikan nilai kelestarian dan kepelbagaian.
Majlis dimulakan dengan ucapan penuh inspirasi oleh Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Pengarah, Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS). Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan atas pemilihan USM sebagai tuan rumah bagi program antarabangsa ini serta menekankan peranan universiti dalam merealisasikan visi “Mentransformasi Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok.” Beliau turut berkongsi keunikan budaya Malaysia yang berbilang kaum, khususnya di negeri Pulau Pinang — sebuah negeri yang terkenal sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO dan destinasi kulinari utama dengan pelbagai hidangan tempatan yang menggamit selera.
Sementara itu, Yang Berusaha Sr. Dr. Muneera Esa, Timbalan Pengarah (Mobiliti) IMCC, dalam ucapannya secara rasmi mengalu-alukan kedatangan pelajar antarabangsa ke kampus USM. Beliau menegaskan bahawa penyertaan dalam program seperti Tilting Futures bukan sekadar pengalaman akademik, tetapi juga peluang untuk memahami nilai-nilai kelestarian, kepelbagaian budaya dan kerjasama antarabangsa. Beliau turut menggalakkan para pelajar agar menikmati aktiviti Explorace@USM yang direka khas untuk meneroka keunikan kampus serta mengenali pelbagai pusat tanggungjawab yang berperanan dalam pengurusan dan pembangunan universiti.
Program diteruskan dengan penerangan oleh Encik Mugilan A/L Ravi, Eksekutif Pentadbiran IMCC, yang memperincikan struktur dan perjalanan aktiviti Explorace@USM. Beliau turut memperkenalkan barisan fasilitator dan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar serta staf USM yang akan membimbing peserta sepanjang aktiviti — termasuk wakil dari bahagian sukan, pengurusan kampus, perkhidmatan, dan kelestarian.
Seterusnya, Encik Mohd Abdul Muin Md Akil, Pegawai Sains CGSS, memberikan taklimat berkaitan keselamatan sepanjang keberadaan pelajar di kampus. Beliau turut memperkenalkan ECOHUB USM, sebuah pusat pembelajaran hijau yang menjadi simbol komitmen universiti terhadap kelestarian alam sekitar. Para peserta diberi pendedahan mengenai aktiviti berasaskan alam semula jadi seperti hiking trail, pemerhatian biodiversiti flora dan fauna serta panduan do’s and don’ts untuk memastikan keseimbangan ekosistem terus terpelihara.
Kemuncak program diserikan dengan majlis jamuan makan tengah hari yang menghimpunkan pelajar antarabangsa, fasilitator serta rakan strategik Tilting Futures sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu dan kerjasama yang diberikan kepada CGSS dan IMCC dalam menjayakan program berimpak global ini. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, Penyelaras Tilting Futures: Take Action Lab @USM, bersama barisan pensyarah dari CGSS dan IMCC. Kehadiran wakil daripada pelbagai organisasi rakan strategic turut menyerikan majlis, antaranya Penang Green Council, Ammi Arts Studio, The Habitat Foundation, Penang Science Cluster, Water Watch Penang, Entopia, Penang Harmony Corporation (HARMONICO), Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM, Green Educators’ Workgroup Penang dan Think City.
Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antarabangsa dan semangat kolaborasi antara USM dan Tilting Futures, malah menonjolkan citra USM sebagai universiti yang berteraskan nilai kelestarian, keterangkuman dan kemanusiaan sejagat — seiring dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berwawasan serta prihatin terhadap masa depan bumi.
Teks / Foto : Syafiq Saifullah Azmi