Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

SAY NO TO SINGLE-USE PLASTIC : LANGKAH PROAKTIF SMJK PEREMPUAN PERAK

IPOH, PERAK, 2024 – Sekolah Menengah Kebangsaan Jenis Perempuan Perak telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha meningkatkan kesedaran alam sekitar dan memupuk amalan hijau dalam kalangan warganya. Antara inisiatif utama yang dijalankan ialah Program Kunjung Bantu, yang disertai dengan sesi perkongsian ilmu bersama Prof. Madya Dr. Mardiana Idayu Ahmad, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM), yang juga merupakan Kaunselor Tunas Hijau. Dalam program ini, beliau bersama eksekutif-eksekutif Tunas Hijau telah mengadakan sesi penerangan di sekolah untuk memberikan kesedaran dan pendedahan tentang jenis-jenis plastik serta kesannya terhadap alam sekitar kepada seluruh warga sekolah.

Selain itu, pihak sekolah turut mengambil langkah proaktif dengan menjalankan aktiviti gotong-royong dan menjalin kerjasama komuniti dalam program pengasingan plastik. Program ini melibatkan proses pemilihan dan penghantaran sisa plastik yang sesuai kepada syarikat-syarikat kitar semula yang telah dikenal pasti. Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran, malah memastikan pengurusan sisa plastik dilakukan secara sistematik dan mesra alam.

Di samping itu, pelbagai program inovatif dan berorientasikan kelestarian turut dianjurkan bagi menyemai budaya hijau dalam kalangan pelajar. Antaranya ialah Pertandingan Upcycling Plastic, yang diadakan sempena Bulan STEAM dan Inovasi SMJK Perempuan Perak. Selain itu, Kempen “Say No to Single-Use Plastic” serta kempen kitar semula peringkat sekolah turut dilaksanakan bagi menggalakkan warga sekolah mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan mengamalkan kitar semula dalam kehidupan seharian.

Secara keseluruhannya, inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja mendidik pelajar tentang kepentingan kelestarian alam, malah berperanan membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab dan prihatin terhadap pemeliharaan alam sekitar. Dengan usaha berterusan, sekolah ini dapat menjadi contoh kepada institusi pendidikan lain dalam membudayakan amalan hijau demi masa depan yang lebih lestari.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Perempuan Perak