Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

SESI PENILAIAN VIDEO KREATIF DAN TEMUBUAL MURID OPERASI OMEGA PROGRAM SEKOLAH TUNAS HIJAU FASA III – PERAK (SIRI 2) DILAKSANAKAN SECARA DALAM TALIAN

Title

Title

Title

USM, PULAU PINANG, 27 Ogos 2026 – Komitmen sekolah dalam menterjemahkan kesedaran alam sekitar kepada tindakan nyata terus diperkasa menerusi Sesi Penilaian Video Kreatif dan Temubual Murid Operasi Omega Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) yang dilaksanakan secara dalam talian melalui platform Google Meet. Sesi ini merupakan antara fasa penting dalam menilai pencapaian, kreativiti dan impak inisiatif sekolah dalam membudayakan kelestarian, khususnya usaha ke arah pengurangan dan sifar penggunaan plastik sekali guna. Operasi Omega melibatkan 10 buah sekolah yang dipilih berdasarkan pencapaian pelaksanaan Operasi Alpha, Beta dan Gamma, serta laporan akhir program yang dikemukakan oleh pihak sekolah.

Sesi penilaian dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Penyelaras CETREE, CGSS, USM, yang merakamkan ucapan tahniah kepada kesemua sekolah yang berjaya terpilih dalam kelompok 10 terbaik. Beliau turut menghargai komitmen dan kreativiti sekolah serta Ejen Tunas Hijau sepanjang pelaksanaan program.

“Tahniah kepada semua sekolah yang berjaya terpilih dalam kelompok 10 terbaik. Saya berharap segala usaha dan amalan yang telah dibangunkan tidak terhenti apabila program ini tamat, sebaliknya terus menjadi budaya dalam kalangan warga sekolah. Gunakan peluang sesi ini untuk berkongsi pengalaman, pencapaian dan perubahan yang telah dilaksanakan dengan sebaik mungkin agar Kaunsel Tunas Hijau dapat menilai usaha setiap sekolah secara menyeluruh,” ujar beliau.

Title

Title

Title

Sesi penilaian kemudiannya dilaksanakan mengikut turutan yang ditetapkan oleh Sekretariat Organisasi Tunas Hijau, dengan setiap sekolah mengikuti sesi melalui pautan Google Meet yang berasingan. Pendekatan ini membolehkan proses penilaian dilaksanakan secara lebih fokus serta mewujudkan komunikasi dua hala antara panel juri dengan Ejen Tunas Hijau.

Sesi ini turut diperkasa dengan penglibatan Kaunsel Organisasi Tunas Hijau daripada pelbagai institusi strategik. Panel juri daripada Universiti Sains Malaysia (USM) terdiri daripada Profesor Kehormat Dr. Haslan Abu Hassan, Profesor Madya Kehormat Dr. Hj. Mohd Sayuti Hassan, Profesor Madya Dr. Mardiana Idayu Ahmad, Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, Dr. Khozema Ahmed Ali dan Dr. Mohd Sukri Shafei. Turut menganggotai panel ialah Puan Nor Hana Mohamad Rosli daripada Yayasan Hijau Malaysia, serta Puan Shakirah Rashid dan Encik Zuherly Zolkapali daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.

Kepelbagaian kepakaran panel membolehkan penilaian dibuat secara lebih menyeluruh terhadap kreativiti, pencapaian, keberkesanan inisiatif serta tahap pengetahuan dan kefahaman murid dalam menggerakkan usaha ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna. Sebanyak 10 buah sekolah menyertai sesi penilaian tersebut, iaitu SMK St. Bernadette's Convent, SMK Buntong, SMK Panglima Bukit Gantang, Maahad Islahiah Addiniah, SMK Dato' Panglima Perang Kiri, SMK Tun Saban, SMK Sungai Ranggam, SMK Raja Muda Musa, SMK Sentosa dan SMK Tasek Damai.

Title

Title

Title

Penilaian merangkumi video kreatif yang dihasilkan oleh setiap sekolah serta sesi temubual bersama tiga orang Ejen Tunas Hijau daripada setiap sekolah. Menerusi sesi interaktif tersebut, murid berpeluang berkongsi pengalaman, cabaran dan pendekatan yang dilaksanakan, di samping memperlihatkan tahap pengetahuan, keyakinan dan keupayaan mereka sebagai pemimpin muda dalam menggerakkan agenda kelestarian. Video kreatif yang dihasilkan pula menjadi medium untuk sekolah mengetengahkan perjalanan, inovasi, aktiviti dan pencapaian sepanjang program, khususnya dalam usaha mengurus dan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

Hasil penilaian, lima buah sekolah berjaya mara ke peringkat seterusnya, iaitu Maahad Islahiah Addiniah, SMK Panglima Bukit Gantang, SMK Tun Saban, SMK St. Bernadette's Convent dan SMK Buntong. Kelima-lima sekolah tersebut akan melalui sesi lawatan tapak bagi menilai dengan lebih dekat keberkesanan, kesinambungan dan impak inisiatif kelestarian yang telah dilaksanakan.

Secara keseluruhannya, Operasi Omega bukan sekadar menjadi medan penilaian pencapaian sekolah, malah memperlihatkan sejauh mana kesedaran telah diterjemahkan kepada tindakan, perubahan tingkah laku dan pembudayaan amalan kelestarian. Usaha ini diharap terus menjadi amalan jangka panjang, dengan Ejen Tunas Hijau memainkan peranan sebagai pemangkin perubahan dalam membentuk komuniti sekolah yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Inisiatif ini selari dengan aspirasi Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja memahami kepentingan kelestarian, tetapi berani bertindak, mampu memimpin perubahan dan konsisten mengamalkan gaya hidup yang lebih lestari.

Teks : Syafiq Saifullah Azmi / Ashween Sonia Sani Murugesan
Foto : Organisai Tunas Hijau