SESI PERKONGSIAN ILMU DAN KONSULTASI PROGRAM TUNAS HIJAU FASA III - PERAK DI SMJK DINDINGS, LUMUT
LUMUT, PERAK, 5 OGOS 2024 – Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Dindings, Lumut, Perak telah menjadi tuan rumah bagi Sesi Perkongsian Ilmu dan Sesi Konsultasi Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III - Perak yang berlangsung dengan jayanya. Program ini dilaksanakan melalui kerjasama erat antara Organisasi Tunas Hijau dan CETREE, dengan kehadiran Kaunsel Tunas Hijau, Prof. Madya Dr. Ng. Theam Foo, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Universiti Sains Malaysia. Bersama beliau, turut hadir Puan Nor Hana Mohamad Rosli, Senior Executive di Yayasan Hijau Malaysia, yang turut menyokong usaha-usaha kelestarian alam sekitar. Tujuan utama kehadiran Organisasi Tunas Hijau ke sekolah ini adalah untuk memberikan pendedahan dan bimbingan kepada ejen-ejen dan Komander Tunas Hijau sekolah dalam usaha melaksanakan Program Tunas Hijau Fasa III di Perak. Melalui sesi perkongsian ilmu dan konsultasi ini, para peserta telah diberi panduan serta ilmu yang berguna dalam merancang inisiatif kelestarian alam yang lebih berkesan dan dapat dilaksanakan dengan baik di peringkat sekolah.
Program ini disambut dengan penuh keterujaan oleh pihak sekolah yang diwakili oleh Puan Kong Hut Ping, Penolong Kanan Pentadbiran SMJK Dindings, yang melahirkan rasa bangga kerana sekolah mereka terpilih sebagai destinasi bagi program tersebut. Dalam ucapannya, beliau mengharapkan agar inisiatif-inisiatif hijau ini bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar tetapi juga dapat membentuk generasi muda yang lebih bertanggungjawab terhadap pemeliharaan bumi. Sebagai sebahagian daripada program, pihak Organisasi Tunas Hijau dan CETREE turut melaksanakan lawatan ke pelbagai kawasan di sekolah untuk melihat hasil kerja dan usaha yang telah dilaksanakan oleh para ejen Tunas Hijau di SMJK Dindings. Lawatan ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada inisiatif yang telah dilaksanakan serta memberi sokongan tambahan bagi memastikan program ini terus berjalan dengan lancar. Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memberi impak positif terhadap kesedaran alam sekitar, tetapi juga memperkukuhkan hubungan kerjasama antara sekolah, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam usaha untuk mencipta persekitaran yang lebih hijau dan mampan. Diharapkan dengan adanya program seperti ini, akan lahir lebih banyak inisiatif kelestarian yang dapat dilaksanakan di sekolah-sekolah di seluruh negara.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Suhairiza Suhaimi