SINERGI PPD PERAK PACU KEJAYAAN PROGRAM SEKOLAH TUNAS HIJAU FASA III - PERAK (SIRI 2)
IPOH, PERAK, 10 April 2026 – Usaha memperkasa pendidikan kelestarian di negeri Perak terus diperkukuh menerusi Mesyuarat Kemajuan Pelaksanaan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III, Perak (Siri 2) yang berlangsung pada 9 April 2026 di Ipoh. Mesyuarat ini menghimpunkan 12 orang Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) di bawah Sektor Pembangunan Murid dan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Perak sebagai wadah strategik menilai pencapaian semasa serta memperhalusi hala tuju pelaksanaan program di peringkat akar umbi.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Yang Berusaha Encik Mohd Mokhtar Shaari, Ketua Unit Pembangunan Bakat Murid, mewakili Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan atas komitmen berterusan para PPD yang menjadi tunjang kepada kejayaan pelaksanaan program, di samping mengiktiraf peranan CETREE sebagai agensi pelaksana yang konsisten menyebarluaskan ilmu serta kesedaran berkaitan kelestarian alam sekitar kepada warga sekolah.
Sementara itu, Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Penyelaras CETREE, CGSS, USM turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perak atas kepercayaan yang diberikan. Beliau menegaskan bahawa program ini bukan sekadar platform perkongsian ilmu, malah menjadi pemangkin kepada perubahan tingkah laku murid melalui pendedahan kepada isu plastik sekali guna dan amalan lestari yang lebih menyeluruh.
Pembentangan kemajuan program oleh Yang Berusaha Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik CETREE, CGSS merangkap Ketua Eksekutif program, memperincikan perkembangan semasa pelaksanaan yang menunjukkan pencapaian memberangsangkan. Program ini kini berada pada landasan yang kukuh dan dijangka mencapai objektif yang telah ditetapkan menjelang penghujung tahun 2026.
Perbincangan sepanjang mesyuarat berlangsung secara dinamik dan konstruktif, dengan pelbagai isu serta cabaran pelaksanaan dibincangkan secara terbuka. Komitmen semua pihak jelas terserlah apabila cadangan penambahbaikan dan penyelesaian praktikal dikemukakan, khususnya dalam menangani cabaran penglibatan dan komitmen sekolah di beberapa daerah. Turut hadir dalam Mesyuarat Kemajuan Pelaksanaan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III, Perak (Siri 2) ialah Yang Berusaha Puan Nor Hana Mohamad Rosli, Eksekutif Kanan Yayasan Hijau Malaysia.
Mesyuarat diakhiri dengan sesi bergambar sebagai simbol sokongan dan iltizam bersama semua PPD terhadap kejayaan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III, Perak (Siri 2). Secara keseluruhannya, mesyuarat ini bukan sahaja mengukuhkan sinergi antara pihak berkepentingan, malah menjadi pemacu kepada usaha berterusan dalam melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan lebih bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.
Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Organisai Tunas Hijau