SMK LEDANG SERLAH KEUPAYAAN DUTA MUDA ALAM DALAM LIMA SEKOLAH TERBAIK DAERAH TANGKAK
LEDANG, JOHOR, 10 September 2026 – Pemilihan SMK Ledang sebagai antara lima (5) sekolah terbaik daripada 16 buah sekolah yang menyertai Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026 membuktikan kesungguhan warga sekolah dalam menerapkan amalan kelestarian serta memperkasakan murid sebagai penggerak perubahan alam sekitar.
Kunjungan ke SMK Ledang yang merupakan sekolah kedua dalam siri penilaian akhir program ini turut mendapat perhatian istimewa apabila YB Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Ledang, hadir bagi menyaksikan sendiri pembentangan serta hasil pelaksanaan inisiatif kelestarian yang diketengahkan oleh warga sekolah.
Program anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Yayasan Hijau Malaysia (YHM) selaku agensi koordinator dengan kerjasama Pejabat Timbalan Menteri NRES, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak serta Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ledang ini telah bermula pada 25 hingga 26 Jun 2026 di Taman Negara Johor Gunung Ledang dan dirasmikan oleh YB Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh.
Program yang melibatkan 16 buah sekolah menengah di daerah Tangkak ini memberi penekanan kepada tiga bidang utama, iaitu pengurangan penggunaan plastik sekali guna, pengurusan sisa elektronik atau e-waste serta penjimatan tenaga. Pendekatan tersebut memberi ruang kepada peserta untuk mengenal pasti isu alam sekitar di persekitaran sekolah sebelum merancang dan melaksanakan tindakan yang bersesuaian.
Sebagai salah satu daripada lima sekolah terbaik, SMK Ledang tampil berkongsi pengalaman serta hasil pelaksanaan aktiviti yang telah digerakkan oleh pasukan Duta Muda Alam bersama warga sekolah. Pembentangan yang disampaikan memperlihatkan bagaimana idea dan pengetahuan berkaitan alam sekitar diterjemahkan kepada aktiviti yang lebih praktikal, di samping mengetengahkan peranan murid dalam merancang, melaksanakan dan menyampaikan mesej kelestarian kepada komuniti sekolah.
YB Timbalan Menteri NRES turut berkesempatan mendengar penerangan daripada murid serta melihat hasil pelaksanaan aktiviti secara lebih dekat. Sesi tersebut menjadi ruang interaksi yang bermakna apabila murid berpeluang berkongsi pengalaman, cabaran dan pendekatan yang digunakan dalam menjayakan usaha kelestarian di sekolah. Perkongsian secara langsung ini turut memberi suntikan motivasi kepada peserta untuk terus memperkukuh peranan mereka sebagai Duta Muda Alam.
Kunjungan kemudiannya diteruskan dengan tinjauan ke beberapa lokasi yang berkaitan dengan pelaksanaan inisiatif hijau sekolah. Tinjauan tersebut memberi peluang kepada delegasi melihat sendiri hasil dan pendekatan yang telah dilaksanakan, selain mendapatkan penjelasan daripada warga sekolah berkaitan pelaksanaan aktiviti serta penglibatan murid dalam memastikan usaha kelestarian dapat diteruskan secara berkesinambungan.
Kehadiran pelbagai agensi dalam sesi ini turut memperlihatkan bahawa pendidikan alam sekitar memerlukan kerjasama merentas bidang dan institusi. Kepakaran daripada NRES, JAS, MGTC, YHM serta CETREE, CGSS, USM memberikan perspektif yang berbeza kepada peserta, sekali gus memperkayakan pengalaman pembelajaran yang diperoleh sepanjang penyertaan dalam program.
Turut hadir ialah Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan CETREE, CGSS, USM; Puan Roslina Diwa, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan Alam Sekitar, Bahagian Komunikasi Strategik, JAS; Puan Roszana Yusoff, Ketua Akademi Hijau, MGTC; Encik Muhamad Faiz Muhamad Pauzi, Ketua Bahagian Projek, YHM; serta Sekretariat CETREE, CGSS, USM, bersama pihak pengurusan, guru dan ejen Duta Muda Alam SMK Ledang.
Daripada lima sekolah terbaik yang terpilih, setiap sekolah akan dinilai berdasarkan pelaksanaan dan hasil usaha kelestarian yang telah digerakkan sepanjang program. Siri kunjungan ini menjadi platform untuk meneliti secara lebih dekat kekuatan serta keupayaan setiap sekolah sebelum keputusan akhir dibuat bagi menentukan penerima Anugerah Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026.
Keputusan tersebut akan diumumkan pada Majlis Akhir Penyampaian Anugerah Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak, Negeri Johor Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 2 Oktober 2026 di Dewan Putra, Padang Lerek, Tangkak, Johor.
Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026 terus memperlihatkan bahawa usaha membentuk generasi yang cakna alam sekitar bukan sekadar melalui penyampaian pengetahuan, tetapi melalui pengalaman, tindakan dan kepimpinan murid. Penyertaan sekolah-sekolah terbaik dalam program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembudayaan amalan kelestarian yang lebih kukuh serta memberi inspirasi kepada komuniti sekolah dan masyarakat setempat.
Kunjungan ke SMK Ledang diakhiri dengan sesi bergambar bersama YB Timbalan Menteri NRES, pihak pengurusan sekolah, guru, ejen Duta Muda Alam, delegasi dan sekretariat sebagai tanda penghargaan atas komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang pelaksanaan program.
Teks : Ashween Sonia Sani Murugesan / Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Ashween Sonia Sani Murugesan