Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

SMK PARIT BUNGA SERLAH KREATIVITI MURID, PERKUKUH AGENDA KELESTARIAN ALAM 

TANGKAK, JOHOR, 10 September 2026 – Kelestarian alam sekitar bukan sekadar diterapkan melalui pengetahuan, malah diterjemahkan kepada tindakan apabila warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Bunga mengetengahkan pelbagai inisiatif dan pendekatan kreatif dalam usaha membentuk persekitaran sekolah yang lebih lestari menerusi Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026.

SMK Parit Bunga merupakan sekolah ketiga daripada lima (5) sekolah terbaik yang terpilih daripada keseluruhan 16 buah sekolah menengah yang menyertai program tersebut. Pemilihan ini menjadi pengiktirafan terhadap usaha dan komitmen warga sekolah dalam menggerakkan aktiviti berkaitan alam sekitar serta memperkasa murid sebagai individu yang mampu mencetus dan melaksanakan perubahan di peringkat sekolah.

Program anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Yayasan Hijau Malaysia (YHM) selaku agensi koordinator dengan kerjasama Pejabat Timbalan Menteri NRES, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak serta Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ledang ini telah bermula pada 25 hingga 26 Jun 2026 di Taman Negara Johor Gunung Ledang dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri NRES, YB Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh.

Program yang melibatkan 16 buah sekolah menengah di daerah Tangkak ini memberi tumpuan kepada pengurangan penggunaan plastik sekali guna, pengurusan sisa elektronik atau e-waste serta penjimatan tenaga. Ketiga-tiga aspek tersebut menjadi medan kepada murid untuk mengenal pasti cabaran alam sekitar yang wujud di persekitaran sekolah dan seterusnya meneroka penyelesaian yang bersifat praktikal, kreatif serta boleh dilaksanakan secara berterusan.

Dalam kunjungan ke SMK Parit Bunga, pasukan Duta Muda Alam sekolah tampil berkongsi perjalanan dan pengalaman mereka dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kelestarian. Pembentangan yang disampaikan bukan sekadar memaparkan aktiviti yang telah dilaksanakan, malah mengetengahkan idea, proses pelaksanaan serta peranan murid dalam menggerakkan usaha tersebut bersama warga sekolah.

Sesi soal jawab bersama panel turut menjadi ruang kepada murid untuk memperincikan rasional, cabaran dan pendekatan yang digunakan dalam menjayakan inisiatif masing-masing. Keupayaan murid menjelaskan idea serta pengalaman yang dilalui memperlihatkan bahawa penglibatan dalam program ini turut membentuk kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan keyakinan untuk menyuarakan pandangan berkaitan isu alam sekitar.

Lebih menarik, kunjungan turut membawa delegasi meninjau beberapa lokasi berkaitan bagi melihat sendiri pelaksanaan aktiviti dan hasil inisiatif yang telah digerakkan. Tinjauan tersebut memberikan gambaran tentang bagaimana usaha yang dirancang diterjemahkan dalam persekitaran sebenar sekolah, di samping memperlihatkan tahap penglibatan warga sekolah dalam memastikan amalan kelestarian tidak terhenti pada sesuatu program sahaja.

Pengalaman yang diperoleh sepanjang pelaksanaan program turut membuka ruang kepada murid untuk memahami bahawa kelestarian memerlukan perubahan cara fikir dan tindakan yang konsisten. Melalui bimbingan serta pendedahan daripada pelbagai agensi, murid berpeluang melihat isu alam sekitar daripada perspektif yang lebih luas dan memahami hubungan antara pengurusan sumber, tingkah laku manusia serta kesejahteraan komuniti.

Hadir dalam kunjungan tersebut ialah Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan CETREE, CGSS, USM; Puan Roslina Diwa, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan Alam Sekitar, Bahagian Komunikasi Strategik, JAS; Puan Roszana Yusoff, Ketua Akademi Hijau, MGTC; Encik Muhamad Faiz Muhamad Pauzi, Ketua Bahagian Projek, YHM; serta Sekretariat CETREE, CGSS, USM, bersama pihak pengurusan, guru serta ejen Duta Muda Alam SMK Parit Bunga.

Daripada lima sekolah terbaik yang terpilih, setiap sekolah kini berada pada peringkat akhir pemilihan bagi menentukan penerima Anugerah Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026. Keputusan rasmi akan diumumkan pada Majlis Akhir Penyampaian Anugerah Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak, Negeri Johor Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 2 Oktober 2026 di Dewan Putra, Padang Lerek, Tangkak, Johor.

Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026 menjadi wadah penting dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja memahami kepentingan menjaga alam sekitar, malah berani meneroka idea, menyelesaikan masalah dan mengambil tindakan. Inisiatif yang digerakkan oleh sekolah-sekolah peserta diharapkan dapat berkembang menjadi amalan yang berterusan serta memberi pengaruh positif kepada warga sekolah, keluarga dan komuniti setempat.

Kunjungan ke SMK Parit Bunga diakhiri dengan sesi bergambar bersama pihak pengurusan sekolah, guru, ejen Duta Muda Alam, delegasi dan sekretariat sebagai tanda penghargaan atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026.

Teks : Ashween Sonia Sani Murugesan / Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Ashween Sonia Sani Murugesan