SMK SERI TANGKAK KETENGAHKAN INISIATIF HIJAU DALAM PROGRAM DUTA MUDA ALAM DAERAH TANGKAK 2026
TANGKAK, JOHOR, 10 September 2026 – Komitmen warga sekolah dalam membudayakan amalan kelestarian terus terserlah menerusi pelaksanaan Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tangkak, yang menjadi sekolah pertama dikunjungi dalam siri penilaian akhir program tersebut.
Program anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Yayasan Hijau Malaysia (YHM) selaku agensi koordinator dengan kerjasama Pejabat Timbalan Menteri NRES, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE),CGSS, USM, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak serta Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ledang ini merupakan inisiatif bagi membentuk komuniti sekolah yang lebih bertanggungjawab, proaktif dan cakna terhadap kelestarian alam sekitar.
Program berkonsepkan pertandingan yang bermula pada 25 hingga 26 Jun 2026 di Taman Negara Johor Gunung Ledang dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri NRES, YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, melibatkan penyertaan 16 buah sekolah menengah di daerah Tangkak. Program ini memberi penekanan kepada pengurangan penggunaan plastik sekali guna, pengurusan sisa elektronik atau e-waste serta penjimatan tenaga sebagai antara fokus utama dalam memperkukuh amalan kelestarian di persekitaran sekolah.
Daripada keseluruhan 16 buah sekolah yang menyertai program tersebut, lima (5) buah sekolah terbaik telah disenarai pendek untuk mengikuti penilaian akhir bagi menentukan penerima Anugerah Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026. SMK Seri Tangkak merupakan sekolah pertama yang dikunjungi dalam siri penilaian akhir tersebut yang melibatkan pembentangan, sesi soal jawab bersama panel serta tinjauan terhadap pelaksanaan inisiatif kelestarian di sekolah. Dalam kunjungan tersebut, pasukan Duta Muda Alam SMK Seri Tangkak berpeluang mengetengahkan pelbagai aktiviti dan pendekatan yang telah dilaksanakan bagi menggalakkan penglibatan warga sekolah dalam amalan hijau. Perkongsian menerusi pembentangan slaid dan sesi soal jawab bersama panel bukan sahaja memperlihatkan pencapaian sekolah, malah menyerlahkan peranan murid sebagai penggerak kepada usaha kelestarian serta penerapan amalan mesra alam dalam kehidupan seharian.
Kunjungan turut diteruskan dengan tinjauan ke beberapa lokasi berkaitan bagi melihat pelaksanaan aktiviti hijau secara langsung. Sesi tersebut memberikan ruang kepada delegasi untuk berinteraksi dengan pihak pengurusan sekolah, guru dan murid, di samping menelusuri pendekatan yang dilaksanakan dalam menggalakkan pengurusan sumber secara lebih berhemah serta meningkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar.
Penglibatan pelbagai agensi dalam program ini turut mencerminkan pendekatan rentas sektor dalam memperkukuh pendidikan kelestarian alam sekitar. Perkongsian kepakaran daripada bidang alam sekitar, teknologi hijau, pendidikan dan pengurusan program memberikan nilai tambah kepada murid untuk memahami isu kelestarian secara lebih menyeluruh serta menterjemahkan pengetahuan kepada tindakan yang memberi impak di peringkat sekolah.
Hadir bersama dalam kunjungan tersebut ialah Dr. Mohd Sukri Shafie, Ketua Pegawai Penyelidik Kanan CETREE, CGSS, USM; Puan Roslina Diwa, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan Alam Sekitar, Bahagian Komunikasi Strategik, JAS; Puan Roszana Yusoff, Ketua Akademi Hijau, MGTC; Encik Muhamad Faiz Muhamad Pauzi, Ketua Bahagian Projek, YHM; serta Sekretariat CETREE, CGSS, USM, bersama pihak pengurusan, guru dan warga SMK Seri Tangkak.
Siri kunjungan ke lima sekolah terbaik ini akan menjadi antara asas dalam menentukan sekolah yang layak menerima Anugerah Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026. Keputusan pemenang akan diumumkan pada Majlis Akhir Penyampaian Anugerah Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak, Negeri Johor Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 2 Oktober 2026 bertempat di Dewan Putra, Padang Lerek, Tangkak, Johor.
Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026 bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya menjadi platform pembelajaran dan pemerkasaan murid untuk meneroka idea, mengambil tindakan serta memimpin perubahan dalam pengurusan alam sekitar di sekolah. Pengalaman yang diperoleh sepanjang program diharapkan dapat membina keyakinan generasi muda untuk membawa nilai dan amalan hijau bukan sahaja dalam persekitaran sekolah, malah turut diperluaskan kepada keluarga dan komuniti.
Kunjungan di SMK Seri Tangkak diakhiri dengan sesi bergambar bersama pihak pengurusan sekolah, guru, pasukan Duta Muda Alam, delegasi dan sekretariat sebagai tanda penghargaan atas kerjasama serta komitmen yang diberikan dalam menjayakan Program Duta Muda Alam Daerah Tangkak Tahun 2026.
Teks : Ashween Sonia Sani Murugesan / Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Ashween Sonia Sani Murugesan