Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

SMK SIMPANG BELURU TERIMA PENGIKTIRAFAN OPERASI BETA ATAS KOMITMEN KELESTARIAN

KUALA KANGSAR, PERAK, 9 Julai 2026 – Usaha berterusan membudayakan amalan hijau dalam kalangan warga sekolah membolehkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru muncul sebagai penerima Tempat Kelima Operasi Beta dalam Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2). Pengiktirafan tersebut menjadi bukti bahawa pelaksanaan pendidikan kelestarian yang sistematik mampu membentuk perubahan tingkah laku serta memperkukuh budaya pengurusan alam sekitar di peringkat sekolah. Majlis penghargaan yang diadakan di SMK Simpang Beluru dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua, Tuan Haji Azmi Ismail, yang menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Hijau Malaysia (YHM), CETREE, CGSS, Universiti Sains Malaysia (USM) serta semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan program tersebut.

Menurut beliau, Program Sekolah Tunas Hijau bukan sekadar memberi pengiktirafan kepada sekolah yang cemerlang, malah menjadi platform yang berjaya membentuk kepimpinan murid dalam memperjuangkan agenda kelestarian. Beliau berharap agar Ejen Sekolah Tunas Hijau terus memainkan peranan sebagai pemimpin muda dan ejen perubahan (change agents) yang mampu mempengaruhi rakan sebaya serta komuniti sekolah untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih lestari.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan program ini telah membuka ruang kepada sekolah untuk memperkukuh pelbagai inisiatif hijau, termasuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, meningkatkan amalan pengasingan sisa di punca serta membudayakan amalan mesra alam dalam rutin harian warga sekolah. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Nurasmah Zulkifli, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Simpang Beluru.

Sementara itu, Puan Nor Hana Mohamad Rosli, Senior Executive Yayasan Hijau Malaysia (YHM), dalam ucapannya mewakili pihak penaja bersama agensi pelaksana, Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), CGSS, USM berkata Program Sekolah Tunas Hijau merupakan inisiatif strategik yang memberi penekanan kepada pembentukan literasi kelestarian, kepimpinan murid serta perubahan tingkah laku melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman. Beliau berharap agar segala amalan hijau yang telah dipupuk sepanjang pelaksanaan program dapat diteruskan secara konsisten sehingga menjadi identiti sekolah dan budaya yang diwarisi oleh generasi murid pada masa hadapan. Dalam sesi interaksi bersama para murid, beliau turut mengupas konsep 5R, iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Redesign dan Recycle, sebagai pendekatan utama dalam mengurangkan penjanaan sisa, mengoptimumkan penggunaan sumber serta menggalakkan pelaksanaan konsep ekonomi kitaran (circular economy) di peringkat sekolah.

Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian Anugerah Tempat Kelima Operasi Beta yang disempurnakan oleh Tuan Haji Azmi Ismail bersama Puan Nor Hana Mohamad Rosli. Sebagai penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi sepanjang pelaksanaan program, setiap Ejen dan Komander Sekolah Tunas Hijau menerima insentif berbentuk e-Wallet Touch & Go berserta Sijil Pencapaian Tempat Kelima Operasi Beta Peringkat Negeri. Pihak sekolah pula menerima plak pencapaian dan Sijil Penghargaan sebagai simbol pengiktirafan terhadap kejayaan melaksanakan program secara berkesan. Majlis diakhiri dengan sesi fotografi yang menghimpunkan para penerima anugerah, wakil agensi pelaksana serta pihak sekolah sebagai simbolik kejayaan kolaborasi dalam memperkasakan pendidikan kelestarian di peringkat sekolah. Turut hadir ialah Puan Suhairiza Suhaimi dan Cik Farah Amira Zainudin, Pegawai Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) merangkap Sekretariat CETREE, CGSS, USM bersama Encik Mohd Rodzi Abd. Razak.

Kejayaan SMK Simpang Beluru membuktikan bahawa usaha membudayakan amalan hijau secara menyeluruh mampu melahirkan warga sekolah yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta berupaya menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang mengamalkan gaya hidup lestari. Pencapaian ini turut menyokong aspirasi negara dalam memperkukuh pendidikan untuk pembangunan mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim).

Teks : Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Organisai Tunas Hijau