Skip to main content

CETREE  |  Universiti Sains Malaysia

SMK ST. BERNADETTE’S CONVENT RAI KEJAYAAN NAIB JOHAN OPERASI ALPHA PROGRAM SEKOLAH TUNAS HIJAU FASA III – PERAK (SIRI 2)

BATU GAJAH, PERAK, 31 Oktober 2025 – Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Bernadette’s Convent, Batu Gajah, diselubungi suasana penuh kemeriahan dan kebanggaan apabila majlis penyampaian hadiah bagi Operasi Alpha dalam Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2) diadakan bagi meraikan kejayaan sekolah yang dinobatkan sebagai Naib Johan keseluruhan daripada penyertaan sebanyak 103 buah sekolah di seluruh negeri Perak. Penganjuran majlis ini bukan sekadar meraikan kejayaan, malah menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga sekolah untuk terus memperkukuh amalan hijau serta menanam nilai tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar dalam kehidupan seharian.

Majlis diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha Encik Syafiq Saifullah Azmi, Ketua Sekretariat CETREE, CGSS, Universiti Sains Malaysia, Yang Berusaha Encik Tasdiqi Ahmad Thamizi, wakil rasmi Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Selatan dan Yang Di hormati Puan Krishnaveni Vasudevan, Pengetua SMK St. Bernadette’s Convent. Dalam ucapan alu-aluan, Puan Krishnaveni, Pengetua SMK St. Bernadette’s Convent, menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian membanggakan itu. Beliau menegaskan bahawa kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara para komander, ejen dan seluruh warga sekolah yang komited melaksanakan pelbagai inisiatif berteraskan kelestarian alam sekitar. Beliau turut menyeru agar semangat ini dikekalkan dan diteruskan bagi mencapai kejayaan lebih gemilang dalam fasa seterusnya.

Sementara itu, Encik Syafiq turut memuji dedikasi sekolah dalam melaksanakan pelbagai projek hijau yang kreatif dan inovatif. Beliau turut memberikan kata-kata perangsang agar SMK St. Bernadette’s Convent terus berusaha mencapai gelaran johan dalam Operasi Beta, fasa lanjutan bagi program yang sama. Turut menzahirkan sokongan dan ucapan tahniah ialah Encik Tasdiqi bin Ahmad Thamizi, yang berharap agar usaha sekolah dalam pendidikan hijau ini dapat diteruskan secara konsisten dan menjadi teladan kepada sekolah lain di daerah Kinta Selatan. Bukan itu sahaja, seluruh warga sekolah telah menjadi saksi kepada pengiktirafan 18 orang ejen dan 2 orang komander SMK St. Bernadette’s Convent yang berjaya mengharumkan nama sekolah di peringkat negeri.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video montaj yang memaparkan perjalanan pelaksanaan program serta pelbagai aktiviti hijau yang dilaksanakan oleh murid sepanjang Operasi Alpha. Tayangan tersebut memperlihatkan semangat dan komitmen tinggi warga sekolah dalam menjayakan tugasan program dengan penuh dedikasi. Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian trofi Naib Johan dan Sijil Penghargaan kepada SMK St. Bernadette’s Convent atas kepimpinan dan kecemerlangan mereka dalam melaksanakan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2). Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Encik Syafiq, mewakili CETREE, CGSS, Universiti Sains Malaysia, diiringi oleh Puan Pengetua dan Tuan Penolong Pegawai PPD Kinta Selatan.

Majlis turut meraikan pemenang pertandingan dalaman sekolah yang menonjolkan kreativiti dalam penghasilan ecobrick menggunakan plastik sekali guna. Hasil inovasi tersebut digunakan untuk membina pelbagai objek berguna seperti set meja dan kerusi, bangku, pasu hiasan serta buaian pisang. Penyampaian hadiah ini menjadi dorongan kepada murid untuk terus mencipta idea hijau yang kreatif dan lestari.

Sebagai tanda penghargaan, cenderamata turut disampaikan kepada CETREE atas sokongan dan kerjasama padu dalam menjayakan pelaksanaan program ini. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai yang melambangkan semangat perpaduan dan komitmen warga SMK St. Bernadette’s Convent untuk mengekalkan budaya hijau di sekolah. Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan semangat, kerjasama dan keazaman tinggi, sekolah mampu mengekalkan amalan lestari secara berterusan serta mencapai kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang.

Teks  / Foto  : Khoo Jia Jie