SMK ST. BERNADETTE'S CONVENT UNGGULI OPERASI BETA, BUKTI KOMITMEN KINTA SELATAN TERHADAP KELESTARIAN ALAM
BATU GAJAH, PERAK, 2 Julai 2026 – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Bernadette’s Convent, Batu Gajah, sekali lagi mengharumkan nama daerah Kinta Selatan apabila dinobatkan sebagai Johan Operasi Beta dalam Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2), sekali gus mengatasi persaingan daripada 103 buah sekolah di seluruh negeri Perak. Kejayaan tersebut mencerminkan komitmen tinggi serta kecemerlangan pasukan komander dan ejen Tunas Hijau sekolah dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pemeliharaan alam sekitar secara kreatif, sistematik dan berimpak tinggi.
Majlis penghargaan yang berlangsung di Dewan Utama SMK St. Bernadette’s Convent diraikan dalam suasana penuh meriah dan membanggakan. Penganjuran majlis bukan sekadar mengiktiraf kejayaan yang diraih, malah menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga sekolah untuk terus memperkukuh budaya kelestarian, membudayakan amalan hijau serta memperkasakan pendidikan alam sekitar dalam kalangan murid dan komuniti sekolah. Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha Encik Azlan Jamil, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Hijau Malaysia (YHM). Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Penyelaras CETREE, CGSS, Universiti Sains Malaysia (USM); Puan Muazatul Adawiyah Mohamad, Setiausaha Majlis Daerah Batu Gajah; Encik Mohd Mirza Mohammad, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Pembangunan Murid), Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Selatan; serta Puan Krishnaveni a/p Vasudevan, Pengetua SMK St. Bernadette's Convent.
Dalam ucapan alu-aluannya, Puan Krishnaveni menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian cemerlang yang berjaya diraih oleh sekolah. Menurut beliau, kejayaan tersebut merupakan hasil kesepaduan usaha antara komander, ejen Tunas Hijau, guru pembimbing serta seluruh warga sekolah yang sentiasa komited menjayakan pelbagai program dan aktiviti berteraskan kelestarian alam sekitar. Beliau turut menyeru agar semangat, disiplin dan komitmen yang dipamerkan sepanjang Operasi Beta terus diperkasakan bagi membolehkan sekolah melakar kejayaan yang lebih gemilang dalam Operasi Mega, sekali gus menempatkan SMK St. Bernadette’s Convent dalam kelompok 10 sekolah terbaik Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2).
Sementara itu, Encik Mohd Mirza Mohammad turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga sekolah atas pencapaian yang membanggakan. Beliau memuji dedikasi serta kreativiti murid dan guru dalam menjayakan pelbagai projek hijau yang bukan sahaja memberi impak kepada sekolah, malah menyumbang kepada pembentukan budaya kelestarian dalam komuniti. Beliau berharap momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan sehingga SMK St. Bernadette’s Convent berjaya muncul sebagai johan keseluruhan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2).
Dalam pada itu, Encik Azlan Jamil menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti bahawa pendidikan alam sekitar mampu melahirkan generasi yang berilmu, kreatif dan bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam. Beliau berharap usaha yang dilaksanakan oleh SMK St. Bernadette’s Convent dapat diteruskan secara konsisten dan menjadi inspirasi kepada lebih banyak sekolah dalam membudayakan amalan hijau. Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada 18 orang ejen dan 2 orang komander yang telah menunjukkan komitmen tinggi sehingga berjaya mengharumkan nama sekolah di peringkat negeri. Majlis turut diserikan dengan tayangan video montaj yang memaparkan perjalanan pelaksanaan Program Sekolah Tunas Hijau sepanjang Operasi Beta. Tayangan tersebut memperlihatkan pelbagai aktiviti, projek serta inovasi yang telah dilaksanakan oleh murid dengan penuh dedikasi, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama, kepimpinan, kreativiti dan komitmen tinggi dalam menjayakan setiap tugasan yang diberikan.
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian Trofi Johan Operasi Beta dan Sijil Penghargaan kepada SMK St. Bernadette’s Convent sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan sekolah dalam melaksanakan Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2). Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Encik Azlan Jamil, diiringi oleh Prof. Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei, Puan Muazatul Adawiyah Mohamad, Encik Mohd Mirza Mohammad serta Puan Krishnaveni a/p Vasudevan.
Para tetamu jemputan turut berpeluang mengunjungi pameran inovasi hijau yang menampilkan pelbagai hasil ciptaan murid berasaskan penggunaan semula plastik sekali guna. Pameran tersebut menyerlahkan kreativiti murid dalam menghasilkan produk bernilai tambah melalui konsep ekonomi kitaran, selain menjadi platform perkongsian ilmu dan idea berkaitan inovasi lestari. Sesi interaksi bersama para tetamu turut memberi suntikan motivasi kepada murid untuk terus menghasilkan inovasi yang menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat. Sebagai tanda penghargaan, Puan Pengetua turut menyampaikan cenderamata kepada semua tetamu kehormat sebagai simbol penghargaan atas sokongan, kerjasama dan komitmen mereka dalam menjayakan program ini. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai yang melambangkan semangat kebersamaan, perpaduan dan iltizam seluruh warga sekolah untuk terus memperkukuh budaya hijau sebagai satu amalan hidup.
Kejayaan sebagai Johan Operasi Beta membuktikan bahawa kesungguhan, kerjasama dan komitmen seluruh warga SMK St. Bernadette’s Convent telah berjaya membentuk budaya kelestarian yang kukuh dan mampan. Lebih daripada sekadar sebuah pengiktirafan, pencapaian ini menjadi pemangkin kepada sekolah untuk terus memperkasakan pendidikan alam sekitar, melahirkan generasi yang berjiwa lestari serta melakar kejayaan yang lebih cemerlang dalam Operasi Mega dan seterusnya muncul sebagai antara sekolah terbaik dalam Program Sekolah Tunas Hijau Fasa III – Perak (Siri 2).
Foto/Teks : Syafiq Saifullah Azmi