SMK TASEK DAMAI RAIH TEMPAT KETIGA OPERASI GAMMA PROGRAM SEKOLAH TUNAS HIJAU
KINTA UTARA, PERAK, 15 September 2026 – Komitmen dan kesungguhan pasukan Tunas Hijau SMK Tasek Damai (AEA2054) dalam melaksanakan misi kelestarian membuahkan hasil apabila sekolah berkenaan meraih Tempat Ketiga dalam Operasi GAMMA, Program Sekolah Tunas Hijau (PSTH) Fasa III – Perak (Siri 2).
Pencapaian tersebut digerakkan menerusi kerjasama 18 orang ejen Pasukan Tunas Hijau bersama dua (2) orang guru komander dalam melaksanakan misi dan tugasan yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan Operasi GAMMA. Penglibatan tersebut turut memperkukuh usaha sekolah dalam menggalakkan pengurangan penggunaan plastik sekali guna serta menerapkan amalan 5R — Refuse, Reduce, Reuse, Repurpose dan Recycle dalam kehidupan seharian.
Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan memberikan ruang kepada murid untuk mencetuskan idea, bekerjasama dan mengambil peranan secara langsung dalam menjayakan agenda kelestarian sekolah. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman terhadap isu penggunaan plastik dan pengurusan sisa, malah turut membina kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan dalam kalangan murid.
Sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan program, sesi kunjung bantu telah diadakan bagi meninjau pelaksanaan inisiatif kelestarian yang telah digerakkan oleh pasukan Tunas Hijau, di samping memberikan penghargaan terhadap penglibatan sekolah serta mendapatkan perkongsian pengalaman daripada guru komander dan murid. Sesi ini turut menjadi ruang interaksi secara langsung antara pihak penganjur dengan warga sekolah untuk berkongsi pandangan, mengenal pasti ruang penambahbaikan serta memperkukuh motivasi agar amalan kelestarian dapat diteruskan secara konsisten.
Sesi tersebut disertai Prof. Madya Dr. Ng Theam Foo, Timbalan Pengarah, Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Universiti Sains Malaysia (USM), Puan Nor Hana Mohd Rosli, Eksekutif Kanan, Yayasan Hijau Malaysia (YHM) serta Sekretariat Program Sekolah Tunas Hijau.
Sebagai tanda pengiktirafan, piala, sijil dan token penghargaan disampaikan kepada 18 orang ejen Pasukan Tunas Hijau dan dua (2) orang guru komander. Penyampaian tersebut menjadi penghargaan terhadap usaha, kerjasama dan penglibatan aktif pasukan sekolah sepanjang pelaksanaan misi, selain menyuntik motivasi untuk terus memperkukuh amalan kelestarian dalam persekitaran sekolah.
Penglibatan murid dalam pelaksanaan misi turut memperlihatkan bahawa pendidikan kelestarian dapat diterjemahkan melalui pengalaman pembelajaran yang praktikal dan berasaskan tindakan. Peranan mereka sebagai penggerak di peringkat sekolah membuka ruang untuk pengetahuan berkaitan alam sekitar diterapkan dalam amalan seharian serta dikongsi bersama warga sekolah yang lain.
Melalui PSTH Fasa III – Perak (Siri 2), pendekatan sebegini terus diperkasakan bagi membentuk warga sekolah yang bukan sahaja memahami kepentingan kelestarian, malah mampu menterjemahkan pengetahuan tersebut melalui tindakan, khususnya dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan membudayakan amalan 5R.
Sesi kunjung bantu diakhiri dengan sesi bergambar bersama tetamu, guru komander dan pasukan Tunas Hijau SMK Tasek Damai sebagai tanda penghargaan atas kerjasama serta penglibatan warga sekolah dalam menjayakan agenda pendidikan kelestarian.
Teks : Ashween Sonia Sani Murugesan / Syafiq Saifullah Azmi
Foto : Ashween Sonia Sani Murugesan